Assalamualaikum WBT.
Setiap bangsa dibangunkan dengan tarbiyah.
Itu antara isi syarahan yang disampaikan oleh Akh Syatibi dari Sekolah Menengah Agama Swasta Kampung Laut (SMASKL) yang mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Syarahan Antara Sekolah yang diadakan bersempena Mahrajan Thaqafi ke-4 di Sekolah Ibn Khaldun 25 April yang lalu.
Benar, setiap bangsa dibangunkan dengan tarbiyah.
Tidak kira bangsa Islam atau bukan Islam, semuanya dibangunkan dengan tarbiyah.
Tarbiyah yang berkesan memerlukan kewujudan empat faktor:
- Manhaj (sistem/silabus)
- Qudwah (role model)
- Murabbi (pendidik)
- Biah (suasana)
Bagi setiap ummah, tarbiyah yang membentuknya hanya berubah dari segi keempat-empat pemboleh ubah di atas.
Ummah Islam, terutamanya generasi pertama yang dibangunkan oleh Rasulullah, dibangunkan dengan manhaj rabbani iaitu sistem yang bersumberkan Ilahi. Tarbiyah Islamiyyah mempunyai qudwah hasanah yang kita boleh jadikan sebagai contoh ikutan yang realistik iaitu baginda Nabi SAW - serta para sahabat baginda ridhwanullah alaihim. Tarbiyah Islamiyyah yang berkesan memerlukan murabbi mithali ataupun pendidik yang menunjukkan contoh yang baik di dalam biah solehah ataupun suasana yang membantu keberkesanan proses tarbiyah itu sendiri.
Sahabat saya Ahmad Hashimi pernah menulis -- berasaskan curahan fikrah oleh murabbi-murabbi kami -- dalam Fikruttaqwa Edisi Mahrajan Thaqafi IV:
... masih ada satu lagi sistem yang akan membentuk anak-anak ini. Bukti kejayaan sistem ini berada pada lembaran sejarah 1400 tahun yang lalu di Makkah. Hakikat sistem ini ialah menutup sekumpulan manusia dari arus luar. Satu bentuk penutupan yang menyeluruh, membentengi hati-hati dan arus suasana globalisasi yang rancak ... Hakikatnya, hanya sistem ini yang boleh membentuk manusia. Tidak lain tidak bukan [sistem ini] ialah tarbiyah.
Ini dia sistem tarbiyah Islamiyyah. Sistem yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, yang memerlukan kepada isolisasi -- isolisasi lahiriah atau isolisasi batiniah -- bergantung kepada kekuatan hati masyarakat yang hendak ditarbiyah. Teringat pula kata-kata Imam Hasan al-Banna:
Akan aku himpunkan segolongan pemuda-pemuda; akan aku tutup tabir dan akan aku proses dengan Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW sehingga mereka memiliki jelmaan Islam, dan kemudian akan aku buka tabir dan aku bebaskan mereka kepada masyarakat dan masyarakat akan tercengang-cengang melihat, siapakah pemuda-pemuda ini?
Baru-baru ini saya menonton satu rancangan dokumentari di Discovery Channel tentang sejarah pembinaan Tembok Besar China. Rijal di sebalik pembinaan monumen hebat itu ialah seorang jeneral perang Dinasti Ming yang bernama Qi Jiguang. Pada waktu itu, China berada di bawah ancaman Mongolia, negara jirannya yang miskin. Memandangkan negara China kaya, Mongolia ingin "berkongsi" kekayaan tersebut. Maka pada suatu hari, tentera Mongolia berjaya merempuh pertahanan China dan memasuki kota Beijing lalu berjumpa dengan Maharaja dan memaksa Mahraja supaya bersetuju untuk melakukan perdagangan dengan mereka. Peristiwa itu menyebabkan ramai rakyat China terkorban.
Qi Jiguang merupakan seorang pemuda yang masih berdarah panas ketika itu. Sebagai seorang tentera yang bijak, Qi Jiguang telah memikirkan 10 strategi yang hebat untuk mengalahkan tentera Mongol. Strategi itu dibawanya kepada Setiausaha Agung Kerajaan Ming ketika itu, Zhang Juzheng. Zhang Juzheng mengatakan bahawa Maharaja tidak akan bersetuju dengan pandangan agresif seperti itu. Maharaja lebih menyukai cadangan yang berbentuk defensif. Seterusnya, Zhang Juzheng menyuruh Qi Jiguang menunjukkan kebolehannya melawan lanun Jepun yang sedang menyerang perairan China ketika itu.
Maka Qi Jiguang pun berangkat ke kawasan tepi pantai China. Dia lantas memanggil kesemua tentera yang berada di kawasan itu dan mendapati bahawa "tentera-tentera" di situ cuma para petani. Mereka berkata, "Kami tersenarai dalam senarai tentera China. Tetapi kami tidak diajar cara berperang dan tidak dibayar gaji!"
Qi Jiguang berkata, "Kamu akan diajar cara berperang, dan kamu akan dibayar!"
Maka Qi Jiguang mengasingkan kumpulan tentera itu di kawasan pedalaman, melatih mereka selama beberapa bulan untuk menjadi tentera. Qi Jiguang menulis buku panduan kombatnya yang tersendiri yang bertajuk Ji Xiao Xin Shu yang bermaksud Buku Baharu dalam Merekodkan Teknik yang Berkesan. Setelah dilatihnya tentera-tentera itu, mereka dibawa berdepan dengan lanun Jepun -- dan menang.
Kalau disuruh saya menyambung cerita ini hingga kematian Qi Jiguang memanglah terlalu panjang. Cukuplah setakat ini untuk tajuk kita ini. Ada beberapa perkara yang boleh kita perhatikan dan ambil pengajaran dalam kisah di atas:
Penggerak Tarbiyah ialah Golongan Syabab (Pemuda)
Kita lihat, peristiwa di atas berlaku ketika umur Qi Jiguang 25 tahun. Dalam sejarah Islam, banyak kisah menunjukkan bahawa syabablah pemangkin dakwah dan tarbiyah Rasulullah SAW. Saidina Ali, Usamah bin Zaid, Zaid bin Harithah dan ramai lagi syabab yang bersinar membawa mas'uliah yang hebat ini.
Tarbiyah Memerlukan Biah (Suasana) yang Membantunya
Sebaiknya, tarbiyah berhajat kepada isolasi - pengasingan daripada suasana lain yang boleh mempengaruhi kesan tarbiyah. Qi Jiguang melatih tenteranya di kawasan pedalaman, tentera-tenteranya tidak boleh bersenang-lenang dengan kehidupan bandar - suasana pedalaman menyebabkan mereka hidup sebagai tentera - untuk menjadi tentera.
Tarbiyah Memerlukan Manhaj
Lihat sahaja buku tentang teknik berlawan yang ditulis sendiri oleh Qi Jiguang. Dalam tarbiyah Islamiyyah, manhaj kita ialah manhaj rabbani, manhaj yang berasaskan Ilahi. Kita ada al-Qur'an, kita ada hadis dan sejarah perjuangan baginda. Kita ada sistem yang lengkap untuk kita ikut dalam segenap aspek kehidupan, dari akidah ke politik, dari ekonomi ke sosial.
Tarbiyah Memerlukan Murabbi Mithali
Qi Jiguang sebagai seorang jeneral tentera sudah cukup untuk menjadikannya "dithiqahi" oleh para pengikutnya. Para murabbi kita dalam usrah, abang-abang senior, malah rakan-rakan yang mengajak kita ke arah Islam semuanya merupakan murabbi-murabbi kita. Syaratnya, murabbi tersebut mestilah mithali. Murabbi tersebut harus mempamerkan syakhsiah yang bertepatan dengan manhaj yang dibawa. Dengan itu, barulah tarbiyah akan berkesan.
Syed Qutb menyatakan bahawa di dunia ini hanya ada dua: Islam dan Jahiliah. Jika sesuatu itu Islam maka ia bukan Jahiliah dan jika sesuatu itu Jahiliah maka ia bukan Islam. Tarbiyah selain tarbiyah Islamiyyah boleh kita katakan tarbiyah Jahiliyyah. Ketahuilah saudaraku, sedar tak sedar, tarbiyah Jahiliyyah sedang berjalan dengan rancak dan memenuhi keempat-empat faktor tarbiyah di atas.
Mereka ada manhaj iaitu cara hidup Barat (atau cara hidup Jahiliah). Mereka ada qudwah iaitu artis-artis tidak bermaruah yang mereka jadikan idola di mata anak-anak Islam. Mereka ada murabbi iaitu sekalian pemimpin Jahiliah dan murabbi mereka yang utama ialah MEDIA MASSA. Mereka ada biah dengan suasana kacau bilau sekarang ini - papan iklan yang membawa kepada maksiat, konsert-konsert, pergaulan bebas di kompleks beli belah - semuanya merupakan biah yang sangat subur dalam membenihkan Jahiliah dalam diri anak-anak Islam.
Dan kita sebagai anak-anak Islam mengikuti tarbiyah mereka.
Tarbiyah yang sepatutnya kita ikuti wahai saudaraku, adik-adikku, ialah - bak ditulis Hilal Asyraf - tarbiyah Islamiyyah kamilah syamilah - iaitu tarbiyah Islam yang sempurna dan lengkap. Tarbiyah kita ini:
- bersumberkan rabbani iaitu al-Quran, as-Sunnah serta kehidupan para sahabat yang merupakan hasil didikan Rasulullah SAW sendiri.
- mencakupi seluruh kehidupan manusia; zahir, batin, fizikal, rohani dan mental.
- bersifat waqi'i ataupun semasa (mengikut keadaan) berdasarkan manhaj
- mempunyai model untuk diambil contoh tauladan iaitu Rasulullah SAW
- di dalam biah (suasana) yang membantu tarbiyah
- mempunyai murabbi yang memiliki sifat-sifat murabbi yang sebenar
Ada di antara kalian yang sudah mengikuti proses tarbiyah dan ada yang belum lagi dan masih tercari-cari. Bagi yang sudah mengikuti tarbiyah, bukalah hatimu untuk menerimanya, berbanggalah dengannya dan bersyukurlah kerana Allah mengurniaimu dengan sesuatu yang tidak ternilai.
Kata Shaikh Mustafa Masyhur,
Tarbiyah bukan segalanya tetapi segalanya boleh dicapai dengan tarbiyah.
Bagi mereka yang belum lagi diproses dengan proses rabbani ini, maka carilah bersungguh-sungguh. Tentu ada saja yang ingin membantumu. Jika tiada siapa ingin membantumu, maka diri ini sedia membantumu sekadar yang termampu. Jika ibu bapamu ingin menghadiahimu, mintalah tarbiyah! Minta mereka menghantarmu ke institusi pendidikan yang menyediakan tarbiyah. Percayalah, itulah sebaik-baik hadiah yang boleh didapati manusia.
Kepada teman seperjuanganku,
tarbiyah fi aidikum wa aidikum faqat.
Wallahua'lam.