Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

17 Ogos 2011

Tanpa Tahwil & Tahwin

Artikel berikut merupakan terjemahan ringkas sebahagian petikan khutbah Dr Yusuf al-Qaradawi tentang pembacaan (penilaian) realiti umat. Bahasa Arab bukan pengkhususan saya, mohon perbetul mana yang silap.

Seorang Muslim harus bersikap adil dan saksama sekalipun terhadap musuhnya. Dia mengiktiraf realiti musuhnya baik kelebihan mahupun kekurangan mereka. Dia tidak cuba memperbesar keburukan musuh dan tidak pula memperleceh kebaikan mereka. Sebahagian manusia melihat keaiban menggunakan mikroskop, sehinggakan kacang dilihat seperti kubah, manakala kucing dilihat seperti unta. Jangan begitu; lihatlah sesuatu as it is. Usah memperbesar keaiban dan jangan melupakan kelebihan dan kebaikan. Ini merupakan salah satu aspek keadilan dalam pembacaan dan penilaian. Pembacaan atau penilaian yang sahih dan benar harus dijauhkan daripada dua perkara: membesar-besarkan (tahwil) atau meringan-ringankan (tahwin).

27 Oktober 2010

Krisis Ilmu

peperiksan

Usai menamatkan pembacaan A Brief History of Time, sebuah karya astrofizik masyhur karangan Stephen Hawking, saya termenung sejenak, mungkin kerana kandungan buku itu yang sangat-sangat membuktikan kewujudan Sang Pencipta dan Pentadbir; namun sebab yang lebih utama ialah mengenangkan berapa kerat pelajar dan mahasiswa Muslim yang membaca bahan ilmiah seperti ini.

06 Jun 2010

Kita (Pelajar) & Ghazzah

Moga Allah melaknat Zionis! Tindakan mereka sangat melampau. Tanggal 31 Mei yang lalu, mereka menyerang konvoi kemanusiaan ke Gaza tanpa alasan, tanpa peri kemanusiaan, menyebabkan 20 orang syahid dan lebih 50 orang cedera. Sehari selepas itu, mereka menyerang Gaza sendiri dan menyebabkan lima lagi syahid. Dua belas orang wakil konvoi dari Malaysia ditawan di penjara. Sepanyol dan banyak negara lain menarik kedutaan mereka keluar daripada Israel. Dunia telah membuka mata. Maka apakah pula tindakan KITA, dalam kesibukan hidup di sekolah/IPT?

20 Mei 2010

Yahudi: “Hancurkan Islam? Mudah Saja. Rosakkan Belianya.”

Satu lagi pos yang disunting daripada artikel sahabat saya Ahmad Hashimi. Artikel asal yang bertajuk ‘Perancangan Yahudi Melenyapkan Islam’ diterbitkan dalam Fikruttaqwa Edisi Mahrajan Thaqafi 2009.

Yahudi merupakan salah satu daripada bangsa-bangsa yang wujud di dunia. Berdasarkan sejarah, mereka merupakan keturunan Nabi Yaakub, cucu Nabi Ibrahim. Mereka digelar Israel kerana Nabi Yaakub digelar sedemikian; Israel bermaksud ‘berjalan malam’ –ekoran kebiasaan Nabi Yaakub sendiri. Bermula dari detik tersebut, ramai nabi diutuskan daripada kalangan mereka. Bermula dari detik itu juga, mereka adalah bangsa yang dimuliakan oleh Allah. Nabi terakhir yang turun dalam kalangan mereka ialah Nabi Isa AS.

19 Mei 2010

Ancaman Globalisasi

Disunting daripada tulisan Ahmad Hashimi dalam Fikruttaqwa 2009. Artikel asal.

Zaman moden kini, seribu satu maklumat berada di hujung jari. Pendapat, pandangan dan ideologi mengalir deras dalam arus teknologi maklumat sekarang, tidak kira baik atau buruk. Semua ini membawa kepada satu kesan, iaitu penyatuan cara hidup tanpa mengira bangsa dan sempadan; dan cara hidup yang baru ini melunturkan semua identiti bangsa dan menggantikannya dengan cara hidup yang baru. Cara hidup yang baru ini juga merupakan simbol pemodenan – dan sumber atau rujukan cara hidup ini ber­asal kebanyakannya dari Barat atau Eropah.

15 April 2010

Hidup Kita Aset Penulisan

Kadang-kadang kita rasa sukar untuk menulis. Tiada idea. Ketandusan bahan. Mulalah kita mencari-cari alasan mengapa kita tidak menulis. Writer’s block, seperti yang biasa dialasankan oleh orang, termasuk saya. Namun, kita lupa bahawa kita memiliki bahan penulisan yang hanya kita seorang ada: sejarah hidup diri kita sendiri.

11 Disember 2009

Comelnya muka taip ni!

Assalamualaikum WBT.

Kali ini kita akan belajar tentang tipografi. Bukan, bukan tentang bentuk muka bumi macam dalam Geografi sekolah menengah. Itu topografi. Tipografi ialah ilmu tentang muka taip dan fon. Penting-kah? Sangat penting, sepenting berbahasa lembut kepada sang da’i.

09 Januari 2009

Bagaimana Saya Menulis

Dalam pos ini, insya-Allah, saya ingin berkongsi tentang metodologi yang saya gunakan untuk menghasilkan penulisan-penulisan saya. Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk dirujuk dalam hal-hal penulisan. Kekuatan saya dalam penulisan bahasa Melayu hanyalah pada tatabahasa dan dalam penulisan bahasa Inggeris pula pada leksikon. Saya menghadapi kesukaran membina ayat-ayat yang membawa nilai sastera yang tinggi serta memperlihatkan penggunaan bahasa yang indah. Saya cuma sedikit berupaya menulis ayat yang gramatis untuk peperiksaan, terutamanya bagi karangan berbentuk fakta. Untuk karangan berbentuk cereka rujuklah penulis-penulis yang lebih pakar. Dalam pos ini saya hanya ingin berkongsi. Sharing is caring.

28 Mei 2008

Keneutralan Sejarah

Dipetik dan diedit daripada iLMaNist Note, blog lama ana yang kini digantikan dengan blog Markazul Fikr ini.

Sejarah secara umumnya bermaksud penyelidikan terhadap peristiwa lalu. Menurut Ibn Khaldun, seorang cendekiawan Islam, sejarah membicarakan masyarakat atau peradaban manusia, serta perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu. Pendek kata, sejarah ini ialah apa-apa yang berlaku pada waktu yang lalu. Akan tetapi, sejarah yang diceritakan semula ini - sejauh manakah keneutralannya?

Keneutralan itu relatif. Keneutralan sesuatu fakta itu bergantung pada deria yang menerima dan sukma yang mentafsir. Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza mengenai sesuatu fakta. Pandangan-pandangan tersebut kemungkinan besarnya tiada satu pun yang neutral. Kita ambil contoh: ideologi nasionalisme. Buku teks Sejarah sekolah menengah menekankan unsur nasionalisme dan patriotisme. Dalam setiap rumusan bab pasti ada perkataan yang berkaitan dengan rasa cinta akan bangsa dan tanah air. Semangat kebangsaan memang tampak neutral dan diterima dalam dunia "demokrasi" dan sekular sekarang ini. Pada pandangan ana, semangat ini ialah satu semangat yang karut. Dari perspektif Islam, nasionalisme dan patriotisme adalah haram. Bukan ana hendak mengatakan bahawa mencintai bangsa dan tanah air itu salah, tetapi yang haramnya di sini ialah membawa rasa cinta itu ke tahap isme dan mengabaikan perintah Allah sekiranya perintah tersebut bertentangan dengan adat dan matlamat bangsa tersebut. Izinkan ana menjelaskan suatu perkara di sini: segala pandangan saya akan lebih berfokus kepada Islam berbanding Melayu kerana ana ialah Melayu Muslim bukannya Muslim Melayu. Maksudnya, ana ialah orang berbangsa Melayu yang memeluk agama Islam, bukannya orang Islam yang mendukung ideologi dan jati diri Melayu.

Contoh lain ialah takrif Islam itu sendiri. Sejarawan dan orientalis Barat mengatakan bahawa agama Islam itu merupakan "satu agama yang berasal dari Timur Tengah yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdullah dan kitab suci bagi agama ini ialah Al-Quran." Kita sebagai orang yang beriman cukup arif bahawa Din Islam ini bukanlah diasaskan oleh baginda Rasulullah, bahkan cara hidup yang lengkap ini merupakan Mesej Ilahi Terakhir daripada Allah SWT, Rabb sekalian alam -- untuk disampaikan kepada sekalian umat manusia menerusi utusan-Nya, Muhammad SAW. Sejarawan Barat yang mengkufuri Allah dan mengkufuri wahyu akan menganggap takrif Islam yang sebenarnya ini sebagai tidak neutral dan karut. Kita pula yang mengetahui hakikat sebenar Din ini yakin bahawa sejarawan Baratlah yang mengemukakan fakta yang salah. Akan tetapi, dalam dunia yang dicengkam Barat kini, pendapat sejarawan dan orientalis Barat diterima pakai oleh seantero dunia dan dianggap neutral.

Dapat disimpulkan bahawa memang mustahil untuk ilmu sejarah menjadi satu ilmu yang boleh dikatakan neutral. Apakah sebabnya? Pertama sekali kita tengok pada sumber sejarah -- dari mana kita ambil fakta sejarah tersebut. Fakta-fakta sejarah mengenai sesuatu bangsa, contohnya, sudah tentu diambil daripada bangsa itu juga. Kita buka minda kita, siapakah yang paling arif akan bangsa Melayu? Sudah tentulah orang Melayu. Dan siapakah yang sanggup membela dan mempertahankan bangsa Melayu? Tentulah orang Melayu juga. Cuba kita fikirkan; adakah orang Melayu hendak menceritakan kelemahan dan kekurangan bangsa sendiri? Tidak mungkin. Oleh sebab itu, kita lihat buku-buku tempatan mengenai sejarah Malaysia mengatakan, "British menggunakan helah untuk mencapai sekian, sekian." Sudah tentulah British menggunakan helah, bukankah mereka golongan penjajah? Yang patut dipersalahkan di sini ialah pemerintah Melayu dahulu yang sangat mudah tertipu hingga termakan helah British. Pepatah ada menyebut, buat baik berpada-pada.

Antara sebab lain dikatakan sejarah ini tidak boleh neutral ialah para sejarawan menyembunyikan isu-isu sensitif dan berbahaya di samping menyembunyikan fakta-fakta yang boleh menjatuhkan maruah bangsa/negara sendiri. Kita tidak ditekankan, malah tidak didedahkan sangat supaya mempelajari sejarah Islam dari perspektif Islam yang sebenarnya. Kita hanya belajar di sekolah mengenai sejarah Islam yang sesuai diguna pakai dan diterapkan dalam sistem demokrasi ini. Dalam Islam, kuasa membuat pilihan yang mutlak terletak hanya di tangan Allah SWT. Penguasa-penguasa "negara Islam" sekarang ini amat takut sekiranya kuasa mereka dicabut dan diserahkan secara total kepada Penguasa sarwajagat. Sekiranya kisah-kisah mengenai khilafah Islam dan asas kekuatan Islam yang sebenarnya diajarkan di sekolah-sekolah, nescaya berlaku kebangkitan satu hari nanti. Di situlah fakta sejarah dimanipulasi untuk kepentingan peribadi. Lihat saja berapa banyak sumber sejarah di-banned, kononnya demi menjaga "keharmonian."

Sayyid Qutb pernah berkata bahawa di dalam dunia ini hanya ada dua masyarakat; masyarakat Islam dan masyarakat Jahiliah. Berpandukan daripada kenyataan ini, tiada perkara yang diredai Islam dan diredai juga oleh Jahiliah. Maka tidak wujud perkataan neutral dalam kamus sejarah sebenarnya. Sejarawan Islam bukan sejarawan Jahiliah dan begitulah sebaliknya. Islam tidak akan mengagungkan Jahiliah dan Jahiliah tidak mungkin mengagungkan Islam. Mungkin agak melampau jika ana katakan "keneutralan sejarah tidak wujud" tetapi nampak gayanya itulah hakikat.

Ini semua merupakan agenda orang-orang kafir yang benci akan Islam. Merekalah yang memperkenalkan sistem demokrasi kepada umat manusia -- sistem yang mencabut hak pemerintahan daripada Allah dan memberi hak tersebut kepada manusia pada zahirnya. Untuk memastikan Islam tidak akan bangkit kembali, mereka mencemarkan sejarah Islam yang murni. Sebagai contoh, pihak kerajaan yang tidak bertanggungjawab merosakkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat muka surat 131 dengan mengatakan Rasulullah SAW berperang untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara semata-mata. Ini satu penghinaan! Orang Islam berperang hanyalah untuk mempertahankan ISLAM semata-mata.

Islam kini dituduh sebagai agama keganasan. Para pemimpin Islam sekarang sanggup berusaha menerapkan sistem demokrasi dalam pemerintahan. Pada masa yang sama, pemimpin Barat ketawa berdekah-dekah melihat umat Islam tak nampak lombong emas di depan mata. Bangkitlah wahai umat Islam … tak 'kan Islam hilang di dunia -- itu janji Allah!

14 Mei 2008

Blog Sebagai Wasilah Dakwah

Alhamdulillah, satu lagi blog baharu daripada saya. Blog ini bertujuan menjadi satu wadah untuk saya mencoretkan tinta dakwah dan tarbiah dalam bahasa Melayu sebagai tatapan netizen yang berbahasa Melayu khususnya. Blog ini juga diharapkan bertindak sebagai tempat saya menerbitkan penulisan yang tidak boleh diterbitkan di Fikruttaqwa Online di samping membantu saya dalam penulisan bahasa Melayu baku.