11 Disember 2009

Comelnya muka taip ni!

Assalamualaikum WBT.

Kali ini kita akan belajar tentang tipografi. Bukan, bukan tentang bentuk muka bumi macam dalam Geografi sekolah menengah. Itu topografi. Tipografi ialah ilmu tentang muka taip dan fon. Penting-kah? Sangat penting, sepenting berbahasa lembut kepada sang da’i.

Apakah tipografi, sebenarnya?

Tipografi bukan setakat memilih muka taip yang cantik untuk blog atau assignment kita. Saya sayang Wikipedia:

Tipografi atau bahasa Inggerisnya typography ... merupakan teknik dan seni mengatur huruf menggunakan gabungan bentuk huruf cetak, saiz fon, ketebalan garis, jarak antara baris, jarak aksara, dan ruang huruf untuk menghasilkan hasil seni aturan huruf dalam bentuk fizikal atau digital.

(Tipografi - Wikipedia, italik saya)

Dalam bahasa yang mudah, tipografi ialah memilih muka taip dan mengubah apa yang patut mengikut kesesuaian (diterangkan dalam pos lain) untuk membolehkan sesuatu teks mencapai matlamat yang dihajati.

Skop tipografi sangat luas—mudah kata, meliputi semua perkara yang memerlukan teks seperti buku, laman web, blog, papan tanda, kaligrafi, kad jemputan dan banyak lagi.

Tipografi bukan ilmu baru. Ilmu tipografi berkembang dengan pesat bermula empat belas kurun lalu—ya, seiring dengan penulisan al-Quran. Orang Islamlah yang mengembangkan tipografi to its perfection. Cuma, pada waktu itu, kita mengenali tipografi dengan nama khat.

Khat Arab sangat terperinci; saiz huruf ditentukan melalui titik-titik qat yang berkadaran dengan saiz mata pena (sistem ini diperkenalkan Ibn Muqlah). Kebanyakan khat dibentuk berasaskan ilmu geometri, seperti khat Thuluth yang dinamakan thuluth (satu pertiga) kerana satu pertiga daripada bentuk setiap glif hurufnya dicondongkan.

Ilmu ‘memilih fon’ mengikut kesesuaian telah diaplikasikan orang Islam dari dulu lagi: khat Naskh yang mudah dibaca amat sesuai digunakan untuk teks panjang yang dikenali dalam dunia penerbitan sebagai copy (naskhah). Khat Diwani tampak anggun dan digunakan untuk tujuan pentadbiran semasa zaman Uthmaniah (dewan kerajaan). Khat Riq’ah pula diadaptasi untuk penulisan harian yang cepat dan ringkas.

Masya-Allah, ini memang ilmu Islam! Generasi sebelum kita mementingkan bagaimana bentuk teks mereka demi menghormati dan melambangkan keindahan Islam. Kita pula sesedap hati menggunakan Comic Sans MS sebagai teks blog kita. Ada disiplin dan peraturan memilih muka taip, bukan berdasarkan kecantikan saja. Tipografi merupakan hikmah umat Islam yang kian pudar. Jadi, untuk merampas kembali hikmah ini, teruskan membaca :)

Tipografi ada dua jenis: tipografi teks dan tipografi paparan (display typography). Blog Markazul Fikr ini lebih tertumpu pada tipografi teks, walaupun Mujtahid005 sebenarnya lebih meminati tipografi paparan. Penerangan lanjut tentang kedua-dua jenis tipografi ini di bawah.

Istilah… Oh, Istilah!

Sebelum kita teruskan dengan perbincangan jenis tipografi, mari kita lihat beberapa istilah penting dalam tipografi (dan penerbitan) supaya kalian lebih faham akan apa yang sudah dan bakal saya tulis:

Teks, dalam konteks artikel ini, dimaksudkan sebagai bahan bertulis itu sendiri. Teks buku merujuk kepada karangan dalam buku tersebut, bukan kulit buku. Teks papan tanda pula merujuk kepada maklumat bertulis yang ingin disampaikan melalui papan tanda tersebut.

Taip (type) sama ertinya dengan muka taip.

Muka taip (typeface) ada dua maksud. Yang pertama ialah reka bentuk satu set aksara (characters) yang lengkap yang mempunyai ciri-ciri yang sama dan unik. Times New Roman (TNR) ialah sejenis muka taip. Yang kedua, yang sama ertinya dengan taip, ialah tipografi itu sendiri. Apabila kita berkata tentang taip sesebuah buku, kita merujuk kepada semua bahan yang memerlukan tipografi dalam buku tu, termasuk pengepala, nota kaki, teks, dsb.

Fon (font) merupakan stail yang spesifik dalam satu-satu muka taip. Okey, Times New Roman ialah sejenis muka taip. Times New Roman Italic pula salah satu fon yang terkandung dalam keluarga muka taipTimes New Roman, yang mungkin mengandungi fon-fon lain seperti TNR Bold, TNR Regular, TNR Bold Italic, TNR Small Caps, dsb. Fon juga merujuk kepada fail digital itu sendiri (contohnya *.ttf, *.otf, *.fon).

Saiz poin pula merujuk kepada, apa lagi, saiz taip. Buka MS Office Word, dan lihat bahagian saiz fon. Saiz fon diukur dalam unit poin. 72 poin panjangnya satu inci di atas kertas. Dalam bentuk digital, 12 poin bersamaan 16 piksel.

Cukuplah sebagai permulaan. Dalam pos-pos akan datang, insya-Allah, kita akan melihat lebih banyak istilah-istilah berkaitan tipografi dan penerbitan. Jangan risau kalau terkeliru; fon, muka taip, dan taip memang biasa tercampur aduk. Perbezaan yang saya tulis skema saja.

Tipografi untuk apa?

Baiklah, kembali kepada dua jenis tipografi tadi. Tipografi teks ialah rawatan taip bagi hasil penulisan seperti buku, akhbar, majalah, laman web dan blog. Tipografi paparan pula ialah penggunaan taip dalam reka bentuk grafik (graphic design). Mudah bicara, lihat contoh di bawah.

Matlamat utama tipografi teks ada dua: menjadikan teks (a) jelas, dan (b) mudah dibaca. Kejelasan, atau legibility, merujuk kepada keadaan sesebuah teks sama ada huruf-hurufnya boleh dikenal pasti dan dibezakan, atau tidak. Sebagai contoh, huruf ‘h’ yang diset italik dalam muka taip jenis Blackletter dengan saiz poin yang kecil boleh disalah anggap sebagai huruf ‘b’. Angka 3 pula boleh dibaca sebagai angka 8 dalam muka-muka taip yang tertentu.

Kadangkala, masalah kejelasan dapat diselesaikan dengan menaikkan saiz poin; namun, biasanya masalah ini diselesaikan dengan memilih fon yang lain.

Kemudahbacaan, atau readibility merujuk kepada kebolehan sesuatu teks yang panjang untuk dibaca dalam jangka masa yang panjang tanpa sebarang kesukaran atau kelesuan mata. Biasanya, kemudahbacaan ini penting untuk teks yang panjang seperti buku, tetapi tidak untuk teks yang pendek seperti papan tanda di jalan raya. Kemudahbacaan adalah berkenaan keselesaan visual—keselesaan mata kita. Muka taip sans serif seperti Arial memang jelas, tetapi tidak mudah baca, terutamanya dalam media cetak.

Bagi sesiapa yang memiliki novel Ketika Cinta Bertasbih terbitan aR Products Sdn Bhd (Penerbitan Al-Hidayah), yang manakah mudah dibaca: novel pertama atau novel kedua? Yang pasti, mata saya sakit membaca novel kedua. Penulisan Kang Abik yang mantap saja yang mendorong saya membaca juga separuh kedua dwilogi Islam yang diset sepenuhnya dalam Arial tersebut.

Tipografi teks juga bertujuan melahirkan suasana yang sesuai dengan teks. Cuba kalian bayangkan, novel Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani diset semua huruf besar. Memang tak terbaca. Yang pening bertambah pening jika kertas kerja Teori Kerelatifan Einstein diset dalam Comic Sans MS atau Anime Ace BB 2.0. Tipografi penting!

Teks novel dan karangan ilmiah biasanya diset dalam muka taip serif seperti Palatino Linotype dan Goudy Old Style. Kertas soalan SPM diset sepenuhnya dalam Times New Roman. Bagi mereka yang merasakan bahawa TNR sudah klise, Georgia boleh menjadi alternatif. Muka taip sans serif seperti Arial, Helvetica dan Gill Sans pula lebih sesuai digunakan untuk pengepala, seperti tajuk setiap pos blog ini diset dalam Helvetica. Comic Sans MS? Nilailah sendiri … saya tak sanggup.

Tipografi paparan pula, tujuan utamanya adalah untuk nilai estetika dan komunikasi. Seorang pereka grafik menggunakan taip untuk menyampaikan mesej dengan memanipulasi warna, saiz, ruang putih, menggabungkan elemen fotografi dan kreativiti, dan lain-lain. Semuanya untuk menjadikan karyanya menarik dan bermakna.

Saya yang meminati gaya minimalis memang gemar akan tipografi paparan. Dalam kebudayaan Islam, tipografi teks ialah penggunaan khat Naskh dalam penulisan al-Quran dan buku-buku ilmiah, manakala tipografi paparan pula kita lihat daripada penggunaan khat Thuluth di dinding-dinding masjid.

Tipografi untuk siapa?

Good typography is invisible. Tipografi yang bagus tidak dapat dilihat. Tipografi yang tidak bagus pula memang nampak jelas. Kadangkala kita membaca buku tiga jam tanpa henti. Hal ini kerana mata kita selesa membacanya. Kita tidak menyedari langsung usaha jurutipografi yang memilih dan menentukan saiz fon, jarak antara huruf dan baris, dan sebagainya. Tetapi apabila kita memasuki blog dengan latar belakang hitam dan teks merah terang, kita serta merta sakit mata dan malas membaca.

Tipografi adalah untuk orang-orang yang melibatkan diri dalam bidang penerbitan, khususnya:

  • blogger,
  • editor,
  • pengatur huruf,
  • pembaca pruf,
  • dan pereka grafik.

Yang saya sebut di atas ini semuanya mengurus taip pada peringkat akhir sebelum penerbitan. Mereka sepatutnya menguasai ilmu tipografi supaya mesej yang hendak disampaikan dapat sampai ke hati audiens.

Nak habis dah…

Dengan menulis artikel ini, saya berharap agar blog-blog dakwah yang setiap hari muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini, sedikit sebanyak mengambil berat unsur reka bentuk dan persembahan bahan. Memanglah isi kandungan yang paling utama, tetapi, dalam ilmu dakwah, pendekatan juga memainkan peranan. Sepertimana kita tidak boleh memaksa dalam dakwah, kita juga tidak boleh memaksa orang membaca blog kita dengan tipografi yang menyakitkan mata.

Saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang ini. Saya cuma rajin membuat kajian dan pemerhatian. Moga Allah menerima usaha ini, dan moga kita dapat mengambil manfaat daripada penulisan ini dan mengamalkannya sama ada dalam penerbitan cetak, elektronik, mahupun reka bentuk grafik—dalam konteks berdakwah kepada masyarakat. Ingatlah, sesungguhnya Allah itu cantik dan Dia suka kepada kecantikan.

Wallahua'lam.

5 ulasan:

  1. Assalamualaikum. Wah makin comel la blog ni. Bagus la dah tukar font baru la orang lain terus nak baca kan? :)

    BalasPadam
  2. haha... Mantap. Mantap.
    isk2... Memang sesuatu yang dpt dijangka oleh Ashraf Ilman sahaja.. Mantap2...
    "Sejarah tidak boleh diundur lagi."

    BalasPadam
  3. @Qubezo:
    Wassalam. Terima kasih atas komen. Hehe, al-qudwah qabla ad-da'wah. Mestilah tukar fon; barulah boleh ajak orang tukar fon, kan? :)

    @Muku-san:
    Tak mantap la ni. Kalau mantap pun, izin Allah-lah semuanya. Penulisan ni pun berdasarkan kajian bahan orang lain, jadi orang lain tu lagi hebatlah :)
    Tapi George Santayana kata, "Barangsiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya." Haha.

    BalasPadam
  4. adakah penggunaan typography memerlukan konsep atau tema semasa penggunaanya dalam rekaan grafik ataupun penggunaan pada lain...

    BalasPadam
  5. kebersihan amalan hidup kita

    BalasPadam