19 Mei 2010

Ancaman Globalisasi

Disunting daripada tulisan Ahmad Hashimi dalam Fikruttaqwa 2009. Artikel asal.

Zaman moden kini, seribu satu maklumat berada di hujung jari. Pendapat, pandangan dan ideologi mengalir deras dalam arus teknologi maklumat sekarang, tidak kira baik atau buruk. Semua ini membawa kepada satu kesan, iaitu penyatuan cara hidup tanpa mengira bangsa dan sempadan; dan cara hidup yang baru ini melunturkan semua identiti bangsa dan menggantikannya dengan cara hidup yang baru. Cara hidup yang baru ini juga merupakan simbol pemodenan – dan sumber atau rujukan cara hidup ini ber­asal kebanyakannya dari Barat atau Eropah.

Ancaman Terhadap Islam

Tidak dapat dipastikan sekiranya ini memang merupakan satu perancangan atau tidak, tetapi yang pastinya, cara hidup ini membawa banyak kesan buruk kepada satu bangsa – bukan bangsa Melayu, tetapi bangsa Islam. Seperti yang telah dinyatakan, setiap bangsa mempunyai identitinya masing-masing sebelum kedatangan cara hidup yang diagung-agungkan sekarang ini, dan identiti bangsa Islam merupakan cara hidup yang paling cantik, lengkap, dan sempurna sama ada sebelum ataupun selepas kemunculan cara hidup yang baru ini. Sebabnya hanya satu: Islam tidak terbit daripada buah fikiran manusia tetapi ia didatangkan oleh Pencipta buah fikiran manusia, malah Pencipta kepada manusia itu sendiri, Rabbul ‘Alamin Allah SWT.

Apakah kesan cara hidup baru yang lain daripada Islam ini? Kepada yang belum sedar, lihatlah di depan mata anda, atau mungkin ke dalam diri anda sendiri. Hendak tahu bagaimana cara hidup Islam beroperasi sepenuh­nya dan ingin membuat perbandingan dengan cara hidup sekarang? Belajarlah sejarah bangsa Islam. Ataupun mungkin anda boleh cuba hidup dalam saki-baki jemaah yang berpegang kepada cara hidup Islam dan cuba untuk mewujudkannya semula.

Din Allah Memerlukan Penggerak

Cara hidup Islam ialah identiti bangsa Islam. Seperti yang telah dinyatakan, cara hidup yang mulia ini hampir-hampir ‘hilang’ pada zaman sekarang. Cara hidup Islam kini umumnya hanya terdapat dalam kertas-kertas yang menceritakan tentangnya. Tetapi di manakah penggerak-penggeraknya, pengamal-pengamalnya? Terlalu dagang orang-orang yang mengamalkannya sekarang. Ketahuilah hai ahli-ahli kepada bangsa Islam: sesungguhnya Pengasas kepada cara hidup ini yakni Rabb kita Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 138:

Sibghah Allah (acuan Allah); siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah.

Sekarang ini terlampau sedikit manusia yang diacu dengan dengan acuan Allah, kerana mereka secara sedar atau tidak telah memilih acuan-acuan Barat. Kita perlu sedar bahawa acuan Islam yang dicipta khas oleh Allah SWT ialah yang terbaik, kerana kita merupakan pewaris dakwah Rasulullah SAW.

Warkah untuk Pewaris Nabi

Akhir kata, wahai kalian yang menerima tarbiah, rasailah betapa beruntungnya kita yang masih berada dalam lubuk tarbiah ini. Manfaatkanlah, kerana pada suatu hari, pembawa imej dan identiti Islam ialah orang-orang yang lahir dari lubuk tarbiah ini sebagai penjuru-penjuru Islam, bucu-bucu Islam. Sebagai manusia yang lemah, secara fitrahnya dan secara akidahnya kita tidak boleh memilih dua cara hidup yang berbeza untuk hidup kita. Oleh itu nilailah dua cara hidup ini dan pilihlah dengan kebijaksanaan. Jahiliah memang sentiasa merancang supaya umat Islam tenggelam dalam cara hidup yang dipasarkan mereka. Maka sekarang ini kita sedang berhadapan dengan satu organisasi atau kesatuan yang cukup kuat.

Sahabat-sahabat sekalian, jalan yang kita pilih ini tidak menjanjikan apa-apa di dunia ini kecuali banyaknya luka, peluru dan tali gantung yang boleh melemahkan sesiapa sahaja tetapi bukan kalian, kerana kalian dibentuk dalam suasana tarbiah, dan dihiaskan dengan keindahan akhlak. Diri ini tidak dapat menjanjikan apa-apa kebahagiaan untuk kalian di dunia ini, tetapi diri ini menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada itu iaitu doa, supaya kita sama-sama teguh melalui jalan dakwah yang mulia ini.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan