14 Mei 2008

Blog Sebagai Wasilah Dakwah

Alhamdulillah, satu lagi blog baharu daripada saya. Blog ini bertujuan menjadi satu wadah untuk saya mencoretkan tinta dakwah dan tarbiah dalam bahasa Melayu sebagai tatapan netizen yang berbahasa Melayu khususnya. Blog ini juga diharapkan bertindak sebagai tempat saya menerbitkan penulisan yang tidak boleh diterbitkan di Fikruttaqwa Online di samping membantu saya dalam penulisan bahasa Melayu baku.


Pertama sekali, hendaklah kita semua menyedari satu realiti—realiti yang kebanyakan daripada kita menganggapnya enteng. Realiti, bahawa dakwah ke jalan Allah itu merupakan satu kewajipan yang tergalas di atas bahu setiap mukallaf. Pekerjaan dakwah itu merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana pekerjaan tersebut merupakan tugas yang diamanahkan kepada para nabi dan rasul; apakah ada manusia yang lebih mulia daripada sekalian anbiya dan mursalin? Allah swt telah memuliakan umat Muhammad saw dengan menjadikan tugas ini tanggungjawab kita sebagaimana yang termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud:

Al-Quran, Surah Ali Imran,
3 : 110

Kamu ialah umat terbaik yang dibangkitkan untuk manusia; kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah.”

Di samping itu, menyeru manusia kepada Allah juga merupakan sunnah dan jalan yang dilalui baginda Nabi saw serta sekalian umat Islam yang mengimani kerasulan baginda. Firman Allah lagi:

Al-Quran, Surah Yusuf,
12 : 108

Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Inilah jalanku—aku dan orang-orang yang mengikutiku—menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas dan nyata. Maka Maha Suci Allah (daripada segala iktikad dan perbuatan syirik), dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.’”

Dengan ini jelaslah bahawa jalan dakwah itu merupakan jalan yang wajib ditempuhi oleh setiap insan yang mengakui bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Dakwahlah satu-satunya jalan untuk menegakkan bendera Lailahaillallah di atas muka bumi, dan satu-satunya jalan untuk membuktikan bahawa Islamlah yang di atas sedangkan Jahiliahlah yang terhina di bawah.

Al-Quran memerintahkan kita untuk berdakwah dengan cara yang berhikmah. Dakwah kepada Islam amat luas dan boleh dilakukan melalui pelbagai uslub (cara) dan wasilah (medium). Dakwah boleh disampaikan dengan cara berkhutbah, berbual-bual, mempamerkan tingkah laku yang mulia, dan sebagainya. Uslub yang boleh diguna pakai oleh para da’i (pendakwah) yang ingin saya tekankan dalam pos kali ini ialah uslub penulisan; medium yang difokuskan pula ialah, merujuk kepada tajuk pos ini, blog.

Blog merupakan satu teknologi yang agak baharu di Internet. Teknologi blog direka pada pertengahan tahun 1990-an, dan menjadi masyhur semenjak 1999. Pada tahun 2007, Technorati mencatatkan lebih kurang 112 juta blog telah wujud di Internet. Pada zahirnya, blog menyerupai laman Web biasa. Secara teknikalnya, blog pada pandangan pelawat adalah sama dengan laman Web biasa. Bezanya tampak bagi pemblog: blog adalah lebih mudah untuk dikemas kini berbanding laman Web menyebabkan teknologi ini menjadi pilihan ramai pengguna Internet yang ingin membina laman sendiri di alam maya.

Proses untuk mendaftar blog adalah sangat enteng dan hanya mengambil beberapa ketika. Apa yang diperlukan hanyalah sambungan ke Internet dan alamat e-mel. Mereka yang ingin membuat blog boleh melayari penyedia servis blog yang terkenal seperti Blogger.com, Wordpress.org, dll. Dalam masa hanya beberapa minit mengikuti langkah-langkah yang tertera di skrin, satu blog baharu pun lahir. Ini antara faktor utama perkembangan blog yang sangat pantas bak cendawan tumbuh selepas hujan. Mudah, pantas, dan menyenangkan.

Di samping itu, sifat blog yang anjal dan mudah dikemas kini menyebabkan ramai orang kini memilih blog daripada laman Web. Berbanding laman Web biasa yang memerlukan masa yang panjang serta kemahiran teknikal untuk diperbaharui kandungannya, bahan baharu boleh dipaparkan di blog hanya dengan sekali tekan sahaja. Inilah keistimewaan blog yang tidak terdapat pada teknologi Internet yang lain.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, alangkah baiknya sekiranya medium berpotensi tinggi ini digunakan untuk menyampaikan dakwah. Blog adalah agak baik jika dibandingkan dengan format penerbitan yang lain seperti akhbar, majalah dan sebagainya dari beberapa aspek. Aspek pertama ialah kos. Kos membuat blog adalah percuma. Yang perlu dibayar cuma sambungan Internet dan juga bil elektrik. Selain itu, pembaca juga membaca blog dengan percuma. Audiens bagi blog adalah jauh lebih luas berbanding penerbitan berbentuk cetakan kerana audiens blog ialah masyarakat global Internet keseluruhannya.

Kelebihan blog sebagai medium untuk menyampaikan Islam sudah semakin disedari oleh ramai orang. Dalam realiti ana sendiri, sahabat-sahabat serta ustaz-ustaz sudah ramai yang mempunyai blog sendiri di Internet. Bahan-bahan yang disajikan tidak kurang mantapnya. Fikruttaqwa Online merupakan inisiatif Kelab Penerbitan untuk menyampaikan dakwah kepada netizen di Nusantara. Kelab-kelab lain juga boleh membuat blog masing-masing supaya kita boleh bernaung di bawah satu gagasan blog (blogosphere) mini di Internet. Dengan blog-blog Islam bercambah di Internet, para pelajar mempunyai banyak pilihan tempat untuk dilawat di alam maya. Moga-moga dengan ini wujudlah masyarakat pelajar yang rajin membaca dan mengutip ilmu.

Konklusinya, bagi mereka yang mampu berblog, maka berbuatlah demikian. Tidak ada ruginya mereka yang berblog kerana Allah. Cuma, pastikan blog tersebut tidak menyebabkan kita mengabaikan tanggungjawab kita sama ada sebagai Muslim, anak, pelajar, pekerja, mahupun pemimpin. Berbloglah kita dengan kebersamaan Allah. Jadikan blog sebagai wasilah dakwah dan bersihkan Internet ini daripada segala unsur kekotoran serta karat jahiliah yang masih berakar umbi padanya. Marilah kita menyediakan Internet sebagai teknologi yang bermanfaat untuk generasi-generasi yang akan datang.

Wallahua'lam. Wasalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan