02 Mei 2009

Tatabahasa Sebagai Wasilah Komunikasi

Assalamualaikum WBT.

Tatabahasa, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ialah pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan perkataan dalam proses pembinaan ayat (penyusunan kata dalam ayat) dan lain-lain.

Dalam bahasa yang mudah, tatabahasa ialah pengetahuan kita dalam membentuk ayat yang mengikut standard.

Pada pendapat saya, ada satu masalah dengan tatabahasa Melayu: tatabahasanya ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkara ini menyebabkan standard tatabahasa Melayu menjadi terlampau tinggi dan sangat jauh bezanya dengan struktur bahasa lisan Melayu. Ini memerlukan orang Melayu sendiri mempelajari bahasa Melayu sehingga tergaru kepala. Peraturan demi peraturan dikeluarkan—membezakan antara ialah dengan adalah, dari dengan daripada, dan sebagainya. Peraturan dikeluarkan menyatakan oleh kerana adalah salah; yang sepatutnya oleh sebab. Tolong jawab soalan saya secara jujur: antara ialah dengan adalah, dari dengan daripada, dan oleh kerana dengan oleh sebab; pada pandangan kalian, adakah perbezaannya? Jika kita menggunakan perkataan ialah apabila DBP menetapkan bahawa adalah adalah lebih layak digunakan, adakah ayat tersebut tidak dapat difahami?!

Ternyata; tatabahasa Melayu kini mengheret bahasa Melayu jauh daripada tujuan sebenar kewujudan bahasa: komunikasi. Bahasa adalah untuk difahami. Asalkan orang Melayu, khususnya yang bertutur loghat Johor-Riau, dapat memahami bahasa yang kita tuturkan, maka tatabahasa itulah tatabahasa Melayu. Loghat Johor-Riau merupakan loghat standard bahasa Melayu. Hampir semua rakyat Malaysia memahami bahasa Melayu yang dituturkan dalam loghat ini. Maka sebetulnya tatabahasa Melayu Johor-Riaulah yang patut menjadi standard tatabahasa Melayu. Jika tatabahasa Melayu Johor-Riau berubah, maka sepatutnya tatabahasa Melayu turut berubah. Kenapa kita terlalu rigid?

Konsep pelestarian apa yang tidak fleksibel begini? Bahasa ialah milik masyarakat yang menuturkan bahasa tersebut. Bahasa bukan milik sesebuah badan penyelaras. Harapan saya di sini ialah supaya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka berhenti daripada menetapkan peraturan-peraturan yang tidak bermakna dalam tatabahasa Melayu.

Dengan tulisan ini, tidak saya maksudkan bahawa tatabahasa itu tidak penting. Saya juga masih menjadi pembela tatabahasa Melayu dari dahulu hingga sekarang. Jika tidak, masakan saya menulis artikel ini dengan tatabahasa Melayu baku. Saya tahu akan kepentingan tatabahasa iaitu untuk menyelaraskan bahasa Melayu supaya dapat difahami oleh setiap lapisan masyarakat yang bertutur loghat yang berbeza-beza. Kepentingannya juga untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kepentingannya juga menyediakan satu sistem untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Saya tahu kepentingan tatabahasa iaitu sebagai wasilah komunikasi.

Apa yang cuba saya tekankan di sini ialah apa gunanya membuat perubahan yang tidak penting? Hanya kerana ada dua perkataan yang hampir sama penggunaannya tidak bermaksud pihak DBP harus menetapkan kalimah A untuk apa dan kalimah B untuk apa. Berikan sedikit ruang kebebasan dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris misalnya, penutur bebas memilih sama ada ‘till’ atau ‘until’. Tidak pula ditetapkan ‘till’ untuk masa dan ‘until’ untuk tempat. Tolonglah kekalkan tatabahasa sebagai wasilah komunikasi dan hanya wasilah komunikasi. Sepatutnya kita merubah bahasa Melayu untuk menjelaskan kesamaran yang menyulitkan pemahaman, bukan merubah bahasa Melayu untuk menjelaskan kesamaran lalu menyulitkan pemahaman.

Mungkin ada di antara pembaca yang berkata, kalau tak mahu mengikut tatabahasa, tak perlulah. Hmm, pada pendapat kalian, siapakah agaknya yang terkesan secara langsung dengan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh DBP ini? Ya, pelajar—pelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang strukturnya rigid dirigidkan lagi. “Ayah menghadiahkan Ahmad seutas jam tangan” adalah salah, yang betulnya “Ayah menghadiahi Ahmad seutas jam tangan”. Sudahlah, saya rasa kalian memahami kedua-dua ayat tersebut sama saja. Bahasa Melayu strukturnya rigid; perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu tidak boleh berubah kedudukannya dalam ayat sepertimana dalam bahasa Arab atau bahasa Jepun. Oleh itu, akhiran -kan atau -i sebenarnya tidak penting dalam contoh di atas.

Dalam bahasa Arab, (a) akala Ahmadu attufaaha, (b) akala attufaaha Ahmadu, (c) attufaaha akala Ahmadu, (d) Ahmadu attufaaha akala, (e) attufaaha Ahmadu akala dan (f) Ahmadu akala attufaaha semuanya merupakan ayat yang sama maksudnya. Hal ini disebabkan oleh akhiran kalimah-kalimah tersebut. Akala merupakan kata kerja yang bermaksud ‘makan’. Akhiran -u pada kalimah Ahmadu menunjukkan Ahmad sebagai subjek. Akhiran -a pada kalimah attufaaha menjadikan epal sebagai objek. Memandangkan kata kerja, subjek dan predikat telah ditentukan pada kalimah itu sendiri, maka kedudukan kalimah dalam ayat boleh diubah-ubah tanpa mengubah maksud ayat: “Ahmad makan epal.”

Kita lihat pula bahasa Jepun, menggunakan contoh “Ahmad makan epal” yang sama, Ahmad-wa ringo-o tabemasu, Ringo-o Ahmad-wa tabemasu, dan bagaimana pun diubah struktur ayatnya, ayat tersebut masih boleh difahami. Ini bergantung kepada akhiran -wa yang menandakan subjek dan akhiran -o yang menandakan objek.

Tatabahasa Melayu baku tidak membenarkan perubahan ini. “Ahmad makan epal” dan “Epal makan Ahmad” membawa makna yang jauh berbeza. Hanya terdapat satu perubahan yang boleh dilakukan—menggunakan teknik ayat songsang—untuk menukar kedudukan kalimah dalam ayat ini tetapi masih mengekalkan maknanya iaitu “Makan epal, Ahmad”. Sungguhpun begitu, ayat songsang tidak dibenarkan dalam dokumen rasmi. Dalam pada itu, “Makan Ahmad epal”, “Ahmad epal makan”, dan “Epal Ahmad makan” tidak diterima dalam tatabahasa Melayu baku.

Daripada ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu dapat difahami secara terus melalui strukturnya yang rigid. “Ali melastik burung” dan “Ali lastik burung” dapat difahami oleh penutur dengan baik. “Penonton membanjiri stadium” dan “penonton membanjirkan stadium”—walaupun ayat kedua memang pelik, tetapi bukankah kedua-dua ayat itu difahami dengan baik? Memang, saya pun kurang bersetuju dengan ayat kedua; saya tidak berhasrat untuk menidakkan peraturan bahasa Melayu yang cukup cantik dan profesional. Cuma ketahuilah, bahasa Melayu dapat difahami walau tunggang langgang macam mana sekalipun asalkan kedudukan perkataan dalam ayat adalah baku.

Kesimpulannya, ini merupakan hasrat saya bagi tatabahasa Melayu pada masa akan datang:

  • Tidak melakukan perubahan yang tidak bermakna
  • Mengubah struktur bahasa hanya jika tidak diubah ia akan menyukarkan penutur
  • Setiap perubahan menjadikan bahasa Melayu lebih komunikatif, bukan definitif
  • Menjadikan bahasa Melayu lebih fleksibel dan memberi ruang kepada kreativiti
  • Tidak menyukarkan pelajar subjek Bahasa Melayu

Sekian daripada saya, tolong betukan saya jika tersilap dari segi fakta, tatabahasa, atau jika saya terkasar bahasa.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan