30 Januari 2012

Haq vs Bathil

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, bukan pandangan mana-mana afiliasi penulis. Harap maklum.

Ada yang sibuk memperdebatkan: zaman kita ini – jika dianalogikan dengan zaman Rasulullah SAW – zaman Makkiyyah atau Madaniyyah?

Zaman ini zaman KITA.

Jika dilihat semula konsep organisasi Islam atau jama’ah Islam, jama’ah pada zaman Rasulullah SAW sinonim dengan Islam itu sendiri. Muslim, bererti dia merupakan ahli jama’ah; dan vice versa. Keluar daripada Islam bererti keluar daripada jama’ah; dan vice versa. Tiada istilah “pendakwah bebas” atau “ulama‘ UMNO” atau “penyokong Islam non-Muslim” atau “lompat parti”.

Pada zaman kita, “al-Jama’ah” itu tiada. Individu yang tidak melibatkan diri dengan mana-mana jama’ah Islam tidak boleh dihukum kafir. Malah, individu yang menyertai organisasi yang bersifat menentang gerakan Islam juga tidak boleh sewenang-wenangnya dihukum kafir. Organisasi-organisasi Islam pada hari ini tidak boleh disamakan seratus peratus dengan gerakan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dari segi hukumnya dalam syariat. Dan pada hari ini, kita ada penyokong-penyokong organisasi Islam yang terdiri daripada non-Muslim, seperti Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Tetapi tema yang sama antara zaman kita dengan zaman Rasulullah SAW ialah “Haq vs Bathil”. Jika pada zaman Rasulullah SAW, Haq itu ialah Islam itu sendiri, dan Bathil itu ialah taghut. Pada zaman kita, Haq itu ialah Islam dan penyokong-penyokongnya, dan Bathil itu ialah taghut dan penyokong-penyokongnya.

Yang perlu diberikan keutamaan sekarang ialah menyatukan penyokong-penyokong Islam dengan satu matlamat yang sama iaitu menjatuhkan taghut dan penyokong-penyokongnya. Kata Dr Mahmoud Ezzat, Naib Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin:

الاسلام الدين لنا والحضارة لغيرنا
Islam itu Din bagi kita (Muslim), dan tamadun bagi selain kita (non-Muslim).
Inilah tema yang harus kita kehadapankan. Islam adalah solusi – bukan saja untuk kita, tetapi untuk semua.

Matlamat akhir kita ialah melaksanakan syariat Allah sepenuhnya di negeri kita dan ultimately di atas muka bumi ini seluruhnya – ini merupakan sesuatu yang wajib dan tidak boleh dinafikan. Namun, kita tidak boleh memotong tangan pencuri pada zaman fitnah, kata Dr Mahmoud. Prerequisite untuk pelaksanaan syariat secara sepenuhnya (hudud etc.) ialah umat berada dalam keadaan hurriyyah wal ’adalah (kebebasan dan keadilan).

Tiada jalan lain untuk menyatukan pemikiran umat bagi membolehkan mereka bergerak menuju matlamat yang sama melainkan jalan dakwah dan tarbiah.

Umat perlu sedar peranan mereka untuk menjatuhkan taghut, kerana perubahan itu harus bermula dalam diri umat itu sendiri. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Perbaiki dirimu, dan ajak yang lain. Menumbangkan kerajaan yang taghut merupakan langkah yang kemudian, selepas menumbangkan taghut dalam diri individu dan diri umat. Perubahan yang sustainable bukan bermula dengan sekadar memenangi kerusi di parlimen, tetapi dengan perubahan yang mendasar dalam jiwa umat.

Sifat manusia mudah menyalahkan orang, sukar menyalahkan diri sendiri. Mudah untuk kita menuding jari pada kerajaan yang melakukan korupsi, mendirikan pusat-pusat maksiat, dan sebagainya; tetapi sukar untuk kita mengaku kesalahan diri tidak memperbaiki diri dan melaksanakan dakwah dan tarbiah. Bukan penulis hendak mempertahankan kerajaan taghut: tumbangnya kerajaan zalim itu merupakan anugerah Allah – sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum – setelah kita berusaha menanamkan kesedaran, menyatukan fikiran, dan memperbaiki diri sendiri dan masyarakat – sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

W/A.