10 Februari 2010

Sajak: Tangisan Da’i

Aku melihat Jumat menangis,
aku tahu bahawa seorang da’i
bukan menangis kerana dia kepayahan
menghadapi masalah atau penderitaan.
Seorang da’i tidak akan menangis
disebabkan cabaran sekecil itu,
yang bertaburan di atas jalan dakwah
yang sememangnya penuh onak dan duri ini.

Tetapi aku tahu dia menangis
kerana dia merasa gentar…
andaikata dakwahnya tidak dapat
menyentuh hati-hati yang dipeluknya…
dia tidak mampu menyelamatkan
insan-insan di tepi jurang neraka…

Aku faham perasaannya,
tatkala jantungku bertemu jantungnya,
degup kami seiring.

Ahmad Ilman,
Dewan Utama KTD,
4 Januari 2010.

Sajak: Air Mata

Dan hari ini aku mengalirkan air mata.
Apa yang aku perbuat selama ini?
Aku mengabaikan tanggungjawab dakwah!
Bagai seorang usahawan yang sentiasa
melihat masalah sebagai peluang,
Begitulah sang da’i harus
melihat manusia sebagai mad’u.

09 Februari 2010

Kesukarela... ah, apa-apa ajalah!

Alhamdulillah, selesai sudah Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (jatidiri) 2009/2010 yang bertempat di Kolej Teknologi Darulnaim dan Sri Pantai Resort, Kelantan. Kursus ini memang yang terbaik yang pernah saya hadiri. Berbagai-bagai perasaan menerjah dalam jiwa sepanjang 47 hari perjalanan program ini. Sebelum Markazul Fikr dibanjiri oleh luahan rasa hati dan puisi-puisi tentang kem penuh makna ini, izinkan saya menulis sebuah pos ringan—meluahkan sesuatu yang tak dapat saya pendam lama-lama dalam sanubari: nama program ini.