10 Februari 2010

Sajak: Air Mata

Dan hari ini aku mengalirkan air mata.
Apa yang aku perbuat selama ini?
Aku mengabaikan tanggungjawab dakwah!
Bagai seorang usahawan yang sentiasa
melihat masalah sebagai peluang,
Begitulah sang da’i harus
melihat manusia sebagai mad’u.

Apa akan aku jawab
bila aku ditanya,
“Apa yang kau buat
ketika masyarakat sedang rosak
bagai anak-anak kecil
sedang bermain pisau?”
Aku…tak berbuat apa-apa.
Hanya duduk. Di sini.
Amalku amalku.
Amalmu amalmu.
Syurgaku syurgaku.
Nerakamu nerakamu.
Sedangkan bila-bila masa saja
aku boleh dicampakkan ke dalam
al-Jahim yang membahang!

Hatiku menggetus,
Mengapa keras sangat hati manusia?
Bagai batu, dipecah tiada keluar air.
Padahal… hakikatnya,
hatikulah yang keras!
Sepatutnya aku pergi bertemu
mengetuk pintu-pintu hati mereka,
Tidak kira berapa kali…
Kerana pintu itu jika diketuk
berulang kali pasti terbuka!
Tapi tidak…
Hatiku begitu keras untuk bertemu
hati-hati mereka…
—yang dahagakan perhatian
—sakit yang mendambakan penawar
Jiwa mereka meronta meminta
dikembalikan kepada fitrah…
Akulah pula kini yang menyalahi fitrah!

Ya Allah, Ilah yang membolak-balikkan
hati manusia, aku memohon ampun
daripada-Mu..... ya Allah,

ampunkan aku!

Ahmad Ilman,
Dewan Utama KTD,
4 Januari 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan