02 Mei 2009

Aku dan Bahasa

Assalamualaikum WBT.

Jika kalian membaca artikel saya sebelum ini, Tatabahasa Sebagai Wasilah Komunikasi, tentu kalian akan memandang saya pelik. Ha ha. Tidak saya nafikan; saya memang seorang language-freak (gila bahasa).

Saya tidak pasti jika ada pelajar lain di SMIK yang mempunyai kegilaan yang sama seperti saya. Saya mula membaca ‘kitab hijau’ Tatabahasa Melayu Dewan edisi 1995 oleh DBP semenjak Darjah Enam lagi. Saya telah khatam dan hadam buku tersebut pada pertengahan Tingkatan Tiga. Pada waktu itu, memang sesungguhnya saya boleh dipanggil ‘skema’ dalam bahasa tulisan. Blog saya merupakan blog yang, saya rasa, paling ‘skema’ jika dibandingkan dengan blog-blog lain yang ditulis oleh remaja sebaya saya. Bayangkan, dalam blog diari—bukan blog ilmiah—saya menulis dengan tatabahasa Melayu baku, ejaan yang penuh tanpa singkatan, penggunaan tanda baca yang berpandu, dan pemeriksaan dua tiga kali untuk memastikan saya tidak menulis di kalangan sebaliknya menulis dalam kalangan.

Pada waktu itu juga, saya menjadi pembela hebat tatabahasa Melayu; kononnya pejuang yang memartabatkan bahasa ibunda. Saya pernah mengkritik akhbar yang menggunakan dari pada tempat yang sepatutnya daripada digunakan. Pernah sekali saya tulis sebuah artikel “Keretapi VS Kereta Api” untuk membetulkan seorang guru sekolah rendah. Artikel itu saya cetak dan minta adik tampalkan di kelasnya. Lucu sungguh.

Banyak juga yang saya tahu tentang linguistik. Tidaklah banyak sebenarnya, tetapi banyak jugalah memandangkan saya seorang pelajar sekolah menengah. Morfologi, sintaksis, fonetik … merupakan sebahagian petunjuk kegilaan saya. Oleh kerana salah dan oleh sebab betul; hendak tahu alasannya apa? Oleh merupakan kata sendi nama dan hanya menerima kata nama sahaja selepasnya. Kerana pula merupakan kata hubung dan bukan kata nama. Oleh sebab itu, gabungan oleh kerana adalah salah menurut hukum tatabahasa Melayu terkini. Tahukah kalian apa bezanya antara ialah dengan adalah? Ialah menuntut kata nama selepasnya, manakala adalah menuntut kata sendi nama selepasnya. Contoh ayat: (a) “Ali ialah seorang guru” dan (b) “Buku kamu adalah di rumah Azam”. Kalimah ialah dan adalah diklasifikasikan sebagai kata pemeri dan penggunaannya harus diminimakan—dan hakikat saya menulis perenggan ini tanpa langsung merujuk kepada buku tatabahasa merupakan petanda kroniknya kegilaan saya.

Rupa-rupanya, kegilaan saya bukanlah kegilaan yang tidak bermakna. Saya dipilih menjadi Ketua Editor Fikruttaqwa, buletin bulanan SMIK, pada tahun lalu. Hmm, apakah agaknya tugas seorang editor? Sewaktu saya “menggeladah” perpustakaan mini di rumah untuk mencari buku-buku dakwah haraki, saya terjumpa sebuah buku kecil yang ditulis oleh Arthur Plotnik: Elements of Editing. Saya mengkhatamkan buku tersebut dalam masa seminggu. Nampaknya, skil tatabahasa yang baik diperlukan untuk menjadi seorang editor! Namun, tatabahasa bukanlah motif utama seorang editor; ciri utama yang perlu ada pada seorang editor ialah kemahiran menyunting sesuatu bahan supaya bersesuaian dengan kumpulan pembaca sasaran; dalam kata lain, kemahiran komunikasi selektif. Oleh sebab itulah saya menulis artikel “Tatabahasa Sebagai Wasilah Komunikasi”.

Kegilaan saya pada bahasa tidak terhad pada bahasa Melayu sahaja. Saya meminati banyak bahasa. Bahasa lisan yang saya betul-betul lancar, malangnya, cuma bahasa Melayu sahaja. Tetapi, bahasa yang mampu saya tulis dengan baku ialah bahasa Melayu (sudah tentu!), bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Saya menulis dalam bahasa Inggeris di blog diari saya, a2i | vibes. Dalam bahasa Arab pula, saya tidak banyak menulis tetapi bolehlah juga, mungkin disebabkan latihan-latihan yang diberikan ustaz. Syarahan bahasa Arab yang saya sampaikan pada Malam Kebudayaan Mahrajan Thaqafi ke-4 pada 26 April yang lalu merupakan tulisan saya sendiri dan al-Fadil Ustaz Darus Senawi Ali membuat pembetulan di beberapa tempat.

Sebagai seorang remaja normal yang tinggal di Lembah Klang, secara naturalnya saya terdedah kepada manga dan anime. Kesungguhan mangaka menghasilkan beratus-ratus muka surat yang penuh dengan lukisan yang begitu terperinci telah menarik perhatian saya yang berada di Tingkatan Dua pada waktu itu. Banyak manga yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris saya baca secara online pada waktu itu. Saya mula menjelajah dan mendapati banyak lagi manga yang belum diterjemahkan dan masih dalam bahasa asal iaitu bahasa Jepun. Maka, saya pun mula mempelajari bahasa Negara Matahari Terbit itu melalui internet. Ada seorang kawan saya yang, pada waktu itu, turut berminat dengan bahasa Jepun maka kami pun saling bertukar ilmu tentangnya.

Saya masih meneruskan pembelajaran bahasa Jepun hingga kini (kawan yang meminati bahasa ini bertambah ramai) dan setakat ini saya mempunyai lebih kurang 100 aksara kanji dalam memori. Cuma, pada tahun ini saya bakal menduduki peperiksaan SPM (insyaAllah) oleh itu saya harus mengalihkan fokus kepada yang lebih penting. Dalam pada itu, niat mempelajari bahasa Jepun juga sudah berubah; saya ingin menjadi seorang da’i di Jepun memandangkan Jepun mempunyai potensi yang tinggi untuk Islam. Kurangnya orang Islam di Jepun bukan kerana mereka tidak mahu memeluk Islam, tetapi kerana kurangnya pendedahan. Islam mula sampai di Jepun melalui orang Melayu; ya, ketika Perang Dunia Kedua. Islam di Jepun masih baru. Mereka sebenarnya lebih mudah memeluk Islam kerana ramai dalam kalangan pemuda-pemudi mereka merupakan ateis. Ateis secara dasarnya lebih mudah masuk Islam berbanding mereka yang sudah mempunyai kepercayaan lain. Bak kata Dr Zakir Naik:

Saya ucapkan tahniah kepada golongan ateis; mereka sudah pun memenuhi separuh tuntutan Lailahaillallah iaitu Lailaha- (tiada tuhan). Kerja yang tinggal sekarang cuma membuatkan mereka memenuhi separuh lagi, iaitu -illallah (melainkan Allah).

Saya juga teringat akan kata-kata Abang Muqarrabin, seorang pendaki Everest yang telah berbasikal mengelilingi dunia, yang datang memberi ceramah di sekolah kami, “Di Jepun ada Islam, tetapi tiada orang Islam.”

Kata-kata ini menunjukkan bahawa budaya Jepun mempunyai banyak persamaan dengan akhlak Islam seperti hormat-menghormati, menjaga kebersihan, berdisiplin dan sebagainya; cuma mereka tidak memproklamasikan Lailahaillallah Muhammadurrasulullah.

Berbalik kepada topik, banyak lagi bahasa yang hendak saya pelajari sebenarnya. Antara bahasa yang saya berminat untuk pelajari, jika diberikan peluang pada masa hadapan, ialah bahasa Tamil, Mandarin, Latin, Hebrew dan Perancis. Bahasa Tamil dan Mandarin supaya tidak tertipu di negara sendiri, bahasa Latin untuk merampas kembali ilmu Islam yang dicuri, bahasa Hebrew untuk mencuri dengar perbualan Yahudi, dan bahasa Perancis merupakan antara bahasa sains terpenting kini. Lihat, objektif pembelajaran bahasa semuanya ada kepentingan. Dalam dakwah, tiada istilah saja-saja. Ustaz Daniel berpesan:

Kalau anta jadi ketua persatuan dan dengan itu tidak dapat laksanakan dakwah, tinggalkan [jawatan itu].

Maksudnya, jika kita buat sesuatu (eg: mempelajari bahasa) dan dengan perbuatan itu kita tidak dapat melaksanakan dakwah, lebih baik kita tinggalkan aktiviti itu.

Ketahuilah, mempelajari bahasa merupakan salah satu tuntutan Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Dr Ali Hashimi dalam bukunya Keperibadian Muslim:

[sic] Muslim itu tidak lupa pula memberi perhatian kepada sebahagian bahasa asing, sebab bahasa asing yang tertentu di zaman ini menjadi satu perkara yang sangat penting kepada pendidikan Muslim yang sedar dan cergas demi memahami tuntutan kehidupan Islam semasa.

Hidayat agama yang agung ini menjadi sebaik-baik pendorong kepada Muslim yang sedar untuk mempelajari satu-satu bahasa asing. Rasulullah SAW telah menyeru kita mempelajari bahasa asing semenjak 14 abad yang lalu supaya umat Islam itu mampu dan layak berhubung dengan berbagai-bagai umat dan bangsa; supaya mudah menyeru mereka kepada agama yang benar ini.

Izinkan saya petik sebahagian artikel “Perindah Bahasa Kita” daripada buletin Fikruttaqwa keluaran Februari 2008:

Rasulullah SAW menyeru kita mempelajari bahasa asing supaya kita mudah menyeru bangsa-bangsa asing kepada Islam.

Baginda ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, “Wahai Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.”

Zaid berkata, “Lalu aku mempelajarinya. Maka tidak lalu setengah bulan melainkan aku telah menguasainya.”

Diriwayatkan juga bahawa Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.

Nah, kegilaanku bukan tidak berasas!

Al-Quran telah lama menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah Yang Maha Bijaksana menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia. Mereka yang mempelajari Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah bab Makkiyyah dan Madaniyyah tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa yang straight to the point. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang pertumbuhan kedua-dua bahagian otak sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam, menurut tulisan Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya 7 Formula Individu Cemerlang yang diterbitkan oleh PTS. Bertadabburlah kalian pada penggunaan bahasa rabbani ini!

Bahasa merupakan alat untuk komunikasi; komunikasi merupakan wasilah dakwah dan tarbiah. Dakwah dan tarbiah pula bertujuan suci untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Jika tatabahasa menghalang komunikasi, seterusnya membantutkan dakwah, apa gunanya berpegang pada tatabahasa? Apa pun bahasa yang kita pelajari—tidak—apa jua ilmu yang kita dalami, dan apa jua pekerjaan yang kita buat, pastikan ia sebagai wasilah dakwah ke jalan Allah. Jika apa yang kita buat menyebabkan kita terhalang daripada mendapat keredaan Allah, maka tinggalkanlah.

Aqulu qauli haza wa astaghfirullah al-Azim li walakum.
Akulah yang menuturkan [menaip] bicaraku ini lantas aku memohon keampunan Allah untukku dan untukmu.

Wallahua’lam.

Ya, satu pesanan kepada diri saya: jika anta berblog dan dengan berblog anta tidur lewat dan menyebabkan kesukaran untuk melakukan tugas dakwah yang lebih penting pada esok hari, maka tinggalkanlah. XD

5 ulasan:

  1. Assalamualaikum..
    syukran kerana menulis perihal ini..
    entri yang menarik. rasa menyesal pula kerana tak berjaya menguasai bahasa Arab dengan baik di sekolah dulu..

    may Allah bless u..

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam..
    thanx 4 visiting my blog :)
    kalau anti xkuasai bhs Arab dgn baik di sekolah,
    mungkin ada hikmahnya,
    yang Allah dah susun,
    utk anti kuasai bhs Arab lebih baik slps sekolah..

    n may Allah be pleased with u..

    BalasPadam
  3. syabas dan tahniah! Saya dapat tahu erti bahasa arab "Aqulu Qauli Haza" Akulah yang menuturkan (menaip) bicaraku ini.. lantas

    BalasPadam
  4. الحمد لله، saya juga dapat mengetahui maksud Aquulu haza li walakum, Wa Astaghfirullah al A'zhim
    Akulah yang menuturkan (menaip) bicaraku ini lantas aku memohon keampunan Allah untukku dan untukmu. Saya selalu dengar Ustaz selalu baca kalimah ni semasa syarahan. Tapi tak tahu maksudnya. Terima kasih Ustaz Mujahid

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aquulu qauli haza li walakum, wa astaghfirullah al 'Adzim
      Akulah yang menuturkan (menaip)bicaraku ini lantas aku memohon Keampunan Allah untukku dan untukmu

      Padam