01 Mac 2009

Kebergantungan kepada Allah

Kesibukan dengan urusan dunia sering kali membuatkan kita lupa akan Allah Ta’ala. Ada masa-masa apabila pelajaran, kerja dan tugasan seolah-olah memerlukan kita lebih daripada kita memerlukan Allah SWT. Apabila kemasyghulan melanda, keyakinan kita terhadap pertolongan Allah diuji. Kita mula keliru – yang manakah kiblat: kerja atau Kaabah?

Kita dicipta oleh Allah. Hamba mutlak Allah. Ketahuilah bahawa keimanan kita kepada Allah juga adalah disebabkan oleh rahmat-Nya seperti yang telah tersebut dalam al-Quran, surah al-Qasas, ayat 56:

Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki…

Al-Quran juga menggesa manusia supaya banyak bergantung kepada Allah seperti yang ditunjukkan oleh Allah dalam ayat 23–24 surah al-Kahfi:

Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, “Aku pasti melakukan itu besok pagi,” kecuali (dengan mengatakan), “InsyaAllah.” Dan ingatlah akan Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenarannya) daripada ini.”

Kebergantungan para sahabat Nabi riduanullah alaihim kepada Allah sangat tinggi dan fakta ini direkodkan dengan jelas dalam surah Ali Imran ayat 173:

(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepada mereka, “Orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,” ternyata (ucapan) itu menambah kuat iman mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”

Kita lihat dan renung sejenak kata-kata Ibn Ataillah dalam kitabnya Al-Hikam:

Permintaan kamu kepada Allah mengandungi pengertian menuduh Allah, khuatir [Dia] tidak memberi kepada kamu.

Jika dilihat sekali imbas, memang penyataan ini agak bengkok. Tetapi jika dilihat dalam-dalam, menurut Dr Muhammad Said Ramadan al-Buti dalam tulisannya Syarah al-Hikam al-Ataiyyah, beliau membawa kisah Nabi Ibrahim AS ketika hendak dicampak ke dalam api. Menurut Ibn Abbas dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ketika saat hendak dilemparkan ke dalam api, Nabi Ibrahim tidak memanjatkan permintaan apa-apa kepada Allah, malah berkata, Hasbiyallahu wa ni’mal wakil (cukuplah Allah sebagai penolong dan pelindungku). Nabi Ibrahim AS benar-benar yakin seyakin-yakinnya bahawa Allah tidak akan pernah mengecewakannya.

Kita renung sebuah hadis daripada Umar bin al-Khattab yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Tuhannya (hadis qudsi), Dia berkata,

Barangsiapa yang lalai meminta kepada-Ku kerana sibuk berzikir kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan yang terbaik daripada apa yang diberikan kepada orang-orang yang meminta.

**********

Pos ini tercetus akibat teguran daripada ustaz-ustaz (Shahabudin & Ali Noor Atif) semasa kami menjadi fasilitator untuk program orientasi pelajar Tingkatan Satu (PRINTIS ’09). Kami ditegur akan kurangnya bergantung kepada Allah. Tampak jelas dalam tindak tanduk dan percakapan kami. Teguran itu cuba kami amalkan dan kini kami mengalami satu anjakan paradigma yang besar: makin kuat kita bergantung kepada Allah, makin banyak Allah menolong kita. Ini merupakan hasil pengalaman kami. Apabila kita melakukan sesuatu kerja dengan bergantung kepada pertolongan Allah, bermaksud kerja kita dilakukan dengan keikhlasan. Amal ibadah yang dilakukan dengan ikhlas akan diterima Allah dan dianggap sebagai membantu din Allah SWT. Seperti mafhum firman-Nya, barangsiapa yang menolong agama Allah, dia akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Namun, dalam kita berserah diri kepada Allah, kita perlu benar-benar faham konsep tawakkal. Tiga elemen penting perlu diadun bersama untuk kita mendapat pertolongan Allah SWT iaitu (1) Doa, (2) Usaha, dan (3) Tawakkal (berserah diri/pasrah). Ketiga-tiga unsur ini perlu dilakukan serentak, bukan seperti mana yang tersebut dalam sesetengah penerangan bahawa kita melakukan doa dahulu, kemudian usaha seterusnya barulah bertawakkal.

Kita berdoa sepanjang masa, menunjukkan perhambaan kita kepada Allah SWT. Usaha juga amat penting kerana “sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Kita perlu bertawakkal dari mula hingga akhir kerana kekuatan kita untuk berdoa, kudrat kita untuk berusaha dan kejayaan yang bakal kita kecapi semuanya merupakan pemberian dan izin Allah SWT. Hasil atau natijahnya kita serahkan kepada Allah. Gagal atau berjaya semuanya an yasyaa' Allah (menurut kehendak Allah). Yang penting ialah usaha kita, dan Allah suka kepada orang yang bertawakkal atas usahanya.

Sekali lagi, janganlah kesibukan kita membuatkan kita lalai daripada mengingati Allah. Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan menjadikan jalan keluar baginya. Gantungkan harapan kita kepada Allah, sematkan keikhlasan dalam hati kita, adunkan tawakkal dalam amalan-amalan kita, insya-Allah, Allah akan memberikan yang terbaik untuk kita. Mungkin perkara yang tampak buruk bagi kita sebenarnya baik di sisi Allah dan mungkin juga sebaliknya. Allah-lah insinyur kita maka Allah-lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-Nya.

Wallahua’lam.

1 ulasan: