12 Oktober 2009

Kita & Prinsip

Assalamualaikum WBT.

Lama juga blog ini tidak dikemas kini memandangkan saya agak sibuk dengan persediaan menghadapi SPM dan juga masyghul dengan kerja-kerja pengeditan majalah tritahunan SMIK, At-Taqwa Edisi Keempat. Namun, ini tidak bermakna saya mengabaikan dunia penulisan. Saya masih lagi menulis, cuma dalam bahasa Inggeris di a2i | vibes. Blog tersebut telah diperelok dan isinya yang lama dibuang: menunggu masa untuk diedit dan dipos semula. Buat masa ini, jika saya kekurangan masa untuk mengemas kini Markaz, jenguk-jenguklah Vibes. Tidak kiralah sama ada di situ saya menulis jurnal atau bebelan, saya akan sedaya upaya cuba memasukkan unsur-unsur dakwah dalam kandungan kesemua blog saya, insyaAllah.

Saya ingin mencuri sedikit daripada masa sebulan lebih yang tinggal sebelum SPM ini untuk menulis pos ini. Telah maklum bahawa saya bekerja untuk majalah At-Taqwa sebagai Ketua Editor Naskhah (copy-editor). Tugas saya ialah membaca, menilai dan menyunting setiap skrip atau manuskrip yang diserahkan untuk kemasukan dalam majalah. Salah satu ruangan dalam majalah kali ini ialah Ruangan Khas Tingkatan Lima. Senior diberi peluang untuk meninggalkan athar mereka di SMIK dalam bentuk nama, e-mel dan prinsip. Di sinilah datangnya masalah. Prinsip-prinsip yang ditulis, walaupun banyak yang okey dan sebahagiannya memang mantap, ada yang sedikit-sebanyak bersalahan dengan fikrah yang diterapkan di SMIK sepanjang lima tahun pengajian kami di sini.

Apa yang mereka tulis?

Di sini saya tidak bermaksud untuk memburukkan sesiapa; saya menulis untuk memberi pengajaran. Jika empunya prinsip terbaca pos ini, harap cepat-cepatlah prinsip itu ditukar, moga Allah membalas jasa baik anda, insyaAllah. Antara prinsip yang diberi:

  1. Life is simple. You make choices and you don’t look back.
  2. Life should be filled with fun and laughter.

Komen saya:

  1. Ketahuilah, hidup tidak semudah itu. Orang yang berani ialah orang yang sanggup mengaku kesilapannya apabila ia salah membuat pilihan. Sebelum membuat pilihan, kita nilai berdasarkan neraca Allah. Apabila membuat pilihan, kita nilai berdasarkan neraca Allah. Selepas membuat pilihan, kita nilai berdasarkan neraca Allah. We make choices and we do look back!
  2. Hidup yang dimaksudkan, hidup di mana? Kalau hidup di dunia ini, Ustaz Mustafa Masyhur berkata, “Jalan dakwah ini dipenuhi onak dan duri.” Jika yang dimaksudkan hidup di akhirat kelak, maka benarlah penyataan ini. Hidup di syurga memang sentiasa gembira: kesusahan dan ujian di dunia merupakan gantian keseronakan di sana!

Jika dinilai dengan kaca mata yang lebih lenient, sebenarnya pelajar-pelajar SMIK ini tidak bermasalah pun. Apabila saya menyelak-nyelak majalah sekolah lain untuk dijadikan contoh dalam susun atur majalah, prinsip hidup pelajar-pelajar Tingkatan Lima di sekolah itu lebih merapu. Jadi di sini, suka saya ingatkan kepada semua, janganlah kita terpengaruh dengan ideologi, prinsip dan moto yang dibawa oleh sistem taghut dan jahiliah seperti:

  • Born to be free.
  • Rules are made to be broken.
  • Kita ’kan 1Malaysia

… kerana prinsip-prinsip ini membawa kesan kepada kesejahteraan akidah kita. Dalam hal berprinsip, kita sering terleka dan mengambil apa yang popular dan sering diutarakan orang. Apabila saya melayari laman-laman sosial seperti Friendster, Facebook, dsb., berbagai-bagai prinsip dan kata-kata boleh didapati tertera di laman-laman ahli. “This is not the Bushido way”, “I’m not afraid to rock this world alone”, “Hidup biar sempoi”—apakah semua ini?

Apa yang Allah kata?

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 138:

Sibghah Allah, dan siapakah yang lebih baik Sibghah-nya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya kami mengabdikan diri.

Sibghah bermaksud warna atau acuan. Allah telah membentuk Mesej Ilahi Terakhir (Islam) ini dengan acuan-Nya. Allah telah mewarnakan Risalah Ketuhanan Terakhir ini dengan warna-Nya. Tiada acuan yang lebih baik daripada acuan Allah. Tidak patut kita warnakan prinsip hidup kita dengan warna liberalisme, warna sekularisme, warna nasionalisme, warna demokrasi, warna sosialisme, hatta warna Malaysia sekalipun. Kita merupakan hamba Allah yang seharusnya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Memperhambakan diri kepada-Nya. Oleh itu tidak layak bagi kita mengambil apa jua sistem, apa jua fahaman dan apa jua pegangan selain daripada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT yang telah menciptakan kita dan menyempurnakan penciptaan-Nya.

Hayatilah firman dalam Surah Ali Imran ayat 85:

Dan sesiapa mahukan selain Islam menjadi al-Din (agama)nya, maka tidak akan diterima (agama) itu daripadanya, dan di akhirat (kelak) mereka termasuk golongan yang rugi.

Kita tak mahu menjadi orang muflis di akhirat. Kita mahu segala amalan kita diterima, supaya kita boleh memasuki syurga Allah dalam keadaan Allah reda akan kita. Oleh sebab itu, kita tidak boleh mengehendaki selain Islam menjadi Din kita!

Jika kita fikir-fikirkan, prinsip hidup ialah pegangan hidup; bukan agamakah itu namanya?

Tolong ana, domo!

Untuk apa jua kesilapan dalam penerbitan, editor yang bertanggungjawab. Salah ejaan, salah nama, salah maklumat dsb., editor akan dipersalahkan. Sekiranya saya memandang prinsip-prinsip ini sebelah mata sahaja, dan katalah ada dalam kalangan pembaca yang kurang kefahamannya mengambil prinsip yang goyah tadi sebagai pegangannya, apa yang boleh saya jawab di hadapan Allah? Ruangan Khas T5 merupakan mas’uliah saya dan saya yang akan dipersoalkan kelak. Jadi saya meminta jasa baik pelajar-pelajar Tingkatan Lima SMIK khususnya, dan semua remaja Muslim umumnya, agar sama-sama kita mengkoreksi prinsip kita supaya sejajar dengan apa yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya. Moga-moga dengan itu akidah kita akan sejahtera dan hidup kita dimuliakan oleh Allah SWT, pemegang segala kemuliaan.

Wallahua’lam.

2 ulasan:

  1. More and more reason why I should meet fifth formers of SMIK, MATRI and SMAKL.

    BalasPadam
  2. The school told us that there'll be a combined grand-camp for the fifth formers of IPS after SPM... 'd take about a month or so. The plan seems to be quite "memang nak jadi", insyaAllah.

    BalasPadam