05 Januari 2009

Langkah Permulaan Terakhir

Assalamualaikum WBT.

Prolog

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi saya peluang untuk meneruskan blog Markazul Fikr ini walaupun sudah agak lama tidur disebabkan beberapa faktor; antaranya, kurangnya masa, tenaga, daya fikir dan mungkin, kurangnya iman. Bermula dengan pos ini, saya ingin mengubah wajah blog ini - insyaAllah - supaya bersesuaian dengan namanya, Markazul Fikr -- terjemahannya secara literal 'Pusat Fikiran' atau lebih indah lagi bahasanya seperti yang termaktub pada deskripsi blog saya, 'Berpusatnya Fikiran Sukmaku.'

Antara perubahan yang bakal dilakukan pada blog ini ialah mempelbagaikan genre penulisan. Jika sebelum ini saya menulis artikel-artikel Islamik sahaja di sini, bermula daripada pos ini, saya bakal menulis apa-apa sahaja buah fikiran yang saya rasa sesuai untuk dimanfaatkan bersama. Ilmu Allah itu luas. Keupayaan minda yang diberikan Allah juga amat luas. Bukan hak saya menyempitkannya. Maka dengan perubahan itu, kalian akan mendapati blog ini lebih 'longgar' berbanding dahulu. Mungkin saya akan bercerita sedikit tentang sejarah. Mungkin saya akan menulis tentang bahasa. Mungkin saya akan menyentuh reka bentuk grafik. Mungkin saya akan mengupas isu ICT. Mungkin saya akan - walaupun kebarangkaliannya rendah - membicarakan isu politik, dan insyaAllah, saya akan mengetengahkan artikel-artikel Islami. Sekiranya blog berbahasa Inggeris utama saya, The iLMaNist Vibes saya fokuskan pada diari hidup nyata saya, saya bercita-cita menjadikan blog ini sebagai log perjalanan minda yang bakal menjadi rekod anjakan-anjakan paradigma peribadi dan representasi teks pertambahan kematangan minda.

Perubahan kedua adalah dari segi penggunaan bahasa. Antara tujuan asal blog ini dibina adalah untuk saya berlatih menulis menggunakan tatabahasa Melayu yang tepat mengikut skema pemarkahan SPM. Memandangkan Bahasa Melayu SPM saya anggap bukan satu tatabahasa yang praktikal dalam kehidupan seharian, dan blog seharusnya ditulis dalam bentuk prosa yang biasanya diberi lesen sastera, saya akan cuba menulis menggunakan bahasa Melayu yang setepat mungkin tetapi tidak semestinya tepat sepenuhnya jika ditinjau dari sudut pemarkahan SPM. Berbicara tentang bahasa Melayu SPM tidak praktikal, saya ingin menyelitkan contoh penggunaan 'ia' dan '-nya'. Mengikut tatabahasa rasmi, 'ia' dan '-nya' hanya boleh digunakan untuk manusia. Kita tidak boleh menggunakan perkataan 'ekornya' untuk merujuk kepada ekor seekor kucing. Kita tidak boleh menggunakan ayat 'Ia mula menyalak' untuk memerihalkan seekor anjing. Kita perlu menggunakan ayat penuh seperti 'ekor kucing itu' dan 'anjing tersebut mula menyalak' untuk diterima jawapan kita dalam SPM. Bagi saya, ini merupakan satu perkara yang amat merumitkan dan saya akan mengabaikannya dalam penulisan saya. Berbicara tentang lesen sastera pula, saya akan banyak menggunakan ayat songsang, ayat berfrasa tunggal, penggunaan kata pinjaman yang dicondongkan dan mungkin sekali-sekala melanggar sepenuhnya hukum tatabahasa Melayu atas nama seni. Biarlah tatabahasa yang tepat itu kita simpan untuk tujuan rasmi seperti surat-menyurat dan tatabahasa sastera Melayu yang lebih praktikal dan indah ini kita guna dalam penulisan supaya keindahan bahasa Melayu itu dapat dipamerkan.

Langkah Permulaan Terakhir

Hari ini (5 Januari/8 Muharram) merupakan hari pertama persekolahan bagi negeri-negeri seluruh Malaysia melainkan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bermula semalam. Saya dan sahabat-sahabat sekelas melangkah ke Tingkatan Lima pada tahun ini. Kami sedar bahawa tanggungjawab kami bertambah. Pada tahun ini kami akan mengambil SPM. Walaupun slogan "SPM bukan segala-galanya, peperiksaan Allah lebih penting" kerap kita dengar dan guna serta lebih kerap disalahgunakan oleh mereka yang suka bermain-main dalam peperiksaan awam mahupun peperiksaan akhirat, SPM tetap merupakan satu wasilah pencorak masa hadapan kita sebagai pelajar. Kejayaan kita dalam peperiksaan awam membuatkan kita lebih berautoriti dalam kalangan masyarakat Malaysia berbanding mereka yang kurang berjaya. Sekiranya kita tak berautoriti dan percakapan kita tidak didengari orang, bagaimana lantas kita menyampaikan dakwah kepada masyarakat? Mungkin ada yang mengatakan masyarakatlah yang bermasalah kerana memandang peperiksaan SPM sebagai kayu ukur seseorang individu. Tidak dinafikan, memang persepsi masyarakat itu sedikit tergelincir daripada yang persepsi Islam. Akan tetapi, realitinya begitu. Hakikatnya, masyarakat tetap memandang SPM sebagai kayu ukur. Kitalah yang seharusnya melakukan anjakan paradigma terhadap masyarakat dan untuk itu, pada masa kini, kita perlu berusaha untuk berjaya dalam peperiksaan supaya kata-kata kita didengari orang. Walaubagaimanapun, perlu juga ditegaskan: SPM bukanlah satu-satunya aspek dalam kehidupan dan bukan jua matlamat utama pembelajaran kita. Matlamat kita belajar ialah Allah dan SPM itu cuma wasilah untuk kita mendapat kredibiliti serta peluang kerjaya yang bagus supaya mudah-mudahan dengan itu kita dapat memberi manfaat kepada Islam. Sekiranya kita gagal walaupun telah berusaha sedaya upaya, ketahuilah: SPM bukan satu-satunya wasilah untuk kita berdakwah dan mencapai keredhaan Allah. Saya harap kenyataan saya tidak disalah anggap.

Sebagai seorang senior, saya memerhati junior saya yang berada di Tingkatan Satu. Pelapis kami. Pewaris anbiya'. Alhamdulillah, ada yang saya lihat, masyaAllah, soleh belaka. Sedihnya, ada sebahagian (besar) datang membawa budaya negatif yang pelbagai. Yang saya risaukan ialah lidah mereka-- nampaknya penggunaan bahasa mereka penuh dengan kata-kata yang kita anggap tidak sesuai dituturkan oleh pelajar Muslim. Saya amat bimbang sekiranya berlaku percampuran antara fikrah Islam yang sentiasa diterapkan oleh para murabbi di SMIK dengan budaya-budaya jahiliah yang dibawa oleh para pelajar baharu (juga para pelajar lama yang mungkin berlaku anjakan paradigma peribadi pada waktu cuti). Hal ini saya rasa harus dibendung dari awal lagi. Saya agak hairan; antara pemerhatian umum yang saya dapat ialah makin bertambah nombor batch, makin kureng syakhsiah. Adakah itu merupakan lumrah dunia? InsyaAllah di SMIK, kami akan cuba menerapkan prinsip "hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini." Saya amat mengharapkan Tingkatan Lima dan Tingkatan Empat memainkan peranan dalam mendidik adik-adik supaya sekolah kita empat tahun akan datang tidak hancur. Jotted down: tindakan segera perlu diambil.

Akhir Kalam

Setakat ini sahaja pos saya pada kali ini setelah lama blog ini dorman. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menulis, selari dengan moto Kelab Penerbitan: "Berdakwah Melalui Pena" -- seperti yang dilakukan Imam Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, dan yang kontemporari, Aidh Abdullah al-Qarni, Harun Yahya dan ramai lagi insan yang menggunakan wasilah penulisan untuk menyampaikan fikrah Islam.

Wallahua'lam, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan