Coretan pena
dan pensel pun berakhir
Alhamdulillah!
Ahmad Ilman
16 Disember 2009
Pendidikan Syariah Islamiah 2.
Coretan pena
dan pensel pun berakhir
Alhamdulillah!
Ahmad Ilman
16 Disember 2009
Pendidikan Syariah Islamiah 2.
Aku mengah tercungap
saat Cik Siti menyentap
Tangannya yang gopoh
menarik aku jauh
terpisah daripada
asyirah yang aku sayang
masakin untukku pulang
dan amwal yang aku takut hilang
Aku dibawa ke negeri nikmat
yang dibentengi kukuh
manusia tak dibaginya masuk
tak lut dibantai cambuk
cuma sekawan merpati
bermain di atas tembok.
Aku sering tertanya-tanya
berbaloikah dua purnama?
Namun Cik Siti berjanji
dengan kehendak diri
dan izin Ilahi
aku akan dipakaikan
pakaian jati diri
yang cintakan Allah
kasihkan Rasul
dan dambakan Jihad
Di negeri nikmat
aku diajar berakhlak mulia
mendidik nafsu durjana
dan berbakti kepada dunia
Maka kujawab kembali pertanyaan sendiri
Seratus peratus berbaloi, insya-Allah!
Ahmad Ilman
10 Disember 2009 (1210)
Tasawwur Islam 1, SPM 2009.
Assalamualaikum WBT.
Jari-jemari ini nampaknya tak sabar menunggu tamatnya SPM. InsyaAllah, dalam pos kali ini kalian akan saya bawa berkenal-kenalan sedikit sebanyak dengan bidang yang telah mendarah daging dalam diri sayapenerbitan!
Assalamualaikum WBT.
Nampaknya, blog ini telah lama tidak saya kemas kini. Antara faktor utama ialah peperiksaan SPM yang bermula 18 November lalu. Dan akan tamat tiga minggu lagi; maka saya mungkin tidak akan mengemas kini blog ini sepanjang tempoh tersebut. Blog ini akan berada dalam hiatus.
Bilik kelas
Tampak sunyi
Guru menanda
Murid menimba
Semuanya peribadi
Akal, jiwa, dan fikiran.
Empat belas
Nombor hikmat
Angka keramat
Itu yang tinggal
Itu sasaran.
Aku susuri masa lalu
Mengutip mutiara dahulu
Aku layari masa hadapan
Bekalan kutambahkan.
Senyuman yang menemani
Restu yang mengajari
Rela yang membesarkan
Doa yang melahirkan
Semuanya kukumpulkan
dan kuadun bersama
Redha Yang Menciptakan
Menjadi scimitar tajam
Dengan izin-Nya
'kan kuukir kejayaan!
Ahmad Ilman
4 November 2009 (1030)
5 Ijtihad.
P/S: 14 hari sebelum SPM. Doakan saya memperoleh 14A+!
Alamat Menuntut Tindakan
Langit menggelap
Renyai-renyai terasa
Insan pun lari.
Ahmad Ilman
24 Syawal 1430
Andalas Jaya
Assalamualaikum WBT.
Lama juga blog ini tidak dikemas kini memandangkan saya agak sibuk dengan persediaan menghadapi SPM dan juga masyghul dengan kerja-kerja pengeditan majalah tritahunan SMIK, At-Taqwa Edisi Keempat. Namun, ini tidak bermakna saya mengabaikan dunia penulisan. Saya masih lagi menulis, cuma dalam bahasa Inggeris di a2i | vibes. Blog tersebut telah diperelok dan isinya yang lama dibuang: menunggu masa untuk diedit dan dipos semula. Buat masa ini, jika saya kekurangan masa untuk mengemas kini Markaz, jenguk-jenguklah Vibes. Tidak kiralah sama ada di situ saya menulis jurnal atau bebelan, saya akan sedaya upaya cuba memasukkan unsur-unsur dakwah dalam kandungan kesemua blog saya, insyaAllah.
Saya ingin mencuri sedikit daripada masa sebulan lebih yang tinggal sebelum SPM ini untuk menulis pos ini. Telah maklum bahawa saya bekerja untuk majalah At-Taqwa sebagai Ketua Editor Naskhah (copy-editor). Tugas saya ialah membaca, menilai dan menyunting setiap skrip atau manuskrip yang diserahkan untuk kemasukan dalam majalah. Salah satu ruangan dalam majalah kali ini ialah Ruangan Khas Tingkatan Lima. Senior diberi peluang untuk meninggalkan athar mereka di SMIK dalam bentuk nama, e-mel dan prinsip. Di sinilah datangnya masalah. Prinsip-prinsip yang ditulis, walaupun banyak yang okey dan sebahagiannya memang mantap, ada yang sedikit-sebanyak bersalahan dengan fikrah yang diterapkan di SMIK sepanjang lima tahun pengajian kami di sini.
Di sini saya tidak bermaksud untuk memburukkan sesiapa; saya menulis untuk memberi pengajaran. Jika empunya prinsip terbaca pos ini, harap cepat-cepatlah prinsip itu ditukar, moga Allah membalas jasa baik anda, insyaAllah. Antara prinsip yang diberi:
Komen saya:
Jika dinilai dengan kaca mata yang lebih lenient, sebenarnya pelajar-pelajar SMIK ini tidak bermasalah pun. Apabila saya menyelak-nyelak majalah sekolah lain untuk dijadikan contoh dalam susun atur majalah, prinsip hidup pelajar-pelajar Tingkatan Lima di sekolah itu lebih merapu. Jadi di sini, suka saya ingatkan kepada semua, janganlah kita terpengaruh dengan ideologi, prinsip dan moto yang dibawa oleh sistem taghut dan jahiliah seperti:
… kerana prinsip-prinsip ini membawa kesan kepada kesejahteraan akidah kita. Dalam hal berprinsip, kita sering terleka dan mengambil apa yang popular dan sering diutarakan orang. Apabila saya melayari laman-laman sosial seperti Friendster, Facebook, dsb., berbagai-bagai prinsip dan kata-kata boleh didapati tertera di laman-laman ahli. This is not the Bushido way, Im not afraid to rock this world alone, Hidup biar sempoiapakah semua ini?
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 138:
Sibghah Allah, dan siapakah yang lebih baik Sibghah-nya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya kami mengabdikan diri.
Sibghah bermaksud warna atau acuan. Allah telah membentuk Mesej Ilahi Terakhir (Islam) ini dengan acuan-Nya. Allah telah mewarnakan Risalah Ketuhanan Terakhir ini dengan warna-Nya. Tiada acuan yang lebih baik daripada acuan Allah. Tidak patut kita warnakan prinsip hidup kita dengan warna liberalisme, warna sekularisme, warna nasionalisme, warna demokrasi, warna sosialisme, hatta warna Malaysia sekalipun. Kita merupakan hamba Allah yang seharusnya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Memperhambakan diri kepada-Nya. Oleh itu tidak layak bagi kita mengambil apa jua sistem, apa jua fahaman dan apa jua pegangan selain daripada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT yang telah menciptakan kita dan menyempurnakan penciptaan-Nya.
Hayatilah firman dalam Surah Ali Imran ayat 85:
Dan sesiapa mahukan selain Islam menjadi al-Din (agama)nya, maka tidak akan diterima (agama) itu daripadanya, dan di akhirat (kelak) mereka termasuk golongan yang rugi.
Kita tak mahu menjadi orang muflis di akhirat. Kita mahu segala amalan kita diterima, supaya kita boleh memasuki syurga Allah dalam keadaan Allah reda akan kita. Oleh sebab itu, kita tidak boleh mengehendaki selain Islam menjadi Din kita!
Jika kita fikir-fikirkan, prinsip hidup ialah pegangan hidup; bukan agamakah itu namanya?
Untuk apa jua kesilapan dalam penerbitan, editor yang bertanggungjawab. Salah ejaan, salah nama, salah maklumat dsb., editor akan dipersalahkan. Sekiranya saya memandang prinsip-prinsip ini sebelah mata sahaja, dan katalah ada dalam kalangan pembaca yang kurang kefahamannya mengambil prinsip yang goyah tadi sebagai pegangannya, apa yang boleh saya jawab di hadapan Allah? Ruangan Khas T5 merupakan masuliah saya dan saya yang akan dipersoalkan kelak. Jadi saya meminta jasa baik pelajar-pelajar Tingkatan Lima SMIK khususnya, dan semua remaja Muslim umumnya, agar sama-sama kita mengkoreksi prinsip kita supaya sejajar dengan apa yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya. Moga-moga dengan itu akidah kita akan sejahtera dan hidup kita dimuliakan oleh Allah SWT, pemegang segala kemuliaan.
Wallahualam.
Dipetik dari http://streetdaie.blogspot.com.
Salamun ala man ittaba al-Huda.
Puji-pujian hanyalah untuk Allah, selawat dan salam untuk Rasul-Nya.
Allah-lah Ilah sekalian alam yang membenarkan apa yang benar dalam warkah ini, dan saya hamba-Nya yang fakir memohon ampun daripada-Nya atas kesilapan dan kecuaian yang terkandung dalam warkah ini. Sesungguhnya manusia itu tidak pernah lekang daripada kesilapan, namun ketahuilah bahawa sebaik-baik orang yang tersilap itu ialah orang yang memohon keampunan. Marilah kita sama-sama memohon maghfirah daripada-Nya dalam bulan Syaaban yang mulia ini; moga-moga kita digolongkan sebagai sebaik-baik orang yang tersilap. Amin.
Warkah pertama ini ialah warkah perkongsian rasa yang tidak pernah bebas daripada kesilapan. Namun, saya memohon kepada Allah agar terkandung dalam warkah ini kebenaran yang boleh diambil manfaatnya oleh mereka yang diizinkan Allah untuk membaca tulisan ini. Secara umumnya, warkah ini saya tujukan bagi semua umat Islam yang mampu memahami bahasa ini, dan secara khususnya kepada saf UMANA; moga kita sama-sama istiqamah di atas tariquddawah dan al-Sirat al-Mustaqim, insyaAllah.
Kebanyakan daripada kita yang tahu membezakan antara yang baik dengan yang buruk akan memandang jijik kepada perbuatan buruk. Orang-orang yang melakukan perbuatan buruk akan dianggap hina. Ringan saja mulut kita atau hati kita menghina pelaku-pelaku maksiat. Ringan saja kita melaknat orang-orang kafir. Saya cadangkan agar kita bermuhasabah kembali: apakah tindakan kita itu betul? Apakah semua itu selari dengan perbuatan para sahabat terdahulu? Selari dengan amalan para ulama terdahulu?
Satu hakikat yang perlu kita sedari ialah, kita semua dai. Dai tugasnya mengajak manusia ke jalan Allah dengan cara yang berhikmah dan menggunakan pengajaran yang baik. Izinkan saya memetik tajuk buku karangan Ustaz Hasan Hudaibi; Nahnu Duah, La Qudhah. Maksudnya: kita ialah pendakwah, bukan penghukum. Ustaz Hasan Hudaibi beserta beberapa lagi pejuang-pejuang Islam, sewaktu mereka masih hidup, diseksa dengan hebat oleh pemerintah Mesir pada waktu itu. Seksaan mereka terhadap pejuang-pejuang kalimat Allah ini amat hebat sehingga ada yang melaungkan bahawa pemerintah Mesir itu dan kuncu-kuncunya telah kafir kerana telah menyeksa umat Islam dengan begitu teruk. Ustaz Hasan Hudaibi bertanya kepada orang-orang yang mengatakan mereka ini kafir, Adakah pemerintah itu dan kuncu-kuncunya masih mengucap syahadah? Orang-orang itu menjawab, Ya, mereka masih mengucap syahadah. Ustaz pun berkata, Jika begitu, mereka masih lagi Muslim. Lalu terbitlah tulisannya Nahnu Duah, La Qudhah.
Sesungguhnya kita tidak boleh sesuka hati kita menghukum manusia dia ini akan masuk neraka, dia ini akan masuk syurga. Mungkin kita lihat kawan-kawan kita ada yang melakukan maksiat kepada Allah dengan maksiat yang begitu teruk sekali. Mereka bagai lupa terus kepada akhirat dan lalai dengan dunia. Tetapi hati mereka siapa yang tahu? Boleh jadi seseorang yang melakukan maksiat pada siang hari, meratap pada malamnya kepada Rabbnya, Ya Allah, mengapa aku sentiasa berterusan dalam maksiat? Di sini ternyata perbuatannya yang buruk itu menjadi pendorong baginya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dengan kehendak Allah, maksiatnya menjadi suatu sebab taubat dan pemberi syafaat baginya di sisi Allah SWT. Pada waktu yang lain, dia cuba menghapuskan dosanya dengan menginfakkan hartanya semata-mata mengharapkan keampunan Allah. Kita tidak tahu hal yang tersembunyi ini. Kita tidak tahu hubungan rahsia antara hamba dengan Rabbnya. Kita hanya nampak perbuatan buruknya sahaja. Tatkala Allah menerima taubatnya di penghujung kehidupannya; Allah pun menerima segala amalnya yang soleh. Nah, orang yang pada zahirnya melakukan maksiat tadi, Allah memuliakannya dengan penghujung yang indah! Ingatlah hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya: Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.
Wahai saudaraku yang membaca warkah ini,
Ketahuilah bahawa menurut Imam al-Ghazali, kita tidak boleh mengatakan laknat kepada seorang kafir yang masih hidup, apatah lagi seorang yang masih Muslim cuma fasik. Mungkin saja pada hujung hidupnya dia mendapat hidayah Allah lalu Allah menghapuskan segala dosanya semenjak dia baligh hingga waktu dia memeluk Islam, dan dia pun kembali ke hadrat Allah sesuci bayi yang baru lahir. Kita tidak dapat memberikan hidayah kepada seorang pun yang kita sukai, sedangkan Allah memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Apakah layak untuk kita mengatakan laknat ke atasnya sedangkan boleh saja tempat kita tertukar dengannya? Yang dibolehkan ialah, Moga Allah mengutuknya jika ia mati dalam keadaan kafir dan moga Allah merahmatinya jika ia mati dalam keadaan Islam. Ditegaskan sekali lagi bahawa kita adalah para duat; tugas kita ialah mengajak manusia ke jalan Allah. Untuk orang-orang yang ingkar, kita perlu mengharap kepada Allah supaya Dia memberikan hidayah kepada mereka. Kita memerangi mereka yang memerangi kita, tetapi kita perlu ingat pesanan Allah dalam Surah at-Taubah ayat 5:
Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka dan intailah mereka di tempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan untuk mereka berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Wahai saudaraku,
Kita bukan manusia maksum. Kita tidak pernah terlepas dari kesilapan. Saya yakin, setiap daripada kita ada sejarah hitam masing-masing. Semasa kita sibuk dalam maksiat sebelum diberi taufik oleh Allah, kita merasa enak dengan maksiat yang kita buat. Kita berdebat dengan mereka yang cuba menyampaikan kebenaran kepada kita. Pada waktu itu, memang terasa sungguh nikmat perbuatan maksiat yang kita lakukan sehingga kita tak sanggup melepaskannya. Setelah Allah memberikan petunjuk-Nya kepada kita, kita mula meninggalkan maksiat yang kita lakukanpujian bagi Allah. Kini kita berdiri teguh sebagai dai. Malangnya, dai yang mengherdik, menghina dan merendahkan pelaku-pelaku maksiat yang sepatutnya menjadi madu kita. Sebagai contoh, katalah ada dalam kalangan kita yang pernah ber-couple kemudian bertaubat. Dia kini memandang rendah dan hina kepada kawan-kawannya yang merokok. Tidak sedarkah dia bahawa keterikatan kawannya dengan rokok sama saja dengan keterikatannya dengan couple dahulu? Tugas kita sepatutnya mengajak mereka yang masih melakukan maksiat ini untuk bersama-sama dengan kita mengkoreksi diri. Bukannya menjauhi mereka sehingga dakwah tidak sampai kepada mereka. Mungkin sahaja kawan kita akan bertaubat dan akhirnya diredai Allah, sedangkan kita dimurkai Allah kerana menganggap diri kita kononnya lebih mulia daripada kawan kita kerana kita sudah bertaubat dan dia belum.
Oleh itu, wahai saudaraku, saya menyeru kepada diri saya khususnya dan diri kalian semua agar kita memperbetul niat kita dalam berdakwah. Pandanglah masyarakat dengan kaca mata dakwah. Jangan pandang masyarakat dengan kaca mata menghukum. Biarlah hukuman itu kita serahkan kepada Allah, Rasul-Nya dan ulil amri minna. Ingat, tugas kita dakwah: mengajak seluruh manusia menghambakan diri kepada Allah dan Allah sahaja. Bebaskan dunia ini daripada perhambaan Jahiliah!
Wallahualam.
Ahmad Ashraf Ilman al-Andalusiy
Al-Khalduniy al-Ijtihadiy
16 Syaaban 1430H.