23 Januari 2009

Kosa Kata: Nyala Rasa

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, satu segmen baharu dalam blog ini yang ana harapkan dapat diperbanyak pos-pos dalam segmen ini dengan izin Allah. Sebagaimana yang kita tahu, bahasa Melayu mempunyai kosa kata (perbendaharaan kata/vokabulari/leksikon) yang begitu luas. Oleh sebab itu, memang amat mudah untuk membuat puisi dalam bahasa ibunda ini kerana kita ditawarkan berbagai-bagai perkataan yang mendukung maksud yang sama tetapi membawa konotasi yang mungkin berbeda antara perkataan. Tidak dinafikan bahawa bahasa kita banyak meminjam kalimah-kalimah daripada bahasa asing tetapi perkataan-perkataan luar ini memperindah lagi struktur ayat Melayu.

Perkataan yang suka saya kongsi bersama kali ini ialah: nyala rasa.

Nyala rasa mendukung konsep yang sama dengan ghairah dan berkobar-kobar. Perkataan ini mungkin merupakan terjemahan paling tepat bagi perkataan passion dalam bahasa Inggeris. Mungkin juga boleh digunakan sebagai terjemahan kalimah hamasah dalam bahasa Arab. Penggunaan kata tugas 'mungkin' di sini adalah sebagai penanda bahawa pos ini merupakan pos diskusi. Ana sendiri agak baru dengan perkataan ini. Mungkin pakar bahasa Melayu boleh menilai kesahihan ayat-ayat di bawah:

  1. Dia menyiapkan semua kerja rumah Sejarah tepat pada waktunya disebabkan nyala rasanya yang tinggi terhadap subjek tersebut.
  2. Nasyid Gelombang Keadilan oleh Shoutul Harokah menerbitkan nyala rasa dalam sanubari Ahmad untuk mempertahankan Palestin.

Sekadar dua sen daripada ana. Wallahua'lam.

Ruj: Ainon Mohd. & Abdullah Hassan, Tesaurus Bahasa Melayu (Kuala Lumpur: PTS PROFESSIONAL Publishing Sdn. Bhd., 2006), 165.

22 Januari 2009

Berjihad dengan Belajar

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah: segala puji bagi Allah, Pemilik Sekalian Alam, yang terus-menerus mengizinkan jari-jemari ini bergerak mematuk papan kekunci mengukir ahraf maya, lantas disusun menjadi ayat-ayat comel penyangga wacana. Selawat dan salam ke atas Komandan Jihad, Panglima Agung Islam: nabi kita Nabi Muhammad SAW yang mana natijah pengorbanan baginda ialah kesejahteraan akidah kita dan berbilion lagi saudara kita yang berserakan di atas wajah planet yang dikurniakan biodiversiti ini.

Setiap kejadian yang berlaku empunya sebab di sebaliknya. Baik peristiwa besar baik kejadian kecil. Semuanya mempunyai kebaikan tersirat. Kejadian yang terbesar di alam ini juga sudah pasti mempunyai rasionalnya tersendiri. Apakah kejadian tersebut? Ia ialah hakikat kewujudan manusia di dalam alam tidak berpenjuru ini. Ini merupakan satu persoalan yang memang pernah terlintas dalam benak setiap manusia yang dikurniakan akal yang telah matang. Sedihnya, mereka mengelat daripadanya. Ah, tak mahu mereka memikirkannya. Takut. Takut kepada kebenaran yang mereka akan- dan sememangnya telah menjumpakan. Mereka takut akan ketidakbebasan dalam memuaskan tuntutan serakah. Oleh sebab menerima hak bererti ubudiah total. "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." merupakan firman Allah dalam Surah az-Zariyat ayat 56. Alangkah bodohnya mereka; mencuri loceng dengan menyumbat telinga.

Maka kita mengetahui bahawa beribadah merupakan satu-satunya kewajipan. Maka berduyun-duyunlah orang mengambil kopiah dari atas para dan menyarungkan seutas tasbih ke pergelangan tangan sebagai persediaan sebelum ke masjid. Bertapa di masjid. Aduh, ini sahajakah Islam? Inilah masalah yang dihadapi jika konsep ubudiyah itu disempitkan sesempit-sempitnya. Barat dah pun berjaya menanamkan benih sekularisme dan liberalisme setelah bertahun-tahun lamanya kita dipijak-pijak mereka. Konsep Islam itu hanya agama. Tidak! Islam itu bukan hanya agama bahkan ad-Din yakni cara hidup. Segala aspek dalam kehidupan manusia dibincangkan dalam Islam dan jika kita menjalani hidup mengikut apa yang telah digariskan oleh Islam dengan ikhlas sebagai seorang hamba, maka itu merupakan ubudiyah kepada Allah SWT. Sebagai Muslim yang memahami dengan jelas Din kita, ketahuilah bahawa Islam itu merupakan satu manhaj hidup yang lengkap.

Disebabkan Islam itu luas oleh sebab ia mencakupi keseluruhan persoalan hayat, maka menyalahi prinsip logik jika kita membincangkan Islam seluruhnya dalam satu wacana. Penulisan ini ditujukan kepada insan-insan seperti saya. Insan-insan yang menuntut ilmu. Rasulullah SAW pernah ditanya, "Apakah amalan yang paling afdal?" Maka jawab baginda: "Iman kepada Allah dan jihad di jalan-Nya." Iman kepada Allah merupakan amalan yang paling afdal kerana tanpanya, niat dan keikhlasan tidak akan terwujud. Jihad ialah mengerahkan seluruh tenaga kerana Allah dan mempunyai pelbagai bentuk. Antaranya berperang, menginfakkan harta, melawan hawa nafsu, berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim, menuntut ilmu, dan beberapa lagi bentuk jihad yang telah dibahaskan para ulama'. Walaupun bentuk jihad yang paling utama ialah yang berbentuk ketenteraan, tetapi jihad dari segi menuntut ilmu juga tidak kurang pentingnya. Kenyataan ini dinyatakan serta ditekankan oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah, 122:

Dan tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Maka kiranya sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya.

Islam merupakan cara hidup yang waqi'iyah. Terus bergerak selari dengan perkembangan zaman tanpa mengubah dasar-dasarnya. Sekiranya kita sebagai pelajar Muslim merangkap pendukung dakwah Islamiah berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu, maka insyaAllah Allah akan membuka jalan kemenangan bagi kita. Dengan ilmu, martabat Islam akan naik di mata dunia dan membuka mata mereka yang selama ini memandang rendah dan lekeh terhadap Islam. Sehubungan itu, dakwah Islamiah akan turut berkembang. Meramaikan bilangan umat Islam di atas ardhillah ini yang berpendidikan lalu memajukan serta memperkuat kedudukan umat Islam. Dengan ilmu, kita mampu menjalankan tugas kita sebagai khalifatullah dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Marilah kita sama-sama refleksi dan koreksi. Perbetul niat kita bahawa menuntut ilmu kerana Allah merupakan satu jihad dan amal yang paling afdal selepas iman. Jihad memerlukan pengorbanan. Ana berpesan sekali lagi kepada diri ana dan diri kalian: Jihad memerlukan pengorbanan. Ayuh kita motivasi jiwa kita dengan kita hayati pesanan Penguasa yang kita terhutang nyawa kepada-Nya:

Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka, dengan memberi syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar daripada Allah dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah kamu dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.

Surah at-Taubah, 111.

Wallahua'lam.

15 Januari 2009

Haiku-Sajak: Terjemahan Gelita

Ketikan tamat—
Perambat ombak tiba—
Kupejam mata.

Permainan tidur—
Penyusun barang abstrak—
Tafsiran benak.

Keterawangan—
Ketidakselarian—
Hakikat maya.

Sungguh kuharap—
Mimpi kita berdua—
Dalam resonans!

Ahmad Ilman
17 Muharram 1430 (0150)
Bahtera Mimpi

12 Januari 2009

Haiku #2

Berlabuh tirai—
Epilog keamanan—
Terbitnya masyghul.

Ahmad Ilman
15 Muharram 1430
Klang

11 Januari 2009

Haiku #1

Getar suara—
Tafsiran maksud jiwa—
Takut dan taubat.

Ahmad Ilman
14 Muharram 1430
Klang

10 Januari 2009

Di Perbatasan Negeri

Aku kini
Di perbatasan negeri
Melihat kejauhan
Ditandai ufuk tak bersempadan
Membuat perhitungan
Untuk memilih jalan

Aku kini
Di medan pertempuran terakhir
Dalam prolog peperangan
Mengabaikan epilog keamanan
Melakukan penjajahan
Untuk kesejahteraan

Aku kini
Di langkah pertama
Merentasi sempadan
Di perbatasan
Negeri khayalan
Menuju realma kehidupan

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung."

Āli 'Imrān: 200

09 Januari 2009

Bagaimana Saya Menulis

Dalam pos ini, insya-Allah, saya ingin berkongsi tentang metodologi yang saya gunakan untuk menghasilkan penulisan-penulisan saya. Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk dirujuk dalam hal-hal penulisan. Kekuatan saya dalam penulisan bahasa Melayu hanyalah pada tatabahasa dan dalam penulisan bahasa Inggeris pula pada leksikon. Saya menghadapi kesukaran membina ayat-ayat yang membawa nilai sastera yang tinggi serta memperlihatkan penggunaan bahasa yang indah. Saya cuma sedikit berupaya menulis ayat yang gramatis untuk peperiksaan, terutamanya bagi karangan berbentuk fakta. Untuk karangan berbentuk cereka rujuklah penulis-penulis yang lebih pakar. Dalam pos ini saya hanya ingin berkongsi. Sharing is caring.

05 Januari 2009

Langkah Permulaan Terakhir

Assalamualaikum WBT.

Prolog

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi saya peluang untuk meneruskan blog Markazul Fikr ini walaupun sudah agak lama tidur disebabkan beberapa faktor; antaranya, kurangnya masa, tenaga, daya fikir dan mungkin, kurangnya iman. Bermula dengan pos ini, saya ingin mengubah wajah blog ini - insyaAllah - supaya bersesuaian dengan namanya, Markazul Fikr -- terjemahannya secara literal 'Pusat Fikiran' atau lebih indah lagi bahasanya seperti yang termaktub pada deskripsi blog saya, 'Berpusatnya Fikiran Sukmaku.'

Antara perubahan yang bakal dilakukan pada blog ini ialah mempelbagaikan genre penulisan. Jika sebelum ini saya menulis artikel-artikel Islamik sahaja di sini, bermula daripada pos ini, saya bakal menulis apa-apa sahaja buah fikiran yang saya rasa sesuai untuk dimanfaatkan bersama. Ilmu Allah itu luas. Keupayaan minda yang diberikan Allah juga amat luas. Bukan hak saya menyempitkannya. Maka dengan perubahan itu, kalian akan mendapati blog ini lebih 'longgar' berbanding dahulu. Mungkin saya akan bercerita sedikit tentang sejarah. Mungkin saya akan menulis tentang bahasa. Mungkin saya akan menyentuh reka bentuk grafik. Mungkin saya akan mengupas isu ICT. Mungkin saya akan - walaupun kebarangkaliannya rendah - membicarakan isu politik, dan insyaAllah, saya akan mengetengahkan artikel-artikel Islami. Sekiranya blog berbahasa Inggeris utama saya, The iLMaNist Vibes saya fokuskan pada diari hidup nyata saya, saya bercita-cita menjadikan blog ini sebagai log perjalanan minda yang bakal menjadi rekod anjakan-anjakan paradigma peribadi dan representasi teks pertambahan kematangan minda.

Perubahan kedua adalah dari segi penggunaan bahasa. Antara tujuan asal blog ini dibina adalah untuk saya berlatih menulis menggunakan tatabahasa Melayu yang tepat mengikut skema pemarkahan SPM. Memandangkan Bahasa Melayu SPM saya anggap bukan satu tatabahasa yang praktikal dalam kehidupan seharian, dan blog seharusnya ditulis dalam bentuk prosa yang biasanya diberi lesen sastera, saya akan cuba menulis menggunakan bahasa Melayu yang setepat mungkin tetapi tidak semestinya tepat sepenuhnya jika ditinjau dari sudut pemarkahan SPM. Berbicara tentang bahasa Melayu SPM tidak praktikal, saya ingin menyelitkan contoh penggunaan 'ia' dan '-nya'. Mengikut tatabahasa rasmi, 'ia' dan '-nya' hanya boleh digunakan untuk manusia. Kita tidak boleh menggunakan perkataan 'ekornya' untuk merujuk kepada ekor seekor kucing. Kita tidak boleh menggunakan ayat 'Ia mula menyalak' untuk memerihalkan seekor anjing. Kita perlu menggunakan ayat penuh seperti 'ekor kucing itu' dan 'anjing tersebut mula menyalak' untuk diterima jawapan kita dalam SPM. Bagi saya, ini merupakan satu perkara yang amat merumitkan dan saya akan mengabaikannya dalam penulisan saya. Berbicara tentang lesen sastera pula, saya akan banyak menggunakan ayat songsang, ayat berfrasa tunggal, penggunaan kata pinjaman yang dicondongkan dan mungkin sekali-sekala melanggar sepenuhnya hukum tatabahasa Melayu atas nama seni. Biarlah tatabahasa yang tepat itu kita simpan untuk tujuan rasmi seperti surat-menyurat dan tatabahasa sastera Melayu yang lebih praktikal dan indah ini kita guna dalam penulisan supaya keindahan bahasa Melayu itu dapat dipamerkan.

Langkah Permulaan Terakhir

Hari ini (5 Januari/8 Muharram) merupakan hari pertama persekolahan bagi negeri-negeri seluruh Malaysia melainkan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bermula semalam. Saya dan sahabat-sahabat sekelas melangkah ke Tingkatan Lima pada tahun ini. Kami sedar bahawa tanggungjawab kami bertambah. Pada tahun ini kami akan mengambil SPM. Walaupun slogan "SPM bukan segala-galanya, peperiksaan Allah lebih penting" kerap kita dengar dan guna serta lebih kerap disalahgunakan oleh mereka yang suka bermain-main dalam peperiksaan awam mahupun peperiksaan akhirat, SPM tetap merupakan satu wasilah pencorak masa hadapan kita sebagai pelajar. Kejayaan kita dalam peperiksaan awam membuatkan kita lebih berautoriti dalam kalangan masyarakat Malaysia berbanding mereka yang kurang berjaya. Sekiranya kita tak berautoriti dan percakapan kita tidak didengari orang, bagaimana lantas kita menyampaikan dakwah kepada masyarakat? Mungkin ada yang mengatakan masyarakatlah yang bermasalah kerana memandang peperiksaan SPM sebagai kayu ukur seseorang individu. Tidak dinafikan, memang persepsi masyarakat itu sedikit tergelincir daripada yang persepsi Islam. Akan tetapi, realitinya begitu. Hakikatnya, masyarakat tetap memandang SPM sebagai kayu ukur. Kitalah yang seharusnya melakukan anjakan paradigma terhadap masyarakat dan untuk itu, pada masa kini, kita perlu berusaha untuk berjaya dalam peperiksaan supaya kata-kata kita didengari orang. Walaubagaimanapun, perlu juga ditegaskan: SPM bukanlah satu-satunya aspek dalam kehidupan dan bukan jua matlamat utama pembelajaran kita. Matlamat kita belajar ialah Allah dan SPM itu cuma wasilah untuk kita mendapat kredibiliti serta peluang kerjaya yang bagus supaya mudah-mudahan dengan itu kita dapat memberi manfaat kepada Islam. Sekiranya kita gagal walaupun telah berusaha sedaya upaya, ketahuilah: SPM bukan satu-satunya wasilah untuk kita berdakwah dan mencapai keredhaan Allah. Saya harap kenyataan saya tidak disalah anggap.

Sebagai seorang senior, saya memerhati junior saya yang berada di Tingkatan Satu. Pelapis kami. Pewaris anbiya'. Alhamdulillah, ada yang saya lihat, masyaAllah, soleh belaka. Sedihnya, ada sebahagian (besar) datang membawa budaya negatif yang pelbagai. Yang saya risaukan ialah lidah mereka-- nampaknya penggunaan bahasa mereka penuh dengan kata-kata yang kita anggap tidak sesuai dituturkan oleh pelajar Muslim. Saya amat bimbang sekiranya berlaku percampuran antara fikrah Islam yang sentiasa diterapkan oleh para murabbi di SMIK dengan budaya-budaya jahiliah yang dibawa oleh para pelajar baharu (juga para pelajar lama yang mungkin berlaku anjakan paradigma peribadi pada waktu cuti). Hal ini saya rasa harus dibendung dari awal lagi. Saya agak hairan; antara pemerhatian umum yang saya dapat ialah makin bertambah nombor batch, makin kureng syakhsiah. Adakah itu merupakan lumrah dunia? InsyaAllah di SMIK, kami akan cuba menerapkan prinsip "hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini." Saya amat mengharapkan Tingkatan Lima dan Tingkatan Empat memainkan peranan dalam mendidik adik-adik supaya sekolah kita empat tahun akan datang tidak hancur. Jotted down: tindakan segera perlu diambil.

Akhir Kalam

Setakat ini sahaja pos saya pada kali ini setelah lama blog ini dorman. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menulis, selari dengan moto Kelab Penerbitan: "Berdakwah Melalui Pena" -- seperti yang dilakukan Imam Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, dan yang kontemporari, Aidh Abdullah al-Qarni, Harun Yahya dan ramai lagi insan yang menggunakan wasilah penulisan untuk menyampaikan fikrah Islam.

Wallahua'lam, wassalam.

18 Julai 2008

Masuknya Kita ke dalam Islam dengan Sempurna

Assalamualaikum WBT.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 208:

Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Dalam ayat di atas, Allah SWT memerintahkan kita supaya mengambil Islam secara keseluruhannya. "Keseluruhan" di sini membawa dua pengertian: kita menerima Islam itu dari setiap aspek iaitu dari sudut akidahnya, akhlaknya, syariahnya, sosialnya, politiknya, ekonominya, hiburannya, dan dari aspek-aspek lain. "Keseluruhan" juga membawa konotasi kita memberikan hidup kita seluruhnya untuk Islam, bekerja untuk Islam, dan berusaha menegakkan Islam di bumi ini. Bak kata pepatah Arab, "Ilmu itu tidak akan memberimu sebahagian dirinya hinggalah kamu memberinya seluruh dirimu." Begitu jualah manfaat serta syiar Islam itu dapat dirasai hanya sanya jikalau kita mengambil Islam as a whole (secara keseluruhannya/holistik).

Dalam menjadikan Islam sebagai Deen atau cara hidup kita, tidak boleh ada dolak dalih dalam melaksanakan sesuatu tuntutan yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak patut wujud di situ sebarang reservation dalam menunaikan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya kerana hidup kita di dunia ini tujuannya hanyalah semata-mata untuk berubudiyah kepada Allah seperti yang termaktub dalam firman-Nya dalam Surah ad-Dzariyat ayat 56:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.

Sayyid Qutb ada mengatakan supaya manusia mengambil Islam secara keseluruhannya atau meninggalkan Islam secara keseluruhannya. Hal ini demikian kerana bahaya orang yang mengambil only parts of Islam lebih dahsyat daripada bahaya orang kafir kerana mereka yang tidak memeluk Islam secara kaffah ini bakal menjadi duri di dalam daging yang mampu merosakkan akidah atau ubudiyah ummah kepada Allah dari dalam ummah itu sendiri.

Antara motivasi yang boleh mendorong kita untuk mengambil Islam secara keseluruhannya ialah sifat kesyumulan Islam itu sendiri. Tiada satu juzuk pun dalam hidup kita ini yang terlepas daripada peraturan-peraturan Islam. Peraturan Islam itu pula kesemuanya membawa kepada kemaslahatan setiap individu dan membawa kepada kedamaian serta ketenangan sesuai dengan kalimah "salam" atau Islam itu sendiri yang mendukung maksud "sejahtera". Perkara kedua yang boleh memotivasikan kita untuk mengambil Islam dengan sempurna ialah rasa izzah atau bangga dengan Islam seperti yang telah ditonjolkan oleh para sahabat ridhwanullah alaihim. Misalan ini sidah tampak dengan jelas: mereka mengisytiharkan keislaman mereka, memelihara keimanan mereka serta mempertahankan iktikad mereka walaupun mereka dicaci, diseksa, dihempap batu, dicakar dengan besi panas malah dibunuh -- bukti-bukti ini menunjukkan bahawa mereka bangga dengan keislaman mereka dan mereka menerima Islam secara keseluruhannya. Radhiyallah anhum wa radhu anh.

Status Islam di Malaysia kini hanyalah sebagai agama rasmi negara. Malaysia hanyalah "negara umat Islam" di mana terdapat orang Islam yang menetap di dalamnya dan pemimpinnya "beragama Islam". Malaysia belum lagi "negara Islam" atau "Daulah Islamiah" kerana perundangan negara kita tidak disandarkan secara kaffah kepada al-Quran dan as-Sunnah tetapi perlembagaan Malaysia berkiblatkan pemikiran Lord Reid, pemikiran bangsa yang pernah menjajah kita dahulu. Kebijaksanaan pemimpin kita sungguh menakjubkan. Di manakah Islam kini di Malaysia? Hanya pada kad pengenalan, di masjid-masjid (kecuali Masjid Kristal) dan di surau-surau sahaja. Manakala perundangannya, hukum jenayahnya, pendidikannya, politiknya, hiburannya -- kesemuanya bertuhankan demokrasi dan sekularisme. Apabila diseru kepada mereka bahawa perundangan Allah itulah yang utama maka mereka menjawab: "Malaysia ini negara majmuk, maka kita perlu menjaga kepentingan semua pihak." Apakah negara Madinah dahulu bukan negara majmuk? Apakah kepentingan orang-orang bukan Islam tidak terpelihara? Bahkan ya. Saidina Umar al-Khattab RA memberi juga jawatan kerajaan yang tidak berkaitan dengan polisi negara kepada Ahlul Zimmah (orang bukan Islam yang membayar cukai perlindungan untuk berlindung di bawah negara Islam -- hak mereka sama seperti rakyat Muslim yang lain).

Urusan pemerintahan itu ditentukan oleh Allah melalui kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya. Negara kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Bersihkanlah perundangan kita daripada penjajahan sistem demokrasi sekular. Laksanakan sistem pemerintahan Islam secara seluruhnya. Tiada siapa akan rugi sekiranya Islam itu ditegakkan. Tiada siapa akan dianiaya. Tiada siapa akan dizalimi. Dengan syarat: Islam itu dijalankan secara KESELURUHANNYA. Bebaskan diri kita dari cengkaman Barat. Merdekakan diri kita daripada penjajahan Jahiliah sama ada penjajahan lahiriah, material, mahupun penjajahan pemikiran dan jiwa. Tegakkan sistem yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah, insya-Allah kita akan berjaya.

Sesiapa yang mencari cara hidup selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (cara hidupnya itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Marilah kita bersama-sama menerima Islam secara keseluruhan, mengikis habis segala karat serta kotoran Jahiliah di hati, menyuburkan benih iman dan membajanya dengan taqwa serta menjadikan redha Allah itulah matlamat kita yang utama.

Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman. [Ali Imran: 139]

Wallahua'lam, wassalam~

19 Jun 2008

Bekalan Hidup Ini

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, jangan kita lupa memuji Allah setiap masa kerana Dialah yang telah menciptakan kita dan memberi kita kurniaan yang tidak terkira nilainya sehingga disebutkan bahawa nikmat sebiji mata itu adalah jauh lebih berat daripada nilai amalan seorang hamba sepanjang hidupnya. Selawat dan salam tidak lupa kita tujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang telah berusaha mencurahkan masa dan tenaga menjalankan dakwah dan tarbiah sehingga kita pada hari ini mampu mengecapi dua nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Dalam pada itu, marilah kita sama-sama mendoakan rahmat Allah ke atas mereka yang menyambung tugas para rasul iaitu para da'i yang mendukung risalah Rasulullah SAW dalam menyampaikan Islam ke seluruh dunia.

Sesungguhnya hidup kita di atas muka bumi ini ialah satu musafir. Satu perjalanan yang bermatlamat. Satu pengembaraan yang penuh kesenangan serta dugaan. Oleh sebab itu, manusia memerlukan bekalan yang cukup dan berterusan untuk dia meneruskan hidupnya di alam ini. Perkara yang paling penting dalam sesebuah perjalanan ialah matlamat ataupun destinasi. Matlamat ataupun ghayah kita ialah reda Allah. Destinasi kita ialah syurga-Nya. Perjalanan ke syurga ialah satu perjalanan yang jauh; bukan jauh dari segi jarak ataupun masa, tetapi jauh dari segi kesusahan serta kepayahan yang perlu ditanggung sebelum sampai ke sana. Justeru, kita memerlukan bekalan-bekalan yang boleh menampung kita ketika kita sedang berada dalam kesusahan dan kepayahan ke jannah Allah SWT.

Bekalan yang paling penting ialah iman kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain. Iman bererti sesuatu yang diakukan oleh lisan, dibenarkan oleh hati dan dibuktikan dengan amalan yang zahir. Secara ringkasnya, iman ialah kepercayaan dan keyakinan yang mendalam terhadap sesuatu. Iman kepada syurga Allah akan menjadi satu motivasi kepada diri seorang Muslim untuk sentiasa melakukan amalan yang boleh membawanya ke syurga. Muslim tersebut akan senantiasa memperbaik dirinya dan takut melakukan maksiat. Hal ini demikian kerana Muslim tersebut yakin bahawa ganjaran yang lumayan menantinya di akhirat kelak sekiranya dia melakukan amal salih seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah an-Nahl ayat 97 yang maksudnya:

Barangsiapa yang beramal salih sama ada lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang mereka lakukan.

Iman adalah pokok yang penting dalam perjalanan kita menuju ke syurga. Segalanya bermula dengan iman. Iman adalah laksana kunci kepada peti yang mengandungi bekalan-bekalan lain untuk menuju ke syurga Allah dan mendapat keredaan-Nya. Jika kita hendak mengaitkan keimanan dengan sepuluh sifat Muslim yang digariskan oleh Imam Hassan al-Banna, kita boleh samakan dengan salimul aqidah atau kesejahteraan akidah.

Setelah kita mendapat kunci (iman) tersebut dan membuka peti bekalan itu, kita ceduk pula bekalan kedua bagi seorang Muslim yang ingin berjumpa dengan Penciptanya iaitu akhlak. Akhlak ialah perilaku seseorang dan biasanya apabila disebut akhlak, dimaksudkan dengannya ialah tingkah laku yang baik. Tingkah laku yang baik di sini bermaksud perbuatan yang bertepatan dengan kehendak syarak serta sunnah Rasulullah SAW, bukannya sesuatu yang dianggap baik pada pandangan manusia. Hal ini demikian kerana akal manusia adalah terbatas meskipun majoriti mengatakan sesuatu itu baik atau buruk. Seperti yang pernah ditulis oleh sahabat ana, democracy isn't always right. Akhlak yang terbaik yang boleh kita jadikan sebagai panduan ialah sunnah Rasulullah SAW seperti yang telah disebut oleh Allah dalam Surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia.

Akhlak agung yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW seperti memberi salam, lemah lembut, jujur, sabar menghadapi rintangan, berinteraksi dengan manusia dengan cara yang kena pada tempatnya dan sebagainya boleh kita ambil, rujuk serta manifestasikan dalam kehidupan seharian kita. Hayati sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang berbunyi:

Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling banyak berbuat baik kepada isterinya.

Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menjelaskan bahawa akhlak itu mempunyai hubung kait dengan iman. Antara akhlak yang paling penting yang perlu ada dalam diri setiap Muslim ialah sifat malu, satu sifat yang membentengi manusia daripada segala sifat mazmumah. Disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa iman itu datang sebagai satu pakej dengan sifat malu. Rujuk artikel ini untuk maklumat lanjut. Bekalan akhlak ini pula boleh kita kaitkan dengan sifat matinul khuluq atau kemantapan akhlak.

Bekalan ketiga yang perlu ada dalam diri setiap Muslim yang ingin masuk syurga ialah thaqafah ataupun pengetahuan dan kefahaman. Ilmu pengetahuan (agama) adalah sangat penting bagi memastikan kesahihan ibadah yang kita lakukan. Kefahaman Islam atau fikrah Islamiah itu perlu ada dalam hati kita sebagai satu bekalan untuk kita memahami dengan jelas matlamat hidup kita di dunia ini. Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda bahawa seorang faqih (orang yang memahami Islam) itu adalah lebih baik daripada seratus orang abid. Orang yang mendalami Islam itu lebih sukar diganggu syaitan berbanding orang yang hanya menghabiskan masanya dengan beribadah.

Ana ingin selitkan di sini satu pesanan daripada ustaz ana. Ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Ibadah umum pula adalah seperti menuntut ilmu, malah makan dan minum, bersenam -- dengan syarat disertakan dengan niat yang betul kerana Allah. Kalau diikutkan, blogging juga dikira sebagai satu ibadah sekiranya niat kita ikhlas kerana Allah untuk menyampaikan dakwah. Oleh sebab itu, adalah salah untuk kita beranggapan bahawa hidup kita mesti dipenuhkan dengan ibadah-ibadah khusus sahaja kerana anggapan ini sebenarnya boleh membawa kepada kemunduran ummah. Ditekankan semula bahawa kefahaman Islam adalah penting untuk menjamin kesahihan ibadah (sahihul ibadah) dan kita boleh kaitkan thaqafah ini dengan sifat muthaqafatul fikr iaitu fikiran yang berpengetahuan.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama bersiap siaga menempuh perjalanan kita menuju ke syurga yang telah bermula semenjak kita mencapai usia baligh sehinggalah kita menyapa liang lahad nanti. Siapkan bekalan kita. Di sini ana hanya menulis mengenai tiga bekalan sahaja iaitu iman, akhlak, dan thaqafah. Ada banyak lagi bekalan-bekalan yang boleh kita ambil sebagai persediaan untuk memulakan perjalanan. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan. Abang Ikhwan Subberi selalu berpesan kepada kami supaya mengutip mutiara-mutiara yang terdapat di SMiK. Ana pada waktu itu (Tingkatan Dua) bolehlah sedikit sebanyak memahami apa yang dipesannya itu tetapi masih belum boleh merasai serta menghayatinya. Apabila sekarang ini ana sudah melangkah masuk ke menengah atas barulah ana terasa bahawa bekalan menuju ke syurga itu dapat dilombong di merata-rata tempat di bumi SMiK. Rugilah kita kalau kita tidak mengutipnya.

Sebenarnya artikel ini merupakan hasil daripada ceramah Ustaz Daniel yang disampaikan pada Ijtima' Mingguan Isnin lalu yang ana olah dan ulas sedikit sebanyak. Untuk artikel mengenai sepuluh sifat Muslim oleh Hassan al-Banna, lihat artikel ini yang ditulis oleh Akhi Mukhtar.

Wallahua'lam.