09 September 2010

‘Eid Ini untuk Siapa?

gambar

Ramadhan akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Hampir sebulan kita menjadi tetamu Ramadhan, kini tiba saat graduasi daripada madrasah tarbiah ini. Kita bakal menyambut Aidilfitri. Ada yang sedih, dan ramai yang gembira. Satu persoalan bermain di minda: ‘Eid (hari raya) ini untuk siapa?

Hari Raya Puasa vs Aidilfitri

Kata orang tua-tua, siapa yang tak berpuasa penuh tak boleh beraya (perempuan dikecualikan, sudah tentu). Oleh sebab itu, 1 Syawal dinamakan ‘Hari Raya Puasa’, perayaan untuk orang-orang yang berpuasa. Namun, jika difikirkan kembali, dalam hadis baginda (ada hadis muttafaqun ‘alaih dan ada hadis riwayat Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim), Rasulullah SAW menamakan 1 Syawal sebagai 'yaumul fitr’ iaitu ‘hari fitrah’. Perayaan ini dalam Islam dipanggil ‘Aidilfitri’, perayaan menyambut kembalinya orang-orang Islam kepada fitrahnya yang bersih.

‘Eid Ini untuk Siapa?

Ada pepatah Arab yang sangat terkenal mengenai hari raya:

ليس العيد لمن لبس الجديد، إنما العيد لمن طاعته تزيد

Bukanlah ‘Eid itu untuk mereka yang baru pakaiannya,
—sesungguhnya ‘Eid itu untuk mereka yang bertambah ketaatannya.

Patutkah kita bergembira dengan pakaian baru pada hari raya, sedangkan ketaatan kita kepada Allah sama saja atau makin berkurang?

Kita kembali kepada tujuan-tujuan kita disyariatkan berpuasa: supaya kita bertaqwa, bersyukur, dan beroleh petunjuk (Q 2:183—186). Adakah Ramadhan kali ini meningkatkan ketaqwaan kita? Adakah Ramadhan kali ini menambahkan kesyukuran kita? Adakah Ramadhan kali ini mendekatkan diri kita dengan petunjuk Allah SWT? Jika jawaban bagi persoalan-persoalan ini ialah ‘ya’, alhamdulillah, bergembiralah kita. Namun, jika jawabannya ‘tidak’, muhasabahlah diri, layakkah aku menyambut Aidilfitri?

Menyambut ‘Eid

Para hukama’ Islam ada menyebut (dikompilasikan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Al-Fawaaid m/s 35), “Pahala amal kebaikan ialah kebaikan yang dilakukan sesudahnya.” Apabila Allah menerima amal seseorang hamba, Dia akan menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik yang seterusnya. Maka apabila tiba Syawal, teruskanlah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi puasa enam, teruskanlah qiamullail, tilawah dan tadarus al-Quran, majlis-majlis tazkirah, dan amalan-amalan sunnah yang lain.

Janganlah kita menjadi Muslim yang ‘menyembah Ramadhan’. Satu iqtibas yang popular dalam kalangan kami, “Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, maka sesungguhnya Ramadhan telah pergi. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah hidup dan tidak mati.”

Hayati video ini mengenai fenomena ‘Muslim Ramadhan’:

 

Bacaan-bacaan lain yang bagus mengenai Ramadhan & Aidilfitri:

Saya sangat sedih. Ramadhan hendak pergi. Rasa seperti tiada perubahan dalam diri. Rasa malu untuk menyambut Aidilfitri.

Saya boleh saja menjadi seperti kebanyakan orang Melayu, menyalahkan orang lain disebabkan kesilapan sendiri. Saya boleh menyalahkan USIM kerana suasananya dan jadual waktunya yang padat. Namun, sampai bila saya hendak play victim? Seperti yang dinukilkan oleh Maher Zain dalam lagunya Awaken, “Yes it’s easy to blame everything on the West, when in fact all the focus should be on ourselves.”

Namun, peluang masih belum tertutup. Ramadhan ada satu hari lagi. Syawal ada enam hari untuk menampung kecacatan Ramadhan kali ini. Hari-hari selepas ini, Allah masih membuka pintu-pintu rahmat-Nya bagi hamba-hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya. Mungkin, amalan-amalan yang berterusan selepas Ramadhan menunjukkan Allah menerima Ramadhan kita kali ini. Ketahuilah; kerugian dan kegagalan sebenar apabila kita berhenti mensucikan diri. Apabila kita mula berputus asa daripada rahmat Allah.

Selamat beramal di hari terakhir bulan Ramadhan,
—dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Kullu ‘aam wa antum aqrabu ilallah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan