13 April 2010

Muslimkah Kita?

Islam, dengan 1.57 bilion penganut, menurut kajian pada tahun 2009, menjadi agama yang mempunyai jumlah penganut yang kedua terbesar dan kadar pertumbuhan yang terpantas. Ramai dan terus berkembang. Namun Rasulullah saw berpesan, “…bilangan kamu amat ramai tetapi kamu umpama buih di lautan.” Mengapakah umat kita ini boleh jadi begini? Kerana ramai daripada kita yang tidak tahu, apa ertinya dia menjadi seorang Muslim.

Apa Itu Islam

agenda musuh
Membataskan Islam kepada kedamaian duniawi merupakan perancangan jahat musuh- musuh Islam supaya umat Islam menjadi pasif dan defensif. Walhal, hanya dengan Islam (penyerahan diri kepada Allah) akan datangnya Salaam (kesejahteraan).

Ada yang berkata bahawa perkataan ‘Islam’ berasal daripada kalimah ‘salaam’ yang bermaksud sejahtera. Menurut mereka, Islam ialah agama kesejahteraan, tidak wujud istilah ‘peperangan’ dalam kamus Islam. Mereka yang berfahaman begini belum benar-benar menghayati apa ertinya mereka memeluk Islam, dan pandangan mereka masih lagi terikat dengan konsep-konsep cetusan idea manusia yang sempit lagi terbatas.

Kalimah ‘Islam’ berasal daripada kata ‘aslama’ yang bermaksud menyerahkan diri. To submit, dalam bahasa Inggerisnya. Islam bererti menundukkan diri secara sepenuhnya kepada Allah Azzawajalla, undang-undang & peraturan-Nya, serta sistem hidup yang lengkap yang diturunkan oleh-Nya. Dalam situasi di mana Allah menganjurkan kedamaian, maka seorang Muslim menganjurkan kedamaian. Jika dalam situasi tertentu di mana Allah mewajibkan peperangan, maka seorang Muslim memenggal kepala sang kafir semata-mata untuk mematuhi perintah Allah Taala.

Seorang manusia harus mengetahui apa ertinya dia menjadi manusia, barulah dia akan kekal menjadi manusia, serta tidak tergelincir menjadi binatang. Sebagai contoh, erti menjadi manusia ialah berpakaian, maka dia berpakaian, sedangkan binatang tidak berpakaian. Erti kemanusiaan ialah berakal fikiran, maka dia berfikir, sedangkan binatang tidak berfikir. Begitu juga kita yang menggelar diri kita sebagai Muslim, harus mengetahui apa ertinya kita menjadi Muslim supaya kita tidak tergelincir daripada batasan Islam lalu menjadi kafir. Nauzubillah.

Erti Menjadi Muslim

Menjadi seorang Muslim bererti kita menyerahkan diri kita kepada Allah Taala, layak seorang hamba menyerahkan diri kepada tuannya. Apa saja yang disuruh, dibuat; dan apa saja yang dilarang, dijauhi. Apa saja yang diturunkan Allah kita terima, dan selain itu kita tinggalkan. Malah ini sahajalah satu-satunya sebab mengapa kita wujud sebagai manusia pada hari ini di atas muka bumi ini, tiada sebab yang lain selain ini. Ayat ‘lima satu lima enam’ sepatutnya telah mendasar dalam jiwa kita dan mengalir melalui pembuluh darah kita serta tampak pada setiap gerak geri kita. Allah berfirman yang bermaksud:

Al-Quran, Surah al-Zariyat,
51 : 56

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

Dengan melabel diri kita sebagai Muslim, kita harus melepaskan segala ketaatan dan kepatuhan kepada selain Allah, sama ada ketaatan kepada adat dan norma masyarakat, ketaatan kepada famili, rakan sekerja, mahupun kepada pemimpin-pemimpin yang mendokong ideologi taghut. Menjadi Muslim ertinya melepaskan diri kita daripada memikirkan “apa orang kata” dan menjadikan “apa Allah kata” sebagai prioriti. Menjadi Muslim ertinya mengatur hidup mengikut kehendak Allah—tidur kita bukan kerana “kita nak” tetapi supaya badan kita mendapat kekuatan untuk membuat kerja-kerja Islam kerana “Allah nak”.

Erti menjadi Muslim ialah mengutamakan pendapat Allah berbanding pendapat sendiri, pendapat sains, dan pendapat Barat. Berhukum berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya hawa nafsu. Yakin bahawa pencuri harus dihukum potong tangan kerana “arahan Allah” bukannya diberi kerja mengikut “logik fikiran”. Erti menjadi Muslim ialah, apabila kita melihat sebiji epal jatuh ke tanah, “izin Allah” terlintas dalam fikiran mendahului “graviti”.

Menjadi Muslim bererti duduk di dalam batas-batas Islam yang telah ditetapkan Allah, kerana keluar daripada batas-batas ini bererti keluar daripada Islam. Menjadi Muslim bererti kita menyerahkan diri secara total dan sempurna kepada Allah Taala—yang telah menciptakan saya dan kalian—melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang tanpa sebarang pertikaian mahupun persoalan atas sebab-sebabnya.

Pilihan Yang Diberi

Al-Quran, Surah al-Baqarah,
2 : 256

Menjadi seorang Muslim dalam erti kata yang sebenarnya tidak boleh melalui paksaan. Allah berfirman dalam kitab-Nya, “Tiada paksaan dalam (menganut) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas perbezaan antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat.” Namun, kita perlu menelusuri satu hakikat. Hakikat bahawa jahiliah sedang aktif menyerang jiwa kita. Jiwa kita diserang oleh agenda Zionis, diserang oleh liberalisme, demokratisme, materialisme, nasionalisme, sekularisme, dan banyak lagi –isme buatan manusia yang lain yang semuanya taghut belaka. Masyarakat yang kita hidup dalamnya sekarang ini ialah masyarakat yang diselubungi maksiat dan penderhakaan terhadap Allah Taala. Jiwa kita, wahai saudaraku sekalian, sedang cedera parah.

Seorang doktor tidak boleh memaksa pesakitnya yang pening kepala untuk menelan panadol. Dia hanya mampu memberinya panadol dan menasihatinya supaya mengambil ubat tersebut. Begitu juga jiwa kita. Jiwa kita sedang sakit tenat dan Islam adalah ubatnya. Dalam hidup kita sudah tentu pernah, walaupun sekali, ada pihak yang cuba menawarkan kita supaya mengambil ubat ‘Islam’ ini—sama ada ibu bapa kita, kawan-kawan di pejabat, ustaz-ustaz penceramah di televisyen, mahupun artikel ini. Namun, terpulang pada kita sama ada mahu menelan ubat yang pahit ini—meninggalkan kehidupan jahiliah kita yang penuh dengan kemewahan dan kebahagiaan palsu, dan menyerahkan diri hanya sanya kepada Allah—atau menzalimi diri kita dengan menjadi hamba dunia dan hawa nafsu sehingga mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan di dunia, apatah lagi di akhirat.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan