Semua guru dan staf lain telah pulang. Muttaqi masih lagi duduk terpaku. Langsung dia tidak percaya apa yang berlaku di dalam kelas tadi.
“Cikgu, betul ke dulu cikgu suka pada Cikgu Anna?”
“Semua orang ada zaman Jahiliah. Illa ma qad salaf. Apabila seseorang itu mula mendapat fikrah Islam yang sebenar dan bertaubat, Allah maafkan dosa-dosa yang lalu. Cikgu tak mahu dengar lagi kamu sebut nama tu, faham?”
Anna. Ya. Pada masa itu mereka masih tidak tahu apa-apa. Tidak. Bukan tidak tahu, buat-buat tidak tahu. Mencari alasan, membuat justifikasi, memutarbelitkan kata-kata murabbi untuk membenarkan perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim.
Tetapi itu kisah lama, sudah tujuh tahun berlalu. Apa-apa pun, Muttaqi dan Anna tetap merupakan pelajar sekolah Islam. Tahu hukum-hakam dan had-had Allah. Mungkin syaitan, nafsu, dan hormon menang pada waktu itu. Pintu yang diketuk berkali-kali lama-lama dibuka jua — tarbiah Islamiah mula terkesan di hati. Benteng iman dan fikrah sudah mulai utuh. Sekarang mereka sudah berbeza.
Namun, maksiat bagaikan anjing gila yang kelaparan. Makin kuat kita lari daripadanya, makin kuat ia mengejar kita. Kawan-kawan yang bermasalah masih lagi memasang-masangkan mereka. Terdengar lagi suara-suara sinis di dalam kelas. Selepas tamat persekolahan, ‘sahabat-sahabat’ masih lagi membangkitkan isu itu. Tak sudah-sudah.
Kini, setelah tamat pengajian dalam bidang Komunikasi di Universiti Teknologi Darulnaim, Muttaqi bekerja sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah lamanya, Sekolah Menengah Islam Klang (smik). Hari ini, anak muridnya pula yang membangkitkan kembali satu episod hidup yang telah lama dikuburkan.
Muttaqi mengeluh panjang. Astaghfirullah.
“Muttaqi, tak balik lagi?”
“Eh, Ustaz Fateh. Terkejut ana. Ingatkan ana seorang yang belum balik.”
“Ana dah balik dah, patah balik untuk ambil buku student, ingat nak menanda malam ni. Anta masih di sini buat apa?”
“Ana nak minta nasihat ustaz, boleh?”
**********
“Ana rasa tertekan sangat sekarang ni ustaz. Down. Macam mana cerita ana yang dah bertahun lamanya anak murid ana boleh tahu?”
“Heh, jangan pandang rendah ‘internet’ perempuan. Tapi anta tak patut rasa tertekan. Biarlah manusia lain kata apa pun. Yang penting anta dah bertaubat. Cukuplah Allah tahu, kan?”
“Hmm. Ana memang dah memekakkan telinga bila kawan-kawan ana masih mengungkit lagi fasal ana. Tapi ni anak murid ana, ustaz. Ana sepatutnya jadi murabbi mereka, qudwah mereka. Sejarah silam ana yang buruk tu mereka dah tahu.”
“Murabbi bukan malaikat, akhi. Saidina Umar dahulu merupakan insan yang tidak beriman kepada Allah. Penyembah berhala. Setelah keislamannya, beliau menjadi insan yang disebut Nabi SAW, ‘jika ada lagi nabi sesudahku, nescaya ia ialah Umar.’ Anta tak pernah tak beriman. Anta tak pernah tanam anak hidup-hidup. Anta tak pernah sembah berhala kemudian makan berhala tersebut. Kekhilafan merupakan lumrah manusiawi; jika seseorang itu tak pernah melakukan kesilapan, dia tidak layak digelar manusia.”
“Mereka dah hilang thiqah pada ana…”
“Jadi, anta nak dapatkan thiqah baliklah? Anta kena ingat, akhi. Thiqah tu bukan kita yang punya. Allah yang mencampakkan kethiqahan ke dalam hati anak-anak murid anta dan Dialah yang layak menariknya kembali. Manusia akan thiqah pada kita jika kita menjaga hubungan kita dengan Allah. Kalau anta betul-betul ikhlas dalam bertaubat, insya-Allah, keikhlasan anta akan terpancar daripada anta dan anak murid anta tidak akan ada masalah menerima ilmu dari anta.”
Muttaqi tertunduk. Dia menyerap segala-galanya yang diberikan oleh Ustaz Fateh, yang pernah mengajarnya sewaktu dia masih bersekolah dahulu. Kini mereka ‘rakan sekerja’.
“Muttaqi, ana nak balik ni. Zaujah ana marah balik lewat-lewat. Oh ya, sebenarnya, kes anta ni sama aja macam ana masa ana zaman macam anta dulu. Orang lain akan terus mengenakan kita. Tau tak bila gosip-gosip dan cakap-cakap manusia ni akan berhenti?”
“Bila ustaz?”
“Bila anta dah walimah nanti. Jadi kalau anta nak cepat selesai masalah ni, cepat-cepatlah walimah. Anta dah 24. Boleh sangat dah tu. He he. Ilal liqa’, assalamualaikum.”
Muttaqi tersenyum sendirian sambil memandang ustaznya meninggalkan bilik guru. Bekerja di institusi yang mengamalkan tarbiah memang menarik. Memang benarlah kata-kata yang biasa didengarinya: menjadi murabbi itu juga sebahagian daripada proses tarbiah!
hmm..24..okay..itu usia yang wajar....refleksi yang bagus...suka nasihat ust fateh tu.
BalasPadam(",)
BalasPadam