06 Mei 2009
Takbir!
TAKBIR! ALLAHUAKBAR!!!
Itulah ungkapan agung yang dilaungkan setiap kali seorang wakil SMIK mengambil trofi bagi pertandingan-pertandingan bahasa Arab yang berlangsung pada sambutan Mahrajan Sanawi yang bertempat di SMA Hisamuddin Sg. Bertih, Klang, pada 5 Mei yang lalu.
Majlis penyampaian hadiah bermula lebih kurang satu jam selepas semua pertandingan tamat. Semua berdebar-berdebar menanti keputusan. Lalu diumumkan senarai pemenang bagi pertandingan Choral Speaking Bahasa Arab. Dengan izin Allah, SMIK tidak menduduki tiga tempat teratas bagi pertandingan tersebut. Pasti ada hikmah di sebaliknya.
Setiap kali disebut nama sekolah yang memenangi tempat ketiga, naib johan dan johan; bunyi tepukan kedengaran.
Bertepuk tangan merupakan adat orang Nasraniadat orang Barat. Padahal, majoriti sekolah yang menyertai acara-acara dalam Mahrajan Sanawi ialah sekolah agama. Islam menegah kita daripada ber-tasyabbuh; yakni meniru perbuatan orang-orang kafir. Ada seorang sahabat saya sudah panas punggung dengan keadaan tersebut lantas meminta izin saya:
Acap, kita takbir ja nak?
Sabar dulu.
Bunyi tepukan makin kuat kedengaran apabila johan mengambil hadiah. Lalu saya berkata kepada penolong saya itu,
Anta pi minta izin ustaz dulu.
Setelah penyampaian hadiah pertandingan Choral Speaking, tiba masa bagi Pertandingan Syarahan Bahasa Arab Peringkat Menengah Tinggi pula. Diumumkan: tempat ketiga, Yusuf dari Maahad Tahfiz. Tempat kedua, Faris dari KISAS. Dan johan, Ahmad dari SM Ibn Khaldun.
Dan kedengaranlah ungkapan membesarkan Allah itu. Guru-guru dan para peserta yang lain memandang kami yang duduk di hadapan sekalidi belakang barisan guru. Kami datang bukan untuk bertanding semata-mata. Kami datang untuk membawa Islamuntuk menunjukkan Islam itu tinggi dan tarbiah itu mulia. Kami datang dengan syiar Islami untuk mengalahkan syiar-syiar lain. Untuk syiar takbir mengalahkan syiar tepukan Barat.
Maka berterusanlah syiar itu. Untuk enam wakil SMIK yang merangkul trofi, lima takbir dilaungkan. Ada satu kali kami tak sempat.
Ketika hujung-hujung majlis penyampaian hadiah tersebut, sekolah-sekolah lain turut menyambut takbir kami dan ada juga yang mula melaungkan takbir apabila wakil sekolah mereka mendapat trofi. Paling lantang apabila SAMT Hishamuddin Kg. Jawa memenangi anugerah sekolah terbaik bagi Mahrajan Sanawi 2009 pada akhir program.
Segala puji bagi Allah. Mission accomplished.
Matlamat kami adalah untuk membuktikan bahawa cara Islam yang sebenarnya itulah yang tinggi. Islam ialah sistem hidup, bukan teori dalam buku teks. Islam disemai dengan tarbiah, bukan pengajaran dalam kelas saja. Muslim dibentuk dengan sembang santai bersama murabbinya, riadah bersama sahabatnya, gurauan bersama seniornya, senyuman kepada ahli masyarakatnya, bermesra dengan keluarganya dan macam-macam lagi dalam konsep tarbiah yang luas ini. Muslim bukan hanya dibentuk dengan pengajaran teks PQS dan PSI dalam kelas dan mendapat A1 dalam SPM.
British telah berjaya menjalankan sekularisasi ilmu terhadap penduduk Malaya. Konsep ilmu dan konsep ibadah diasingkan sama sekali. Maka tujuan kami adalah untuk menegaskan bahawa menuntut ilmu itu sendiri merupakan ibadah. Datang bertanding merupakan ibadah. Matlamat kami adalah untuk mentaukidkan bahawa Islam itu syumul (lengkap) dan tidak sempit. Matlamat kami, sekali lagi, adalah untuk membuktikan bahawa pendidikan yang memanifestasikan kesyumulan Islam, yakni tarbiah, itulah yang tinggi dan tiada lagi yang lebih tinggi daripadanya!
Allah berfirman dalam Surah an-Nisa ayat 139:
Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu ialah milik Allah, (diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya).
Alhamdulillah, ramai juga pemenang yang berserban dan berpurdah dari Maahad Tahfiz (Wisma Hafiz).
Sebenarnya saya bukan hendak menulis tentang syiar di sini, tetapi nampaknya pengalaman ini lebih sesuai dihubungkan dengan konsep syiar. Saya sebenarnya hendak menulis tentang tamayyuz. Apakah tamayyuz itu? Apakah kaitannya dengan pos ini? Pentingkah ia dalam kehidupan ini? InsyaAllah pos Halaqah seterusnya akan membincangkan konsep tersebut, jika Allah mengizinkan.
Wallahualam.
02 Mei 2009
Aku dan Bahasa
Assalamualaikum WBT.
Jika kalian membaca artikel saya sebelum ini, Tatabahasa Sebagai Wasilah Komunikasi, tentu kalian akan memandang saya pelik. Ha ha. Tidak saya nafikan; saya memang seorang language-freak (gila bahasa).
Saya tidak pasti jika ada pelajar lain di SMIK yang mempunyai kegilaan yang sama seperti saya. Saya mula membaca kitab hijau Tatabahasa Melayu Dewan edisi 1995 oleh DBP semenjak Darjah Enam lagi. Saya telah khatam dan hadam buku tersebut pada pertengahan Tingkatan Tiga. Pada waktu itu, memang sesungguhnya saya boleh dipanggil skema dalam bahasa tulisan. Blog saya merupakan blog yang, saya rasa, paling skema jika dibandingkan dengan blog-blog lain yang ditulis oleh remaja sebaya saya. Bayangkan, dalam blog diaribukan blog ilmiahsaya menulis dengan tatabahasa Melayu baku, ejaan yang penuh tanpa singkatan, penggunaan tanda baca yang berpandu, dan pemeriksaan dua tiga kali untuk memastikan saya tidak menulis di kalangan sebaliknya menulis dalam kalangan.
Pada waktu itu juga, saya menjadi pembela hebat tatabahasa Melayu; kononnya pejuang yang memartabatkan bahasa ibunda. Saya pernah mengkritik akhbar yang menggunakan dari pada tempat yang sepatutnya daripada digunakan. Pernah sekali saya tulis sebuah artikel Keretapi VS Kereta Api untuk membetulkan seorang guru sekolah rendah. Artikel itu saya cetak dan minta adik tampalkan di kelasnya. Lucu sungguh.
Banyak juga yang saya tahu tentang linguistik. Tidaklah banyak sebenarnya, tetapi banyak jugalah memandangkan saya seorang pelajar sekolah menengah. Morfologi, sintaksis, fonetik … merupakan sebahagian petunjuk kegilaan saya. Oleh kerana salah dan oleh sebab betul; hendak tahu alasannya apa? Oleh merupakan kata sendi nama dan hanya menerima kata nama sahaja selepasnya. Kerana pula merupakan kata hubung dan bukan kata nama. Oleh sebab itu, gabungan oleh kerana adalah salah menurut hukum tatabahasa Melayu terkini. Tahukah kalian apa bezanya antara ialah dengan adalah? Ialah menuntut kata nama selepasnya, manakala adalah menuntut kata sendi nama selepasnya. Contoh ayat: (a) Ali ialah seorang guru dan (b) Buku kamu adalah di rumah Azam. Kalimah ialah dan adalah diklasifikasikan sebagai kata pemeri dan penggunaannya harus diminimakandan hakikat saya menulis perenggan ini tanpa langsung merujuk kepada buku tatabahasa merupakan petanda kroniknya kegilaan saya.
Rupa-rupanya, kegilaan saya bukanlah kegilaan yang tidak bermakna. Saya dipilih menjadi Ketua Editor Fikruttaqwa, buletin bulanan SMIK, pada tahun lalu. Hmm, apakah agaknya tugas seorang editor? Sewaktu saya menggeladah perpustakaan mini di rumah untuk mencari buku-buku dakwah haraki, saya terjumpa sebuah buku kecil yang ditulis oleh Arthur Plotnik: Elements of Editing. Saya mengkhatamkan buku tersebut dalam masa seminggu. Nampaknya, skil tatabahasa yang baik diperlukan untuk menjadi seorang editor! Namun, tatabahasa bukanlah motif utama seorang editor; ciri utama yang perlu ada pada seorang editor ialah kemahiran menyunting sesuatu bahan supaya bersesuaian dengan kumpulan pembaca sasaran; dalam kata lain, kemahiran komunikasi selektif. Oleh sebab itulah saya menulis artikel Tatabahasa Sebagai Wasilah Komunikasi.
Kegilaan saya pada bahasa tidak terhad pada bahasa Melayu sahaja. Saya meminati banyak bahasa. Bahasa lisan yang saya betul-betul lancar, malangnya, cuma bahasa Melayu sahaja. Tetapi, bahasa yang mampu saya tulis dengan baku ialah bahasa Melayu (sudah tentu!), bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Saya menulis dalam bahasa Inggeris di blog diari saya, a2i | vibes. Dalam bahasa Arab pula, saya tidak banyak menulis tetapi bolehlah juga, mungkin disebabkan latihan-latihan yang diberikan ustaz. Syarahan bahasa Arab yang saya sampaikan pada Malam Kebudayaan Mahrajan Thaqafi ke-4 pada 26 April yang lalu merupakan tulisan saya sendiri dan al-Fadil Ustaz Darus Senawi Ali membuat pembetulan di beberapa tempat.
Sebagai seorang remaja normal yang tinggal di Lembah Klang, secara naturalnya saya terdedah kepada manga dan anime. Kesungguhan mangaka menghasilkan beratus-ratus muka surat yang penuh dengan lukisan yang begitu terperinci telah menarik perhatian saya yang berada di Tingkatan Dua pada waktu itu. Banyak manga yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris saya baca secara online pada waktu itu. Saya mula menjelajah dan mendapati banyak lagi manga yang belum diterjemahkan dan masih dalam bahasa asal iaitu bahasa Jepun. Maka, saya pun mula mempelajari bahasa Negara Matahari Terbit itu melalui internet. Ada seorang kawan saya yang, pada waktu itu, turut berminat dengan bahasa Jepun maka kami pun saling bertukar ilmu tentangnya.
Saya masih meneruskan pembelajaran bahasa Jepun hingga kini (kawan yang meminati bahasa ini bertambah ramai) dan setakat ini saya mempunyai lebih kurang 100 aksara kanji dalam memori. Cuma, pada tahun ini saya bakal menduduki peperiksaan SPM (insyaAllah) oleh itu saya harus mengalihkan fokus kepada yang lebih penting. Dalam pada itu, niat mempelajari bahasa Jepun juga sudah berubah; saya ingin menjadi seorang dai di Jepun memandangkan Jepun mempunyai potensi yang tinggi untuk Islam. Kurangnya orang Islam di Jepun bukan kerana mereka tidak mahu memeluk Islam, tetapi kerana kurangnya pendedahan. Islam mula sampai di Jepun melalui orang Melayu; ya, ketika Perang Dunia Kedua. Islam di Jepun masih baru. Mereka sebenarnya lebih mudah memeluk Islam kerana ramai dalam kalangan pemuda-pemudi mereka merupakan ateis. Ateis secara dasarnya lebih mudah masuk Islam berbanding mereka yang sudah mempunyai kepercayaan lain. Bak kata Dr Zakir Naik:
Saya ucapkan tahniah kepada golongan ateis; mereka sudah pun memenuhi separuh tuntutan Lailahaillallah iaitu Lailaha- (tiada tuhan). Kerja yang tinggal sekarang cuma membuatkan mereka memenuhi separuh lagi, iaitu -illallah (melainkan Allah).
Saya juga teringat akan kata-kata Abang Muqarrabin, seorang pendaki Everest yang telah berbasikal mengelilingi dunia, yang datang memberi ceramah di sekolah kami, Di Jepun ada Islam, tetapi tiada orang Islam.
Kata-kata ini menunjukkan bahawa budaya Jepun mempunyai banyak persamaan dengan akhlak Islam seperti hormat-menghormati, menjaga kebersihan, berdisiplin dan sebagainya; cuma mereka tidak memproklamasikan Lailahaillallah Muhammadurrasulullah.
Berbalik kepada topik, banyak lagi bahasa yang hendak saya pelajari sebenarnya. Antara bahasa yang saya berminat untuk pelajari, jika diberikan peluang pada masa hadapan, ialah bahasa Tamil, Mandarin, Latin, Hebrew dan Perancis. Bahasa Tamil dan Mandarin supaya tidak tertipu di negara sendiri, bahasa Latin untuk merampas kembali ilmu Islam yang dicuri, bahasa Hebrew untuk mencuri dengar perbualan Yahudi, dan bahasa Perancis merupakan antara bahasa sains terpenting kini. Lihat, objektif pembelajaran bahasa semuanya ada kepentingan. Dalam dakwah, tiada istilah saja-saja. Ustaz Daniel berpesan:
Kalau anta jadi ketua persatuan dan dengan itu tidak dapat laksanakan dakwah, tinggalkan [jawatan itu].
Maksudnya, jika kita buat sesuatu (eg: mempelajari bahasa) dan dengan perbuatan itu kita tidak dapat melaksanakan dakwah, lebih baik kita tinggalkan aktiviti itu.
Ketahuilah, mempelajari bahasa merupakan salah satu tuntutan Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Dr Ali Hashimi dalam bukunya Keperibadian Muslim:
[sic] Muslim itu tidak lupa pula memberi perhatian kepada sebahagian bahasa asing, sebab bahasa asing yang tertentu di zaman ini menjadi satu perkara yang sangat penting kepada pendidikan Muslim yang sedar dan cergas demi memahami tuntutan kehidupan Islam semasa.
Hidayat agama yang agung ini menjadi sebaik-baik pendorong kepada Muslim yang sedar untuk mempelajari satu-satu bahasa asing. Rasulullah SAW telah menyeru kita mempelajari bahasa asing semenjak 14 abad yang lalu supaya umat Islam itu mampu dan layak berhubung dengan berbagai-bagai umat dan bangsa; supaya mudah menyeru mereka kepada agama yang benar ini.
Izinkan saya petik sebahagian artikel Perindah Bahasa Kita daripada buletin Fikruttaqwa keluaran Februari 2008:
Rasulullah SAW menyeru kita mempelajari bahasa asing supaya kita mudah menyeru bangsa-bangsa asing kepada Islam.
Baginda ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, Wahai Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.
Zaid berkata, Lalu aku mempelajarinya. Maka tidak lalu setengah bulan melainkan aku telah menguasainya.
Diriwayatkan juga bahawa Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.
Nah, kegilaanku bukan tidak berasas!
Al-Quran telah lama menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah Yang Maha Bijaksana menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia. Mereka yang mempelajari Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah bab Makkiyyah dan Madaniyyah tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa yang straight to the point. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang pertumbuhan kedua-dua bahagian otak sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam, menurut tulisan Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya 7 Formula Individu Cemerlang yang diterbitkan oleh PTS. Bertadabburlah kalian pada penggunaan bahasa rabbani ini!
Bahasa merupakan alat untuk komunikasi; komunikasi merupakan wasilah dakwah dan tarbiah. Dakwah dan tarbiah pula bertujuan suci untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Jika tatabahasa menghalang komunikasi, seterusnya membantutkan dakwah, apa gunanya berpegang pada tatabahasa? Apa pun bahasa yang kita pelajaritidakapa jua ilmu yang kita dalami, dan apa jua pekerjaan yang kita buat, pastikan ia sebagai wasilah dakwah ke jalan Allah. Jika apa yang kita buat menyebabkan kita terhalang daripada mendapat keredaan Allah, maka tinggalkanlah.
Aqulu qauli haza wa astaghfirullah al-Azim li walakum.
Akulah yang menuturkan [menaip] bicaraku ini lantas aku memohon keampunan Allah untukku dan untukmu.
Wallahualam.
Ya, satu pesanan kepada diri saya: jika anta berblog dan dengan berblog anta tidur lewat dan menyebabkan kesukaran untuk melakukan tugas dakwah yang lebih penting pada esok hari, maka tinggalkanlah. XD
Tatabahasa Sebagai Wasilah Komunikasi
Assalamualaikum WBT.
Tatabahasa, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ialah pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan perkataan dalam proses pembinaan ayat (penyusunan kata dalam ayat) dan lain-lain.
Dalam bahasa yang mudah, tatabahasa ialah pengetahuan kita dalam membentuk ayat yang mengikut standard.
Pada pendapat saya, ada satu masalah dengan tatabahasa Melayu: tatabahasanya ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkara ini menyebabkan standard tatabahasa Melayu menjadi terlampau tinggi dan sangat jauh bezanya dengan struktur bahasa lisan Melayu. Ini memerlukan orang Melayu sendiri mempelajari bahasa Melayu sehingga tergaru kepala. Peraturan demi peraturan dikeluarkanmembezakan antara ialah dengan adalah, dari dengan daripada, dan sebagainya. Peraturan dikeluarkan menyatakan oleh kerana adalah salah; yang sepatutnya oleh sebab. Tolong jawab soalan saya secara jujur: antara ialah dengan adalah, dari dengan daripada, dan oleh kerana dengan oleh sebab; pada pandangan kalian, adakah perbezaannya? Jika kita menggunakan perkataan ialah apabila DBP menetapkan bahawa adalah adalah lebih layak digunakan, adakah ayat tersebut tidak dapat difahami?!
Ternyata; tatabahasa Melayu kini mengheret bahasa Melayu jauh daripada tujuan sebenar kewujudan bahasa: komunikasi. Bahasa adalah untuk difahami. Asalkan orang Melayu, khususnya yang bertutur loghat Johor-Riau, dapat memahami bahasa yang kita tuturkan, maka tatabahasa itulah tatabahasa Melayu. Loghat Johor-Riau merupakan loghat standard bahasa Melayu. Hampir semua rakyat Malaysia memahami bahasa Melayu yang dituturkan dalam loghat ini. Maka sebetulnya tatabahasa Melayu Johor-Riaulah yang patut menjadi standard tatabahasa Melayu. Jika tatabahasa Melayu Johor-Riau berubah, maka sepatutnya tatabahasa Melayu turut berubah. Kenapa kita terlalu rigid?
Konsep pelestarian apa yang tidak fleksibel begini? Bahasa ialah milik masyarakat yang menuturkan bahasa tersebut. Bahasa bukan milik sesebuah badan penyelaras. Harapan saya di sini ialah supaya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka berhenti daripada menetapkan peraturan-peraturan yang tidak bermakna dalam tatabahasa Melayu.
Dengan tulisan ini, tidak saya maksudkan bahawa tatabahasa itu tidak penting. Saya juga masih menjadi pembela tatabahasa Melayu dari dahulu hingga sekarang. Jika tidak, masakan saya menulis artikel ini dengan tatabahasa Melayu baku. Saya tahu akan kepentingan tatabahasa iaitu untuk menyelaraskan bahasa Melayu supaya dapat difahami oleh setiap lapisan masyarakat yang bertutur loghat yang berbeza-beza. Kepentingannya juga untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kepentingannya juga menyediakan satu sistem untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Saya tahu kepentingan tatabahasa iaitu sebagai wasilah komunikasi.
Apa yang cuba saya tekankan di sini ialah apa gunanya membuat perubahan yang tidak penting? Hanya kerana ada dua perkataan yang hampir sama penggunaannya tidak bermaksud pihak DBP harus menetapkan kalimah A untuk apa dan kalimah B untuk apa. Berikan sedikit ruang kebebasan dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris misalnya, penutur bebas memilih sama ada till atau until. Tidak pula ditetapkan till untuk masa dan until untuk tempat. Tolonglah kekalkan tatabahasa sebagai wasilah komunikasi dan hanya wasilah komunikasi. Sepatutnya kita merubah bahasa Melayu untuk menjelaskan kesamaran yang menyulitkan pemahaman, bukan merubah bahasa Melayu untuk menjelaskan kesamaran lalu menyulitkan pemahaman.
Mungkin ada di antara pembaca yang berkata, kalau tak mahu mengikut tatabahasa, tak perlulah. Hmm, pada pendapat kalian, siapakah agaknya yang terkesan secara langsung dengan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh DBP ini? Ya, pelajarpelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang strukturnya rigid dirigidkan lagi. Ayah menghadiahkan Ahmad seutas jam tangan adalah salah, yang betulnya Ayah menghadiahi Ahmad seutas jam tangan. Sudahlah, saya rasa kalian memahami kedua-dua ayat tersebut sama saja. Bahasa Melayu strukturnya rigid; perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu tidak boleh berubah kedudukannya dalam ayat sepertimana dalam bahasa Arab atau bahasa Jepun. Oleh itu, akhiran -kan atau -i sebenarnya tidak penting dalam contoh di atas.
Dalam bahasa Arab, (a) akala Ahmadu attufaaha, (b) akala attufaaha Ahmadu, (c) attufaaha akala Ahmadu, (d) Ahmadu attufaaha akala, (e) attufaaha Ahmadu akala dan (f) Ahmadu akala attufaaha semuanya merupakan ayat yang sama maksudnya. Hal ini disebabkan oleh akhiran kalimah-kalimah tersebut. Akala merupakan kata kerja yang bermaksud makan. Akhiran -u pada kalimah Ahmadu menunjukkan Ahmad sebagai subjek. Akhiran -a pada kalimah attufaaha menjadikan epal sebagai objek. Memandangkan kata kerja, subjek dan predikat telah ditentukan pada kalimah itu sendiri, maka kedudukan kalimah dalam ayat boleh diubah-ubah tanpa mengubah maksud ayat: Ahmad makan epal.
Kita lihat pula bahasa Jepun, menggunakan contoh Ahmad makan epal yang sama, Ahmad-wa ringo-o tabemasu, Ringo-o Ahmad-wa tabemasu, dan bagaimana pun diubah struktur ayatnya, ayat tersebut masih boleh difahami. Ini bergantung kepada akhiran -wa yang menandakan subjek dan akhiran -o yang menandakan objek.
Tatabahasa Melayu baku tidak membenarkan perubahan ini. Ahmad makan epal dan Epal makan Ahmad membawa makna yang jauh berbeza. Hanya terdapat satu perubahan yang boleh dilakukanmenggunakan teknik ayat songsanguntuk menukar kedudukan kalimah dalam ayat ini tetapi masih mengekalkan maknanya iaitu Makan epal, Ahmad. Sungguhpun begitu, ayat songsang tidak dibenarkan dalam dokumen rasmi. Dalam pada itu, Makan Ahmad epal, Ahmad epal makan, dan Epal Ahmad makan tidak diterima dalam tatabahasa Melayu baku.
Daripada ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu dapat difahami secara terus melalui strukturnya yang rigid. Ali melastik burung dan Ali lastik burung dapat difahami oleh penutur dengan baik. Penonton membanjiri stadium dan penonton membanjirkan stadiumwalaupun ayat kedua memang pelik, tetapi bukankah kedua-dua ayat itu difahami dengan baik? Memang, saya pun kurang bersetuju dengan ayat kedua; saya tidak berhasrat untuk menidakkan peraturan bahasa Melayu yang cukup cantik dan profesional. Cuma ketahuilah, bahasa Melayu dapat difahami walau tunggang langgang macam mana sekalipun asalkan kedudukan perkataan dalam ayat adalah baku.
Kesimpulannya, ini merupakan hasrat saya bagi tatabahasa Melayu pada masa akan datang:
- Tidak melakukan perubahan yang tidak bermakna
- Mengubah struktur bahasa hanya jika tidak diubah ia akan menyukarkan penutur
- Setiap perubahan menjadikan bahasa Melayu lebih komunikatif, bukan definitif
- Menjadikan bahasa Melayu lebih fleksibel dan memberi ruang kepada kreativiti
- Tidak menyukarkan pelajar subjek Bahasa Melayu
Sekian daripada saya, tolong betukan saya jika tersilap dari segi fakta, tatabahasa, atau jika saya terkasar bahasa.
Wallahualam.
01 Mei 2009
Hanya Tarbiyah dan Tarbiyah Sahaja
Assalamualaikum WBT.
Setiap bangsa dibangunkan dengan tarbiyah.
Itu antara isi syarahan yang disampaikan oleh Akh Syatibi dari Sekolah Menengah Agama Swasta Kampung Laut (SMASKL) yang mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Syarahan Antara Sekolah yang diadakan bersempena Mahrajan Thaqafi ke-4 di Sekolah Ibn Khaldun 25 April yang lalu.
Benar, setiap bangsa dibangunkan dengan tarbiyah.
Tidak kira bangsa Islam atau bukan Islam, semuanya dibangunkan dengan tarbiyah.
Tarbiyah yang berkesan memerlukan kewujudan empat faktor:
- Manhaj (sistem/silabus)
- Qudwah (role model)
- Murabbi (pendidik)
- Biah (suasana)
Bagi setiap ummah, tarbiyah yang membentuknya hanya berubah dari segi keempat-empat pemboleh ubah di atas.
Ummah Islam, terutamanya generasi pertama yang dibangunkan oleh Rasulullah, dibangunkan dengan manhaj rabbani iaitu sistem yang bersumberkan Ilahi. Tarbiyah Islamiyyah mempunyai qudwah hasanah yang kita boleh jadikan sebagai contoh ikutan yang realistik iaitu baginda Nabi SAW - serta para sahabat baginda ridhwanullah alaihim. Tarbiyah Islamiyyah yang berkesan memerlukan murabbi mithali ataupun pendidik yang menunjukkan contoh yang baik di dalam biah solehah ataupun suasana yang membantu keberkesanan proses tarbiyah itu sendiri.
Sahabat saya Ahmad Hashimi pernah menulis -- berasaskan curahan fikrah oleh murabbi-murabbi kami -- dalam Fikruttaqwa Edisi Mahrajan Thaqafi IV:
... masih ada satu lagi sistem yang akan membentuk anak-anak ini. Bukti kejayaan sistem ini berada pada lembaran sejarah 1400 tahun yang lalu di Makkah. Hakikat sistem ini ialah menutup sekumpulan manusia dari arus luar. Satu bentuk penutupan yang menyeluruh, membentengi hati-hati dan arus suasana globalisasi yang rancak ... Hakikatnya, hanya sistem ini yang boleh membentuk manusia. Tidak lain tidak bukan [sistem ini] ialah tarbiyah.
Ini dia sistem tarbiyah Islamiyyah. Sistem yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, yang memerlukan kepada isolisasi -- isolisasi lahiriah atau isolisasi batiniah -- bergantung kepada kekuatan hati masyarakat yang hendak ditarbiyah. Teringat pula kata-kata Imam Hasan al-Banna:
Akan aku himpunkan segolongan pemuda-pemuda; akan aku tutup tabir dan akan aku proses dengan Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW sehingga mereka memiliki jelmaan Islam, dan kemudian akan aku buka tabir dan aku bebaskan mereka kepada masyarakat dan masyarakat akan tercengang-cengang melihat, siapakah pemuda-pemuda ini?
Baru-baru ini saya menonton satu rancangan dokumentari di Discovery Channel tentang sejarah pembinaan Tembok Besar China. Rijal di sebalik pembinaan monumen hebat itu ialah seorang jeneral perang Dinasti Ming yang bernama Qi Jiguang. Pada waktu itu, China berada di bawah ancaman Mongolia, negara jirannya yang miskin. Memandangkan negara China kaya, Mongolia ingin "berkongsi" kekayaan tersebut. Maka pada suatu hari, tentera Mongolia berjaya merempuh pertahanan China dan memasuki kota Beijing lalu berjumpa dengan Maharaja dan memaksa Mahraja supaya bersetuju untuk melakukan perdagangan dengan mereka. Peristiwa itu menyebabkan ramai rakyat China terkorban.
Qi Jiguang merupakan seorang pemuda yang masih berdarah panas ketika itu. Sebagai seorang tentera yang bijak, Qi Jiguang telah memikirkan 10 strategi yang hebat untuk mengalahkan tentera Mongol. Strategi itu dibawanya kepada Setiausaha Agung Kerajaan Ming ketika itu, Zhang Juzheng. Zhang Juzheng mengatakan bahawa Maharaja tidak akan bersetuju dengan pandangan agresif seperti itu. Maharaja lebih menyukai cadangan yang berbentuk defensif. Seterusnya, Zhang Juzheng menyuruh Qi Jiguang menunjukkan kebolehannya melawan lanun Jepun yang sedang menyerang perairan China ketika itu.
Maka Qi Jiguang pun berangkat ke kawasan tepi pantai China. Dia lantas memanggil kesemua tentera yang berada di kawasan itu dan mendapati bahawa "tentera-tentera" di situ cuma para petani. Mereka berkata, "Kami tersenarai dalam senarai tentera China. Tetapi kami tidak diajar cara berperang dan tidak dibayar gaji!"
Qi Jiguang berkata, "Kamu akan diajar cara berperang, dan kamu akan dibayar!"
Maka Qi Jiguang mengasingkan kumpulan tentera itu di kawasan pedalaman, melatih mereka selama beberapa bulan untuk menjadi tentera. Qi Jiguang menulis buku panduan kombatnya yang tersendiri yang bertajuk Ji Xiao Xin Shu yang bermaksud Buku Baharu dalam Merekodkan Teknik yang Berkesan. Setelah dilatihnya tentera-tentera itu, mereka dibawa berdepan dengan lanun Jepun -- dan menang.
Kalau disuruh saya menyambung cerita ini hingga kematian Qi Jiguang memanglah terlalu panjang. Cukuplah setakat ini untuk tajuk kita ini. Ada beberapa perkara yang boleh kita perhatikan dan ambil pengajaran dalam kisah di atas:
Penggerak Tarbiyah ialah Golongan Syabab (Pemuda)
Kita lihat, peristiwa di atas berlaku ketika umur Qi Jiguang 25 tahun. Dalam sejarah Islam, banyak kisah menunjukkan bahawa syabablah pemangkin dakwah dan tarbiyah Rasulullah SAW. Saidina Ali, Usamah bin Zaid, Zaid bin Harithah dan ramai lagi syabab yang bersinar membawa mas'uliah yang hebat ini.
Tarbiyah Memerlukan Biah (Suasana) yang Membantunya
Sebaiknya, tarbiyah berhajat kepada isolasi - pengasingan daripada suasana lain yang boleh mempengaruhi kesan tarbiyah. Qi Jiguang melatih tenteranya di kawasan pedalaman, tentera-tenteranya tidak boleh bersenang-lenang dengan kehidupan bandar - suasana pedalaman menyebabkan mereka hidup sebagai tentera - untuk menjadi tentera.
Tarbiyah Memerlukan Manhaj
Lihat sahaja buku tentang teknik berlawan yang ditulis sendiri oleh Qi Jiguang. Dalam tarbiyah Islamiyyah, manhaj kita ialah manhaj rabbani, manhaj yang berasaskan Ilahi. Kita ada al-Qur'an, kita ada hadis dan sejarah perjuangan baginda. Kita ada sistem yang lengkap untuk kita ikut dalam segenap aspek kehidupan, dari akidah ke politik, dari ekonomi ke sosial.
Tarbiyah Memerlukan Murabbi Mithali
Qi Jiguang sebagai seorang jeneral tentera sudah cukup untuk menjadikannya "dithiqahi" oleh para pengikutnya. Para murabbi kita dalam usrah, abang-abang senior, malah rakan-rakan yang mengajak kita ke arah Islam semuanya merupakan murabbi-murabbi kita. Syaratnya, murabbi tersebut mestilah mithali. Murabbi tersebut harus mempamerkan syakhsiah yang bertepatan dengan manhaj yang dibawa. Dengan itu, barulah tarbiyah akan berkesan.
Syed Qutb menyatakan bahawa di dunia ini hanya ada dua: Islam dan Jahiliah. Jika sesuatu itu Islam maka ia bukan Jahiliah dan jika sesuatu itu Jahiliah maka ia bukan Islam. Tarbiyah selain tarbiyah Islamiyyah boleh kita katakan tarbiyah Jahiliyyah. Ketahuilah saudaraku, sedar tak sedar, tarbiyah Jahiliyyah sedang berjalan dengan rancak dan memenuhi keempat-empat faktor tarbiyah di atas.
Mereka ada manhaj iaitu cara hidup Barat (atau cara hidup Jahiliah). Mereka ada qudwah iaitu artis-artis tidak bermaruah yang mereka jadikan idola di mata anak-anak Islam. Mereka ada murabbi iaitu sekalian pemimpin Jahiliah dan murabbi mereka yang utama ialah MEDIA MASSA. Mereka ada biah dengan suasana kacau bilau sekarang ini - papan iklan yang membawa kepada maksiat, konsert-konsert, pergaulan bebas di kompleks beli belah - semuanya merupakan biah yang sangat subur dalam membenihkan Jahiliah dalam diri anak-anak Islam.
Dan kita sebagai anak-anak Islam mengikuti tarbiyah mereka.
Tarbiyah yang sepatutnya kita ikuti wahai saudaraku, adik-adikku, ialah - bak ditulis Hilal Asyraf - tarbiyah Islamiyyah kamilah syamilah - iaitu tarbiyah Islam yang sempurna dan lengkap. Tarbiyah kita ini:
- bersumberkan rabbani iaitu al-Quran, as-Sunnah serta kehidupan para sahabat yang merupakan hasil didikan Rasulullah SAW sendiri.
- mencakupi seluruh kehidupan manusia; zahir, batin, fizikal, rohani dan mental.
- bersifat waqi'i ataupun semasa (mengikut keadaan) berdasarkan manhaj
- mempunyai model untuk diambil contoh tauladan iaitu Rasulullah SAW
- di dalam biah (suasana) yang membantu tarbiyah
- mempunyai murabbi yang memiliki sifat-sifat murabbi yang sebenar
Ada di antara kalian yang sudah mengikuti proses tarbiyah dan ada yang belum lagi dan masih tercari-cari. Bagi yang sudah mengikuti tarbiyah, bukalah hatimu untuk menerimanya, berbanggalah dengannya dan bersyukurlah kerana Allah mengurniaimu dengan sesuatu yang tidak ternilai.
Kata Shaikh Mustafa Masyhur,
Tarbiyah bukan segalanya tetapi segalanya boleh dicapai dengan tarbiyah.
Bagi mereka yang belum lagi diproses dengan proses rabbani ini, maka carilah bersungguh-sungguh. Tentu ada saja yang ingin membantumu. Jika tiada siapa ingin membantumu, maka diri ini sedia membantumu sekadar yang termampu. Jika ibu bapamu ingin menghadiahimu, mintalah tarbiyah! Minta mereka menghantarmu ke institusi pendidikan yang menyediakan tarbiyah. Percayalah, itulah sebaik-baik hadiah yang boleh didapati manusia.
Kepada teman seperjuanganku,
tarbiyah fi aidikum wa aidikum faqat.
Wallahua'lam.