18 Julai 2008

Masuknya Kita ke dalam Islam dengan Sempurna

Assalamualaikum WBT.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 208:

Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Dalam ayat di atas, Allah SWT memerintahkan kita supaya mengambil Islam secara keseluruhannya. "Keseluruhan" di sini membawa dua pengertian: kita menerima Islam itu dari setiap aspek iaitu dari sudut akidahnya, akhlaknya, syariahnya, sosialnya, politiknya, ekonominya, hiburannya, dan dari aspek-aspek lain. "Keseluruhan" juga membawa konotasi kita memberikan hidup kita seluruhnya untuk Islam, bekerja untuk Islam, dan berusaha menegakkan Islam di bumi ini. Bak kata pepatah Arab, "Ilmu itu tidak akan memberimu sebahagian dirinya hinggalah kamu memberinya seluruh dirimu." Begitu jualah manfaat serta syiar Islam itu dapat dirasai hanya sanya jikalau kita mengambil Islam as a whole (secara keseluruhannya/holistik).

Dalam menjadikan Islam sebagai Deen atau cara hidup kita, tidak boleh ada dolak dalih dalam melaksanakan sesuatu tuntutan yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak patut wujud di situ sebarang reservation dalam menunaikan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya kerana hidup kita di dunia ini tujuannya hanyalah semata-mata untuk berubudiyah kepada Allah seperti yang termaktub dalam firman-Nya dalam Surah ad-Dzariyat ayat 56:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.

Sayyid Qutb ada mengatakan supaya manusia mengambil Islam secara keseluruhannya atau meninggalkan Islam secara keseluruhannya. Hal ini demikian kerana bahaya orang yang mengambil only parts of Islam lebih dahsyat daripada bahaya orang kafir kerana mereka yang tidak memeluk Islam secara kaffah ini bakal menjadi duri di dalam daging yang mampu merosakkan akidah atau ubudiyah ummah kepada Allah dari dalam ummah itu sendiri.

Antara motivasi yang boleh mendorong kita untuk mengambil Islam secara keseluruhannya ialah sifat kesyumulan Islam itu sendiri. Tiada satu juzuk pun dalam hidup kita ini yang terlepas daripada peraturan-peraturan Islam. Peraturan Islam itu pula kesemuanya membawa kepada kemaslahatan setiap individu dan membawa kepada kedamaian serta ketenangan sesuai dengan kalimah "salam" atau Islam itu sendiri yang mendukung maksud "sejahtera". Perkara kedua yang boleh memotivasikan kita untuk mengambil Islam dengan sempurna ialah rasa izzah atau bangga dengan Islam seperti yang telah ditonjolkan oleh para sahabat ridhwanullah alaihim. Misalan ini sidah tampak dengan jelas: mereka mengisytiharkan keislaman mereka, memelihara keimanan mereka serta mempertahankan iktikad mereka walaupun mereka dicaci, diseksa, dihempap batu, dicakar dengan besi panas malah dibunuh -- bukti-bukti ini menunjukkan bahawa mereka bangga dengan keislaman mereka dan mereka menerima Islam secara keseluruhannya. Radhiyallah anhum wa radhu anh.

Status Islam di Malaysia kini hanyalah sebagai agama rasmi negara. Malaysia hanyalah "negara umat Islam" di mana terdapat orang Islam yang menetap di dalamnya dan pemimpinnya "beragama Islam". Malaysia belum lagi "negara Islam" atau "Daulah Islamiah" kerana perundangan negara kita tidak disandarkan secara kaffah kepada al-Quran dan as-Sunnah tetapi perlembagaan Malaysia berkiblatkan pemikiran Lord Reid, pemikiran bangsa yang pernah menjajah kita dahulu. Kebijaksanaan pemimpin kita sungguh menakjubkan. Di manakah Islam kini di Malaysia? Hanya pada kad pengenalan, di masjid-masjid (kecuali Masjid Kristal) dan di surau-surau sahaja. Manakala perundangannya, hukum jenayahnya, pendidikannya, politiknya, hiburannya -- kesemuanya bertuhankan demokrasi dan sekularisme. Apabila diseru kepada mereka bahawa perundangan Allah itulah yang utama maka mereka menjawab: "Malaysia ini negara majmuk, maka kita perlu menjaga kepentingan semua pihak." Apakah negara Madinah dahulu bukan negara majmuk? Apakah kepentingan orang-orang bukan Islam tidak terpelihara? Bahkan ya. Saidina Umar al-Khattab RA memberi juga jawatan kerajaan yang tidak berkaitan dengan polisi negara kepada Ahlul Zimmah (orang bukan Islam yang membayar cukai perlindungan untuk berlindung di bawah negara Islam -- hak mereka sama seperti rakyat Muslim yang lain).

Urusan pemerintahan itu ditentukan oleh Allah melalui kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya. Negara kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Bersihkanlah perundangan kita daripada penjajahan sistem demokrasi sekular. Laksanakan sistem pemerintahan Islam secara seluruhnya. Tiada siapa akan rugi sekiranya Islam itu ditegakkan. Tiada siapa akan dianiaya. Tiada siapa akan dizalimi. Dengan syarat: Islam itu dijalankan secara KESELURUHANNYA. Bebaskan diri kita dari cengkaman Barat. Merdekakan diri kita daripada penjajahan Jahiliah sama ada penjajahan lahiriah, material, mahupun penjajahan pemikiran dan jiwa. Tegakkan sistem yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah, insya-Allah kita akan berjaya.

Sesiapa yang mencari cara hidup selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (cara hidupnya itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Marilah kita bersama-sama menerima Islam secara keseluruhan, mengikis habis segala karat serta kotoran Jahiliah di hati, menyuburkan benih iman dan membajanya dengan taqwa serta menjadikan redha Allah itulah matlamat kita yang utama.

Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman. [Ali Imran: 139]

Wallahua'lam, wassalam~

19 Jun 2008

Bekalan Hidup Ini

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, jangan kita lupa memuji Allah setiap masa kerana Dialah yang telah menciptakan kita dan memberi kita kurniaan yang tidak terkira nilainya sehingga disebutkan bahawa nikmat sebiji mata itu adalah jauh lebih berat daripada nilai amalan seorang hamba sepanjang hidupnya. Selawat dan salam tidak lupa kita tujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang telah berusaha mencurahkan masa dan tenaga menjalankan dakwah dan tarbiah sehingga kita pada hari ini mampu mengecapi dua nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Dalam pada itu, marilah kita sama-sama mendoakan rahmat Allah ke atas mereka yang menyambung tugas para rasul iaitu para da'i yang mendukung risalah Rasulullah SAW dalam menyampaikan Islam ke seluruh dunia.

Sesungguhnya hidup kita di atas muka bumi ini ialah satu musafir. Satu perjalanan yang bermatlamat. Satu pengembaraan yang penuh kesenangan serta dugaan. Oleh sebab itu, manusia memerlukan bekalan yang cukup dan berterusan untuk dia meneruskan hidupnya di alam ini. Perkara yang paling penting dalam sesebuah perjalanan ialah matlamat ataupun destinasi. Matlamat ataupun ghayah kita ialah reda Allah. Destinasi kita ialah syurga-Nya. Perjalanan ke syurga ialah satu perjalanan yang jauh; bukan jauh dari segi jarak ataupun masa, tetapi jauh dari segi kesusahan serta kepayahan yang perlu ditanggung sebelum sampai ke sana. Justeru, kita memerlukan bekalan-bekalan yang boleh menampung kita ketika kita sedang berada dalam kesusahan dan kepayahan ke jannah Allah SWT.

Bekalan yang paling penting ialah iman kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain. Iman bererti sesuatu yang diakukan oleh lisan, dibenarkan oleh hati dan dibuktikan dengan amalan yang zahir. Secara ringkasnya, iman ialah kepercayaan dan keyakinan yang mendalam terhadap sesuatu. Iman kepada syurga Allah akan menjadi satu motivasi kepada diri seorang Muslim untuk sentiasa melakukan amalan yang boleh membawanya ke syurga. Muslim tersebut akan senantiasa memperbaik dirinya dan takut melakukan maksiat. Hal ini demikian kerana Muslim tersebut yakin bahawa ganjaran yang lumayan menantinya di akhirat kelak sekiranya dia melakukan amal salih seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah an-Nahl ayat 97 yang maksudnya:

Barangsiapa yang beramal salih sama ada lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas dengan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang mereka lakukan.

Iman adalah pokok yang penting dalam perjalanan kita menuju ke syurga. Segalanya bermula dengan iman. Iman adalah laksana kunci kepada peti yang mengandungi bekalan-bekalan lain untuk menuju ke syurga Allah dan mendapat keredaan-Nya. Jika kita hendak mengaitkan keimanan dengan sepuluh sifat Muslim yang digariskan oleh Imam Hassan al-Banna, kita boleh samakan dengan salimul aqidah atau kesejahteraan akidah.

Setelah kita mendapat kunci (iman) tersebut dan membuka peti bekalan itu, kita ceduk pula bekalan kedua bagi seorang Muslim yang ingin berjumpa dengan Penciptanya iaitu akhlak. Akhlak ialah perilaku seseorang dan biasanya apabila disebut akhlak, dimaksudkan dengannya ialah tingkah laku yang baik. Tingkah laku yang baik di sini bermaksud perbuatan yang bertepatan dengan kehendak syarak serta sunnah Rasulullah SAW, bukannya sesuatu yang dianggap baik pada pandangan manusia. Hal ini demikian kerana akal manusia adalah terbatas meskipun majoriti mengatakan sesuatu itu baik atau buruk. Seperti yang pernah ditulis oleh sahabat ana, democracy isn't always right. Akhlak yang terbaik yang boleh kita jadikan sebagai panduan ialah sunnah Rasulullah SAW seperti yang telah disebut oleh Allah dalam Surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia.

Akhlak agung yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW seperti memberi salam, lemah lembut, jujur, sabar menghadapi rintangan, berinteraksi dengan manusia dengan cara yang kena pada tempatnya dan sebagainya boleh kita ambil, rujuk serta manifestasikan dalam kehidupan seharian kita. Hayati sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang berbunyi:

Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling banyak berbuat baik kepada isterinya.

Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menjelaskan bahawa akhlak itu mempunyai hubung kait dengan iman. Antara akhlak yang paling penting yang perlu ada dalam diri setiap Muslim ialah sifat malu, satu sifat yang membentengi manusia daripada segala sifat mazmumah. Disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa iman itu datang sebagai satu pakej dengan sifat malu. Rujuk artikel ini untuk maklumat lanjut. Bekalan akhlak ini pula boleh kita kaitkan dengan sifat matinul khuluq atau kemantapan akhlak.

Bekalan ketiga yang perlu ada dalam diri setiap Muslim yang ingin masuk syurga ialah thaqafah ataupun pengetahuan dan kefahaman. Ilmu pengetahuan (agama) adalah sangat penting bagi memastikan kesahihan ibadah yang kita lakukan. Kefahaman Islam atau fikrah Islamiah itu perlu ada dalam hati kita sebagai satu bekalan untuk kita memahami dengan jelas matlamat hidup kita di dunia ini. Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda bahawa seorang faqih (orang yang memahami Islam) itu adalah lebih baik daripada seratus orang abid. Orang yang mendalami Islam itu lebih sukar diganggu syaitan berbanding orang yang hanya menghabiskan masanya dengan beribadah.

Ana ingin selitkan di sini satu pesanan daripada ustaz ana. Ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Ibadah umum pula adalah seperti menuntut ilmu, malah makan dan minum, bersenam -- dengan syarat disertakan dengan niat yang betul kerana Allah. Kalau diikutkan, blogging juga dikira sebagai satu ibadah sekiranya niat kita ikhlas kerana Allah untuk menyampaikan dakwah. Oleh sebab itu, adalah salah untuk kita beranggapan bahawa hidup kita mesti dipenuhkan dengan ibadah-ibadah khusus sahaja kerana anggapan ini sebenarnya boleh membawa kepada kemunduran ummah. Ditekankan semula bahawa kefahaman Islam adalah penting untuk menjamin kesahihan ibadah (sahihul ibadah) dan kita boleh kaitkan thaqafah ini dengan sifat muthaqafatul fikr iaitu fikiran yang berpengetahuan.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama bersiap siaga menempuh perjalanan kita menuju ke syurga yang telah bermula semenjak kita mencapai usia baligh sehinggalah kita menyapa liang lahad nanti. Siapkan bekalan kita. Di sini ana hanya menulis mengenai tiga bekalan sahaja iaitu iman, akhlak, dan thaqafah. Ada banyak lagi bekalan-bekalan yang boleh kita ambil sebagai persediaan untuk memulakan perjalanan. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan. Abang Ikhwan Subberi selalu berpesan kepada kami supaya mengutip mutiara-mutiara yang terdapat di SMiK. Ana pada waktu itu (Tingkatan Dua) bolehlah sedikit sebanyak memahami apa yang dipesannya itu tetapi masih belum boleh merasai serta menghayatinya. Apabila sekarang ini ana sudah melangkah masuk ke menengah atas barulah ana terasa bahawa bekalan menuju ke syurga itu dapat dilombong di merata-rata tempat di bumi SMiK. Rugilah kita kalau kita tidak mengutipnya.

Sebenarnya artikel ini merupakan hasil daripada ceramah Ustaz Daniel yang disampaikan pada Ijtima' Mingguan Isnin lalu yang ana olah dan ulas sedikit sebanyak. Untuk artikel mengenai sepuluh sifat Muslim oleh Hassan al-Banna, lihat artikel ini yang ditulis oleh Akhi Mukhtar.

Wallahua'lam.

28 Mei 2008

Keneutralan Sejarah

Dipetik dan diedit daripada iLMaNist Note, blog lama ana yang kini digantikan dengan blog Markazul Fikr ini.

Sejarah secara umumnya bermaksud penyelidikan terhadap peristiwa lalu. Menurut Ibn Khaldun, seorang cendekiawan Islam, sejarah membicarakan masyarakat atau peradaban manusia, serta perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu. Pendek kata, sejarah ini ialah apa-apa yang berlaku pada waktu yang lalu. Akan tetapi, sejarah yang diceritakan semula ini - sejauh manakah keneutralannya?

Keneutralan itu relatif. Keneutralan sesuatu fakta itu bergantung pada deria yang menerima dan sukma yang mentafsir. Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza mengenai sesuatu fakta. Pandangan-pandangan tersebut kemungkinan besarnya tiada satu pun yang neutral. Kita ambil contoh: ideologi nasionalisme. Buku teks Sejarah sekolah menengah menekankan unsur nasionalisme dan patriotisme. Dalam setiap rumusan bab pasti ada perkataan yang berkaitan dengan rasa cinta akan bangsa dan tanah air. Semangat kebangsaan memang tampak neutral dan diterima dalam dunia "demokrasi" dan sekular sekarang ini. Pada pandangan ana, semangat ini ialah satu semangat yang karut. Dari perspektif Islam, nasionalisme dan patriotisme adalah haram. Bukan ana hendak mengatakan bahawa mencintai bangsa dan tanah air itu salah, tetapi yang haramnya di sini ialah membawa rasa cinta itu ke tahap isme dan mengabaikan perintah Allah sekiranya perintah tersebut bertentangan dengan adat dan matlamat bangsa tersebut. Izinkan ana menjelaskan suatu perkara di sini: segala pandangan saya akan lebih berfokus kepada Islam berbanding Melayu kerana ana ialah Melayu Muslim bukannya Muslim Melayu. Maksudnya, ana ialah orang berbangsa Melayu yang memeluk agama Islam, bukannya orang Islam yang mendukung ideologi dan jati diri Melayu.

Contoh lain ialah takrif Islam itu sendiri. Sejarawan dan orientalis Barat mengatakan bahawa agama Islam itu merupakan "satu agama yang berasal dari Timur Tengah yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdullah dan kitab suci bagi agama ini ialah Al-Quran." Kita sebagai orang yang beriman cukup arif bahawa Din Islam ini bukanlah diasaskan oleh baginda Rasulullah, bahkan cara hidup yang lengkap ini merupakan Mesej Ilahi Terakhir daripada Allah SWT, Rabb sekalian alam -- untuk disampaikan kepada sekalian umat manusia menerusi utusan-Nya, Muhammad SAW. Sejarawan Barat yang mengkufuri Allah dan mengkufuri wahyu akan menganggap takrif Islam yang sebenarnya ini sebagai tidak neutral dan karut. Kita pula yang mengetahui hakikat sebenar Din ini yakin bahawa sejarawan Baratlah yang mengemukakan fakta yang salah. Akan tetapi, dalam dunia yang dicengkam Barat kini, pendapat sejarawan dan orientalis Barat diterima pakai oleh seantero dunia dan dianggap neutral.

Dapat disimpulkan bahawa memang mustahil untuk ilmu sejarah menjadi satu ilmu yang boleh dikatakan neutral. Apakah sebabnya? Pertama sekali kita tengok pada sumber sejarah -- dari mana kita ambil fakta sejarah tersebut. Fakta-fakta sejarah mengenai sesuatu bangsa, contohnya, sudah tentu diambil daripada bangsa itu juga. Kita buka minda kita, siapakah yang paling arif akan bangsa Melayu? Sudah tentulah orang Melayu. Dan siapakah yang sanggup membela dan mempertahankan bangsa Melayu? Tentulah orang Melayu juga. Cuba kita fikirkan; adakah orang Melayu hendak menceritakan kelemahan dan kekurangan bangsa sendiri? Tidak mungkin. Oleh sebab itu, kita lihat buku-buku tempatan mengenai sejarah Malaysia mengatakan, "British menggunakan helah untuk mencapai sekian, sekian." Sudah tentulah British menggunakan helah, bukankah mereka golongan penjajah? Yang patut dipersalahkan di sini ialah pemerintah Melayu dahulu yang sangat mudah tertipu hingga termakan helah British. Pepatah ada menyebut, buat baik berpada-pada.

Antara sebab lain dikatakan sejarah ini tidak boleh neutral ialah para sejarawan menyembunyikan isu-isu sensitif dan berbahaya di samping menyembunyikan fakta-fakta yang boleh menjatuhkan maruah bangsa/negara sendiri. Kita tidak ditekankan, malah tidak didedahkan sangat supaya mempelajari sejarah Islam dari perspektif Islam yang sebenarnya. Kita hanya belajar di sekolah mengenai sejarah Islam yang sesuai diguna pakai dan diterapkan dalam sistem demokrasi ini. Dalam Islam, kuasa membuat pilihan yang mutlak terletak hanya di tangan Allah SWT. Penguasa-penguasa "negara Islam" sekarang ini amat takut sekiranya kuasa mereka dicabut dan diserahkan secara total kepada Penguasa sarwajagat. Sekiranya kisah-kisah mengenai khilafah Islam dan asas kekuatan Islam yang sebenarnya diajarkan di sekolah-sekolah, nescaya berlaku kebangkitan satu hari nanti. Di situlah fakta sejarah dimanipulasi untuk kepentingan peribadi. Lihat saja berapa banyak sumber sejarah di-banned, kononnya demi menjaga "keharmonian."

Sayyid Qutb pernah berkata bahawa di dalam dunia ini hanya ada dua masyarakat; masyarakat Islam dan masyarakat Jahiliah. Berpandukan daripada kenyataan ini, tiada perkara yang diredai Islam dan diredai juga oleh Jahiliah. Maka tidak wujud perkataan neutral dalam kamus sejarah sebenarnya. Sejarawan Islam bukan sejarawan Jahiliah dan begitulah sebaliknya. Islam tidak akan mengagungkan Jahiliah dan Jahiliah tidak mungkin mengagungkan Islam. Mungkin agak melampau jika ana katakan "keneutralan sejarah tidak wujud" tetapi nampak gayanya itulah hakikat.

Ini semua merupakan agenda orang-orang kafir yang benci akan Islam. Merekalah yang memperkenalkan sistem demokrasi kepada umat manusia -- sistem yang mencabut hak pemerintahan daripada Allah dan memberi hak tersebut kepada manusia pada zahirnya. Untuk memastikan Islam tidak akan bangkit kembali, mereka mencemarkan sejarah Islam yang murni. Sebagai contoh, pihak kerajaan yang tidak bertanggungjawab merosakkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat muka surat 131 dengan mengatakan Rasulullah SAW berperang untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara semata-mata. Ini satu penghinaan! Orang Islam berperang hanyalah untuk mempertahankan ISLAM semata-mata.

Islam kini dituduh sebagai agama keganasan. Para pemimpin Islam sekarang sanggup berusaha menerapkan sistem demokrasi dalam pemerintahan. Pada masa yang sama, pemimpin Barat ketawa berdekah-dekah melihat umat Islam tak nampak lombong emas di depan mata. Bangkitlah wahai umat Islam … tak 'kan Islam hilang di dunia -- itu janji Allah!

16 Mei 2008

Jagalah Dirimu dan Orang Lain

Assalamualaikum WBT.

Rokok dan gaduh. Kedua-dua perkataan ini nampaknya sudah sinonim dan sebati dengan satu parti berhaluan kiri terbaharu yang muncul di bumi kesayangan ana di Jalan Kebun. Apakah yang hendak jadi dengan mereka ini? Tetapi kita tidak boleh merungut kerana memang sudah menjadi tabiat bagi jalan dakwah bahawa munculnya pihak-pihak yang menentang seruan ke jalan Allah. For every action there is an equal and opposite reaction.

Perkara ini memang memeningkan kepala pihak bertanggungjawab. Satu bendalir dingin menggetarkan pembuluh darahku. Bukankah mereka ini pelajar aliran agama? Apakah mereka tidak takut akan azab Allah? Apakah mereka tidak mempercayai siksa kubur? Mungkin faktor suasana tumbesaran mereka di rumah yang menyebabkan mereka begini. Mungkin juga ada dalam kalangan mereka yang ingin berubah tetapi terhalang dek kawan dan ego masing-masing. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada hamba-hamba-Mu.

Sudahlah merokok...

Ketahuilah bahawa rokok itu merupakan sesuatu yang memudaratkan. Perkara yang memang dengan jelas, terang dan nyata membawa kepada kebinasaan diri adalah ditegah oleh syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195, "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan." Walaupun pada asalnya ada ulamak yang mengatakan bahawa hukum menghisap rokok itu makruh, hukum tersebut tidak boleh dikiaskan lagi dengan rokok pada zaman sekarang. Rokok pada asalnya hanya tembakau sedangkan kini benda tersebut disumbatkan dengan nikotin, tar, serta bahan-bahan karsinogen yang lain yang boleh menyebabkan kanser. Setakat ini tiada lagi rawatan untuk kanser selain pembedahan dan kimoterapi. Boleh dibuat kesimpulan di sini bahawa merokok sebenarnya membunuh diri. Apakah umur yang dikurniakan Allah terlampau panjang sehingga mereka merasakan perlu memendekkannya? Ingatlah bahawa tanggungjawab kita jauh lebih banyak daripada masa yang dikurniakan.

... merancang pergaduhan pula.

Kegiatan parti ini yang lebih melampau ialah pergaduhan terancang. Setakat ini sudah dua pergaduhan major yang mereka rancang; satu dengan seorang senior Tingkatan Lima dan satu dengan kawan sekelas Tingkatan Tiga. Mereka bukan sahaja merosakkan diri sendiri dengan merokok malah merosakkan orang lain serta biah (suasana) sekolah yang diwujudkan elok. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah, "Janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi." Ana ingat ana dapat menikmati semester persekolahan yang lebih tenang dengan Sistem Umana (yang mungkin akan dibubarkan, pelik sungguh) yang diasaskan pada tahun ini oleh mudir sekolah, rupa-rupanya wujud juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Mencegah kemungkaran kewajipan semua

Memang menjadi kewajipan bagi semua -- para guru, Umana, pengawas, serta sekalian pelajar -- untuk membanteras gerakan parti berhaluan kiri ini. Kita tidak boleh membiarkan suasana sekolah yang disediakan untuk mentarbiah dan membentuk anak-anak orang Islam menjadi Muslim Mukmin sejati ini dirosakkan oleh zuruf dakhiliah (faktor dalaman) yang lemah ini. Segala onak dan duri hendaklah kita cantas. Al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW, "Barangsiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya (kuasanya); dan sekiranya ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya, dan sekiranya ia tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya; dan itu adalah selemah-lemah iman." Prosedur mencegah kemungkaran bagi pelajar tidaklah terlampau susah. Bagi mereka yang tidak punya kuasa untuk mencegah kemungkaran secara langsung, bolehlah melaporkan apa yang dilihat kepada para ustaz. Bagi pelajar-pelajar junior, ana minta janganlah antum terlibat dengan senior-senior yang telah korup tersebut. Cegahlah kemungkaran dengan hati antum, iaitu dengan membenci kemungkaran tersebut.

Oleh itu wahai para duat ilaLLAH, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Marilah kita bersama-sama mengislah diri kita serta menjalankan tanggungjawab kita sebagai insan-insan yang diamanahkan oleh Allah untuk membentuk masyarakat yang tunduk patuh kepada Allah sahaja, mengibarkan bendera Lailahaillallah sahaja; sama ada masyarakat sekolah, masyarakat kecil keluarga, masyarakat sekitar, malah masyarakat dunia sekalipun.

Firman Allah SWT dalam surah Fussilat, ayat 33:

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"

Wallahua'lam. Wasalam.

14 Mei 2008

Blog Sebagai Wasilah Dakwah

Alhamdulillah, satu lagi blog baharu daripada saya. Blog ini bertujuan menjadi satu wadah untuk saya mencoretkan tinta dakwah dan tarbiah dalam bahasa Melayu sebagai tatapan netizen yang berbahasa Melayu khususnya. Blog ini juga diharapkan bertindak sebagai tempat saya menerbitkan penulisan yang tidak boleh diterbitkan di Fikruttaqwa Online di samping membantu saya dalam penulisan bahasa Melayu baku.