12 Disember 2009

Sajak: Jatidiri

Aku mengah tercungap
saat Cik Siti menyentap
Tangannya yang gopoh
menarik aku jauh
terpisah daripada
—asyirah yang aku sayang
—masakin untukku pulang
—dan amwal yang aku takut hilang

Aku dibawa ke negeri nikmat
yang dibentengi kukuh
manusia tak dibaginya masuk
tak lut dibantai cambuk
cuma sekawan merpati
bermain di atas tembok.

Aku sering tertanya-tanya—
berbaloikah dua purnama?

Namun Cik Siti berjanji
dengan kehendak diri
dan izin Ilahi
aku akan dipakaikan
pakaian jati diri
yang cintakan Allah
kasihkan Rasul
dan dambakan Jihad

Di negeri nikmat
aku diajar berakhlak mulia
mendidik nafsu durjana
dan berbakti kepada dunia
Maka kujawab kembali pertanyaan sendiri—
Seratus peratus berbaloi, insya-Allah!

Ahmad Ilman
10 Disember 2009 (1210)
Tasawwur Islam 1, SPM 2009.

11 Disember 2009

Comelnya muka taip ni!

Assalamualaikum WBT.

Kali ini kita akan belajar tentang tipografi. Bukan, bukan tentang bentuk muka bumi macam dalam Geografi sekolah menengah. Itu topografi. Tipografi ialah ilmu tentang muka taip dan fon. Penting-kah? Sangat penting, sepenting berbahasa lembut kepada sang da’i.

05 Disember 2009

Penerbitan: Satu Pengenalan

Assalamualaikum WBT.

Jari-jemari ini nampaknya tak sabar menunggu tamatnya SPM. InsyaAllah, dalam pos kali ini kalian akan saya bawa berkenal-kenalan sedikit sebanyak dengan bidang yang telah mendarah daging dalam diri saya—penerbitan!

28 November 2009

Pengumuman: Hiatus

Assalamualaikum WBT.

Nampaknya, blog ini telah lama tidak saya kemas kini. Antara faktor utama ialah peperiksaan SPM yang bermula 18 November lalu. Dan akan tamat tiga minggu lagi; maka saya mungkin tidak akan mengemas kini blog ini sepanjang tempoh tersebut. Blog ini akan berada dalam hiatus.

04 November 2009

Sajak: Empat Belas

Bilik kelas
Tampak sunyi
Guru menanda
Murid menimba
Semuanya peribadi
Akal, jiwa, dan fikiran.

Empat belas
Nombor hikmat
Angka keramat
Itu yang tinggal
Itu sasaran.

Aku susuri masa lalu
Mengutip mutiara dahulu
Aku layari masa hadapan
Bekalan kutambahkan.

Senyuman yang menemani
Restu yang mengajari
Rela yang membesarkan
Doa yang melahirkan
Semuanya kukumpulkan
dan kuadun bersama
Redha Yang Menciptakan
Menjadi scimitar tajam
Dengan izin-Nya
'kan kuukir kejayaan!

Ahmad Ilman
4 November 2009 (1030)
5 Ijtihad.

P/S: 14 hari sebelum SPM. Doakan saya memperoleh 14A+!

14 Oktober 2009

Sajak: Aspirasi

Awan
Kuhulurkan tangan
Kugenggam erat awan
Kubuka kembali jemari
Kosong.

Awan
Nampak dekat di mata
Nampak dicapai mudah saja
Walaupun hakikatnya
Jauh.

Awan
Aku tahu aku mampu
Menciumnya jika kumahu
Kuncinya hanya satu
Ijtihad!

Ahmad Ilman
13 Oktober 2009 (2107)
Andalas Jaya

12 Oktober 2009

Haiku #12

Alamat Menuntut Tindakan

Langit menggelap—
Renyai-renyai terasa—
Insan pun lari.

Ahmad Ilman
24 Syawal 1430
Andalas Jaya

Kita & Prinsip

Assalamualaikum WBT.

Lama juga blog ini tidak dikemas kini memandangkan saya agak sibuk dengan persediaan menghadapi SPM dan juga masyghul dengan kerja-kerja pengeditan majalah tritahunan SMIK, At-Taqwa Edisi Keempat. Namun, ini tidak bermakna saya mengabaikan dunia penulisan. Saya masih lagi menulis, cuma dalam bahasa Inggeris di a2i | vibes. Blog tersebut telah diperelok dan isinya yang lama dibuang: menunggu masa untuk diedit dan dipos semula. Buat masa ini, jika saya kekurangan masa untuk mengemas kini Markaz, jenguk-jenguklah Vibes. Tidak kiralah sama ada di situ saya menulis jurnal atau bebelan, saya akan sedaya upaya cuba memasukkan unsur-unsur dakwah dalam kandungan kesemua blog saya, insyaAllah.

Saya ingin mencuri sedikit daripada masa sebulan lebih yang tinggal sebelum SPM ini untuk menulis pos ini. Telah maklum bahawa saya bekerja untuk majalah At-Taqwa sebagai Ketua Editor Naskhah (copy-editor). Tugas saya ialah membaca, menilai dan menyunting setiap skrip atau manuskrip yang diserahkan untuk kemasukan dalam majalah. Salah satu ruangan dalam majalah kali ini ialah Ruangan Khas Tingkatan Lima. Senior diberi peluang untuk meninggalkan athar mereka di SMIK dalam bentuk nama, e-mel dan prinsip. Di sinilah datangnya masalah. Prinsip-prinsip yang ditulis, walaupun banyak yang okey dan sebahagiannya memang mantap, ada yang sedikit-sebanyak bersalahan dengan fikrah yang diterapkan di SMIK sepanjang lima tahun pengajian kami di sini.

Apa yang mereka tulis?

Di sini saya tidak bermaksud untuk memburukkan sesiapa; saya menulis untuk memberi pengajaran. Jika empunya prinsip terbaca pos ini, harap cepat-cepatlah prinsip itu ditukar, moga Allah membalas jasa baik anda, insyaAllah. Antara prinsip yang diberi:

  1. Life is simple. You make choices and you don’t look back.
  2. Life should be filled with fun and laughter.

Komen saya:

  1. Ketahuilah, hidup tidak semudah itu. Orang yang berani ialah orang yang sanggup mengaku kesilapannya apabila ia salah membuat pilihan. Sebelum membuat pilihan, kita nilai berdasarkan neraca Allah. Apabila membuat pilihan, kita nilai berdasarkan neraca Allah. Selepas membuat pilihan, kita nilai berdasarkan neraca Allah. We make choices and we do look back!
  2. Hidup yang dimaksudkan, hidup di mana? Kalau hidup di dunia ini, Ustaz Mustafa Masyhur berkata, “Jalan dakwah ini dipenuhi onak dan duri.” Jika yang dimaksudkan hidup di akhirat kelak, maka benarlah penyataan ini. Hidup di syurga memang sentiasa gembira: kesusahan dan ujian di dunia merupakan gantian keseronakan di sana!

Jika dinilai dengan kaca mata yang lebih lenient, sebenarnya pelajar-pelajar SMIK ini tidak bermasalah pun. Apabila saya menyelak-nyelak majalah sekolah lain untuk dijadikan contoh dalam susun atur majalah, prinsip hidup pelajar-pelajar Tingkatan Lima di sekolah itu lebih merapu. Jadi di sini, suka saya ingatkan kepada semua, janganlah kita terpengaruh dengan ideologi, prinsip dan moto yang dibawa oleh sistem taghut dan jahiliah seperti:

  • Born to be free.
  • Rules are made to be broken.
  • Kita ’kan 1Malaysia

… kerana prinsip-prinsip ini membawa kesan kepada kesejahteraan akidah kita. Dalam hal berprinsip, kita sering terleka dan mengambil apa yang popular dan sering diutarakan orang. Apabila saya melayari laman-laman sosial seperti Friendster, Facebook, dsb., berbagai-bagai prinsip dan kata-kata boleh didapati tertera di laman-laman ahli. “This is not the Bushido way”, “I’m not afraid to rock this world alone”, “Hidup biar sempoi”—apakah semua ini?

Apa yang Allah kata?

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 138:

Sibghah Allah, dan siapakah yang lebih baik Sibghah-nya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya kami mengabdikan diri.

Sibghah bermaksud warna atau acuan. Allah telah membentuk Mesej Ilahi Terakhir (Islam) ini dengan acuan-Nya. Allah telah mewarnakan Risalah Ketuhanan Terakhir ini dengan warna-Nya. Tiada acuan yang lebih baik daripada acuan Allah. Tidak patut kita warnakan prinsip hidup kita dengan warna liberalisme, warna sekularisme, warna nasionalisme, warna demokrasi, warna sosialisme, hatta warna Malaysia sekalipun. Kita merupakan hamba Allah yang seharusnya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Memperhambakan diri kepada-Nya. Oleh itu tidak layak bagi kita mengambil apa jua sistem, apa jua fahaman dan apa jua pegangan selain daripada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT yang telah menciptakan kita dan menyempurnakan penciptaan-Nya.

Hayatilah firman dalam Surah Ali Imran ayat 85:

Dan sesiapa mahukan selain Islam menjadi al-Din (agama)nya, maka tidak akan diterima (agama) itu daripadanya, dan di akhirat (kelak) mereka termasuk golongan yang rugi.

Kita tak mahu menjadi orang muflis di akhirat. Kita mahu segala amalan kita diterima, supaya kita boleh memasuki syurga Allah dalam keadaan Allah reda akan kita. Oleh sebab itu, kita tidak boleh mengehendaki selain Islam menjadi Din kita!

Jika kita fikir-fikirkan, prinsip hidup ialah pegangan hidup; bukan agamakah itu namanya?

Tolong ana, domo!

Untuk apa jua kesilapan dalam penerbitan, editor yang bertanggungjawab. Salah ejaan, salah nama, salah maklumat dsb., editor akan dipersalahkan. Sekiranya saya memandang prinsip-prinsip ini sebelah mata sahaja, dan katalah ada dalam kalangan pembaca yang kurang kefahamannya mengambil prinsip yang goyah tadi sebagai pegangannya, apa yang boleh saya jawab di hadapan Allah? Ruangan Khas T5 merupakan mas’uliah saya dan saya yang akan dipersoalkan kelak. Jadi saya meminta jasa baik pelajar-pelajar Tingkatan Lima SMIK khususnya, dan semua remaja Muslim umumnya, agar sama-sama kita mengkoreksi prinsip kita supaya sejajar dengan apa yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya. Moga-moga dengan itu akidah kita akan sejahtera dan hidup kita dimuliakan oleh Allah SWT, pemegang segala kemuliaan.

Wallahua’lam.

16 Ogos 2009

Jangan Tempelak Mereka

Dipetik dari http://streetdaie.blogspot.com.

Salamun ‘ala man ittaba’ al-Huda.

Puji-pujian hanyalah untuk Allah, selawat dan salam untuk Rasul-Nya.

Allah-lah Ilah sekalian alam yang membenarkan apa yang benar dalam warkah ini, dan saya hamba-Nya yang fakir memohon ampun daripada-Nya atas kesilapan dan kecuaian yang terkandung dalam warkah ini. Sesungguhnya manusia itu tidak pernah lekang daripada kesilapan, namun ketahuilah bahawa sebaik-baik orang yang tersilap itu ialah orang yang memohon keampunan. Marilah kita sama-sama memohon maghfirah daripada-Nya dalam bulan Syaaban yang mulia ini; moga-moga kita digolongkan sebagai sebaik-baik orang yang tersilap. Amin.

Warkah pertama ini ialah warkah perkongsian rasa yang tidak pernah bebas daripada kesilapan. Namun, saya memohon kepada Allah agar terkandung dalam warkah ini kebenaran yang boleh diambil manfaatnya oleh mereka yang diizinkan Allah untuk membaca tulisan ini. Secara umumnya, warkah ini saya tujukan bagi semua umat Islam yang mampu memahami bahasa ini, dan secara khususnya kepada saf UMANA’; moga kita sama-sama istiqamah di atas tariqudda’wah dan al-Sirat al-Mustaqim, insyaAllah.

Kebanyakan daripada kita yang tahu membezakan antara yang baik dengan yang buruk akan memandang jijik kepada perbuatan buruk. Orang-orang yang melakukan perbuatan buruk akan dianggap hina. Ringan saja mulut kita atau hati kita menghina pelaku-pelaku maksiat. Ringan saja kita melaknat orang-orang kafir. Saya cadangkan agar kita bermuhasabah kembali: apakah tindakan kita itu betul? Apakah semua itu selari dengan perbuatan para sahabat terdahulu? Selari dengan amalan para ulama terdahulu?

Satu hakikat yang perlu kita sedari ialah, kita semua dai. Dai tugasnya mengajak manusia ke jalan Allah dengan cara yang berhikmah dan menggunakan pengajaran yang baik. Izinkan saya memetik tajuk buku karangan Ustaz Hasan Hudaibi; Nahnu Du’ah, La Qudhah. Maksudnya: kita ialah pendakwah, bukan penghukum. Ustaz Hasan Hudaibi beserta beberapa lagi pejuang-pejuang Islam, sewaktu mereka masih hidup, diseksa dengan hebat oleh pemerintah Mesir pada waktu itu. Seksaan mereka terhadap pejuang-pejuang kalimat Allah ini amat hebat sehingga ada yang melaungkan bahawa pemerintah Mesir itu dan kuncu-kuncunya telah kafir kerana telah menyeksa umat Islam dengan begitu teruk. Ustaz Hasan Hudaibi bertanya kepada orang-orang yang mengatakan mereka ini kafir, “Adakah pemerintah itu dan kuncu-kuncunya masih mengucap syahadah?” Orang-orang itu menjawab, “Ya, mereka masih mengucap syahadah.” Ustaz pun berkata, “Jika begitu, mereka masih lagi Muslim.” Lalu terbitlah tulisannya Nahnu Du’ah, La Qudhah.

Sesungguhnya kita tidak boleh sesuka hati kita menghukum manusia “dia ini akan masuk neraka, dia ini akan masuk syurga.” Mungkin kita lihat kawan-kawan kita ada yang melakukan maksiat kepada Allah dengan maksiat yang begitu teruk sekali. Mereka bagai lupa terus kepada akhirat dan lalai dengan dunia. Tetapi hati mereka siapa yang tahu? Boleh jadi seseorang yang melakukan maksiat pada siang hari, meratap pada malamnya kepada Rabbnya, “Ya Allah, mengapa aku sentiasa berterusan dalam maksiat?” Di sini ternyata perbuatannya yang buruk itu menjadi pendorong baginya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dengan kehendak Allah, maksiatnya menjadi suatu sebab taubat dan pemberi syafaat baginya di sisi Allah SWT. Pada waktu yang lain, dia cuba menghapuskan dosanya dengan menginfakkan hartanya semata-mata mengharapkan keampunan Allah. Kita tidak tahu hal yang tersembunyi ini. Kita tidak tahu hubungan rahsia antara hamba dengan Rabbnya. Kita hanya nampak perbuatan buruknya sahaja. Tatkala Allah menerima taubatnya di penghujung kehidupannya; Allah pun menerima segala amalnya yang soleh. Nah, orang yang pada zahirnya melakukan maksiat tadi, Allah memuliakannya dengan penghujung yang indah! Ingatlah hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.”

Wahai saudaraku yang membaca warkah ini,

Ketahuilah bahawa menurut Imam al-Ghazali, kita tidak boleh mengatakan laknat kepada seorang kafir yang masih hidup, apatah lagi seorang yang masih Muslim cuma fasik. Mungkin saja pada hujung hidupnya dia mendapat hidayah Allah lalu Allah menghapuskan segala dosanya semenjak dia baligh hingga waktu dia memeluk Islam, dan dia pun kembali ke hadrat Allah sesuci bayi yang baru lahir. Kita tidak dapat memberikan hidayah kepada seorang pun yang kita sukai, sedangkan Allah memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Apakah layak untuk kita mengatakan laknat ke atasnya sedangkan boleh saja tempat kita tertukar dengannya? Yang dibolehkan ialah, “Moga Allah mengutuknya jika ia mati dalam keadaan kafir dan moga Allah merahmatinya jika ia mati dalam keadaan Islam.” Ditegaskan sekali lagi bahawa kita adalah para duat; tugas kita ialah mengajak manusia ke jalan Allah. Untuk orang-orang yang ingkar, kita perlu mengharap kepada Allah supaya Dia memberikan hidayah kepada mereka. Kita memerangi mereka yang memerangi kita, tetapi kita perlu ingat pesanan Allah dalam Surah at-Taubah ayat 5:

Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka dan intailah mereka di tempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan untuk mereka berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Wahai saudaraku,

Kita bukan manusia maksum. Kita tidak pernah terlepas dari kesilapan. Saya yakin, setiap daripada kita ada sejarah hitam masing-masing. Semasa kita sibuk dalam maksiat sebelum diberi taufik oleh Allah, kita merasa enak dengan maksiat yang kita buat. Kita berdebat dengan mereka yang cuba menyampaikan kebenaran kepada kita. Pada waktu itu, memang terasa sungguh nikmat perbuatan maksiat yang kita lakukan sehingga kita tak sanggup melepaskannya. Setelah Allah memberikan petunjuk-Nya kepada kita, kita mula meninggalkan maksiat yang kita lakukan—pujian bagi Allah. Kini kita berdiri teguh sebagai dai. Malangnya, dai yang mengherdik, menghina dan merendahkan pelaku-pelaku maksiat yang sepatutnya menjadi mad’u kita. Sebagai contoh, katalah ada dalam kalangan kita yang pernah ber-couple kemudian bertaubat. Dia kini memandang rendah dan hina kepada kawan-kawannya yang merokok. Tidak sedarkah dia bahawa keterikatan kawannya dengan rokok sama saja dengan keterikatannya dengan couple dahulu? Tugas kita sepatutnya mengajak mereka yang masih melakukan maksiat ini untuk bersama-sama dengan kita mengkoreksi diri. Bukannya menjauhi mereka sehingga dakwah tidak sampai kepada mereka. Mungkin sahaja kawan kita akan bertaubat dan akhirnya diredai Allah, sedangkan kita dimurkai Allah kerana menganggap diri kita kononnya lebih mulia daripada kawan kita kerana “kita sudah bertaubat” dan “dia belum”.

Oleh itu, wahai saudaraku, saya menyeru kepada diri saya khususnya dan diri kalian semua agar kita memperbetul niat kita dalam berdakwah. Pandanglah masyarakat dengan kaca mata dakwah. Jangan pandang masyarakat dengan kaca mata menghukum. Biarlah hukuman itu kita serahkan kepada Allah, Rasul-Nya dan ulil amri minna. Ingat, tugas kita dakwah: mengajak seluruh manusia menghambakan diri kepada Allah dan Allah sahaja. Bebaskan dunia ini daripada perhambaan Jahiliah!

Wallahua’lam.

Ahmad Ashraf Ilman al-Andalusiy
Al-Khalduniy al-Ijtihadiy
16 Syaaban 1430H.

20 Julai 2009

Kullukum Ra’in

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan ana untuk menulis lagi. Dalam tempoh lebih sebulan, ana disibukkan dengan urusan-urusan pelajar seperti pengendalian Umana’; perancangan program Quantum Learning bagi pelajar Tingkatan Lima; sesi fotografi kelas, kelab, persatuan dan guru bagi majalah tritahunan SMIK (At-Taqwa); dan sebagainya. Selawat dan salam kepada kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat baginda dan sekalian yang mengikuti mereka mendukung bebanan dakwah yang berat ini sehingga, akhirnya, melalui wasilah ini, kita diberi peluang oleh Allah Taala untuk mengecapi dua nikmat terbesar yakni nikmat iman dan Islam.


Dewan UMANA’ Putera 2009

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar:

Ketahuilah bahawa setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepimpinanmu … (hingga akhir hadis)

muttafaqun ‘alaih

—satu hadis yang sentiasa membuat ana terkedu dan bermuhasabah diri apabila mendengarnya.

Ada pihak memberitahu ana bahawa saf kepimpinan SMIK (UMANA’) tahun ini merupakan yang paling teruk. Apabila terkenang akan apa yang disebut ini, ana boleh menitiskan air mata. Apa yang ana dah buat sehingga barisan kepimpinan tahun ini merupakan yang paling teruk? Apa yang harus ana jawab di hadapan Allah apabila dipersoalkan di akhirat kelak?

Ana mengaku ana terkhilaf. Tersilap—salah membuat keputusan dalam enam bulan yang pertama ana sebagai Presiden Umana’. Ana membuat andaian bahawa barisan Umana’ merupakan pelajar-pelajar yang terpilih dan komitmen dengan jalan dakwah ini. Maka, ana mengabaikan mereka. Ana mengadakan mesyuarat tanpa pemantauan susulan. Ana menganggap semua anggota organisasi ini merasai mas’uliah mereka, merasai bahawa mereka berada di bawah pengawasan Allah sepanjang masa; merasai bahawa mereka akan dipersoalkan di mahkamah akhirat akan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Di sini ana tersilap besar.

Ana terkhilaf lagi dengan menganggap posisi ana sebagai presiden akan membuatkan ana di-thiqah-i dan ditaati oleh ahli organisasi. Tidak. Bak kata Cikgu Azmi apabila Ustaz Shahabudin meminta nasihat daripada beliau: ke-thiqah-an itu akan dikurniakan oleh Allah apabila seseorang itu rapat hubungannya dengan Allah. Sama seperti apa yang dipesan Ustaz Mazlan Isnin lalu: seorang ketua yang tidak taat kepada Allah, tidak rapat hubungannya dengan Allah, maka dia tidak akan ditaati oleh orang di bawahnya. Memang ana akui, ana tidak sehebat Akh Ikhwan Subberi. Tidak sesoleh Akh Abu Bakr. Jauh sekali daripada generasi awal dahulu. HDA ana lemah. Tarbiah yang ana dapat dirosakkan oleh zuruf-zuruf kharijiah yang terlampau banyak. Karat-karat jahiliah masih tampak jelas pada dinding hati ana. Maka mungkin disebabkan itu barisan Umana’ tahun ini hancur. Apabila ketua sendiri rosak, bagaimanakah dia hendak menyangka anak-anak buahnya menjadi baik dan tidak turut rosak?

Sekali lagi ana terkhilaf apabila ana merasai bahawa Umana’ boleh berjalan tanpa bantuan guru penasihat. Ana menganggap semua ahli terpilih ini hebat-hebat—tidak memerlukan pengawasan. Ana tidak mahu menyusahkan guru penasihat ana, kerana tampak jelas bahawa beliau sibuk. Tetapi tanggapan ana silap apabila tindakan ana enam bulan yang lepas itu menyebabkan hari ini sekolah berada dalam keadaan yang sakit. Umana’ bergerak tanpa panduan, bagai bahtera yang dipandu oleh nakhoda yang tidak berkompas. Apabila ana fikirkan balik, memang tidak logik ana dan barisan Umana’, yang merupakan pelajar biasa, hendak menyelesaikan masalah pelajar itu sendiri; apatah lagi apabila ana dan barisan Umana’ itu sendiri menghidapi masalah-masalah pelajar ini seperti couple dan shuffle.

Seorang dai dan murabbi menangis bukan kerana dia dicerca dan dipermainkan oleh anak didiknya, tetapi kerana dia tidak mampu. Semua orang menangis kerana mereka tidak mampu. Bayi menangis kerana tidak mampu mendapatkan makanan dengan sendiri. Wanita menangis kerana tidak mampu berbuat apa-apa dengan keegoan dan kekuatan fizikal lelaki. Para murabbi di SMIK telah hidup puluhan tahun—20, 30, 40, 50, 60—mereka telah melalui kegetiran yang jauh lebih hebat; mereka tidak akan menangis kerana kebiadaban anak didik mereka. Tetapi mereka menangis kerana mereka tidak mampu. “Mengapa dakwah aku tidak mampu menyentuh hati mereka?” ronta hati kecil mereka. Mereka rasa mereka tak mampu menyelamatkan anak didik mereka daripada murka Allah, maka mereka menangis.

Untuk pertama kali dalam hidup ana, ana berasa sangat-sangat lemah. Mengapa ana tak mampu menyentuh hati ana sendiri? Mengapa ana tak mampu menyentuh hati ahli-ahli Umana’? Mengapa ana tak mampu menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaik mungkin? Mengapa ana masih lagi bergelumang dengan jahiliah? Mengapa wajah ana tak mampu menyinarkan cahaya kepada adik-adik seperti mana wajah abang Ikhwan dan abang Abu Bakr dan Abang Ammar dan Abang Syahidan memancarkan cahaya ke dalam hati ana sewaktu ana junior dahulu?

Ana sentiasa berpegang dengan kata-kata Ustaz Adni, “Seorang dai itu, apabila mad’u-nya membuat kesalahan, dia tidak akan meletakkan kesalahan itu atas mad’u-nya, tetapi atas dirinya sendiri.” Di SMIK sekarang pelajar-pelajar boleh dikatakan makin merosot akhlak mereka. Tetapi ana tidak boleh menyalahkan mereka. Boleh saja jika mereka dipersoalkan di akhirat kelak, mereka menjawab, “Abang-abang Umana’ tak menegur kami.” Maka boleh saja apabila barisan Umana’ pula dipersoalkan, mereka menjawab, “Ketua kami tidak menggerakkan kami.” Maka seterusnya ana dipersoalkan. Ana nak jawab apa?

Wallahua’lam. Aqulu qauli haza wa astaghfirullah al-Azim li walakum.