06 Mei 2010

Perhambaan Bukan Pilihan

Kita telah mengetahui bahawa setiap jin dan manusia wajib beribadat kepada Allah Taala berdasarkan Surah al-Zariyat ayat 56. Namun, syarat untuk ibadat diterima ada dua, iaitu ikhlas semata-mata kerana Allah dan mematuhi syarak. Sekarang marilah sama-sama kita bermuhasabah sebentar sekitar syarat pertama penerimaan ibadat: apakah tujuan sebenar ibadat kita kepada Allah.

Sekitar Prinsip Kelima

Usul ‘Isyrin karangan al-Syahid Imam Hasan al-Banna membahaskan dua puluh prinsip kefahaman, yang diambil daripada manhaj Rasulullah SAW, yang harus diyakini oleh seorang Muslim bagi membolehkannya benar-benar memahami Islam, insya-Allah. Dalam prinsip yang kelima beliau menegaskan:

… Prinsip asal ibadat ialah ta’abbud tanpa menghiraukan makna-makna, dan prinsip asal adat ialah melihat kepada rahsia-rahsia, hikmah dan tujuannya.

Asal Ibadat ialah Ta’abbud

Perkataan ta’abbud tiada terjemahan secara langsung dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Secara kasarnya, ta’abbud bermaksud ‘menjadi seorang hamba’. Tindakan kita ialah tindakan layaknya seorang hamba. Apa yang disuruh, dibuat; dan apa yang dilarang, ditinggalkan. Tanpa mempersoalkan kerelevanan arahan atau larangan tersebut. Buat saja. Jadi seorang hamba.

Imam al-Syafi’i RA berkata:

Tidakkah kau lihat; air mani itu bukanlah najis, tetapi (keluarnya) ia menyebabkan ghusl (mandi). Wuduk dan ghusl ialah ta’abbud.

Beginilah kadang-kadang ada orang mempersoalkan, mungkin dengan keyakinan yang kurang terhadap khitab Allah, mengapa apabila seseorang itu terkentut menyebabkan wuduknya batal. Mengapa diwajibkan solat lima waktu sehari semalam. Mengapa 17 rakaat pula sehari. Mengapa pakaian ihram lelaki tidak boleh berjahit. Dan banyak lagi soalan-soalan yang mempersoalkan arahan Allah Subhanahuwataala.

Imam Syafi’i menjawab persoalan ini dengan sangat baik:

Apabila ada orang bertanya: ‘Mengapa tidak boleh berwuduk dengan air musta’mal (air yang telah digunakan oleh orang lain untuk berwuduk) walaupun ia tidak najis?’ maka jawapannya ialah: ‘Kerana manusia mempunyai kewajipan untuk mematuhi hukum Allah berhubung menyucikan diri mereka sendiri walaupun diri mereka tidak bersentuhan dengan najis…’

(al-Syafi’i, al-Umm, ms 29–30)

Oleh itu, kita sebagai Muslim hendaklah menerima ibadat dengan seadanya, sepertimana yang disampaikan kepada kita. Kita tidak memerlukan hikmah-hikmah atau rahsia-rahsia atau makna-makna di sebalik sesuatu ibadat yang tertentu untuk kita mengamalkan ibadat tersebut. Cukuplah hakikat bahawa Allah menyuruh kita melakukan ibadat tersebut maka kita lakukan.

Di sebalik setiap arahan Allah itu kita meyakini ada hikmahnya yang tersembunyi. Penemuan-penemuan saintifik seperti darah mengalir ke dalam salur darah yang berada di otak ketika sujud, pertukaran-pertukaran cas ketika solat berjemaah dan sebagainya hanyalah sebagai rahmat dan dalil kekuasaan Allah SWT. Tidak patut menjadi sebab utama untuk kita beribadat. Ta’abbud ialah mesej utama kita dalam berdakwah kepada manusia, bukannya hikmah di sebalik ibadat-ibadat harian. Tidak kisahlah sekiranya ibadat yang dilakukan secara zahirnya tidak bermanfaat, kita tetap wajib melaksanakannya. Sekiranya ia memudaratkan sekali pun, kita tetap wajib mendirikannya.

Kadangkala dalam percakapan, manusia mendahulukan sains daripada Allah. Walaupun dalam perbualan yang ringkas. Al-Quran selaras dengan sains atau sains selaras dengan al-Quran? Ramai orang yang ‘mempromosikan’ Islam pada waktu ini sibuk mengetengahkan bahawa ‘al-Quran selaras dengan sains’, seolah-olah sains yang menjadi kayu ukur dan fakta-fakta dalam al-Quran menepati sains maka al-Quran ialah kitab yang benar. Sepatutnya ‘sains yang selaras dengan al-Quran’ di mana al-Quran menjadi kayu ukur. Sekiranya terdapat percanggahan antara sains dengan al-Quran, maka al-Quran tetap benar dan sainslah yang salah. Mengapa? Kerana al-Quran datangnya daripada Allah, manakala sains pula berdasarkan pemerhatian manusia yang terhad.

Adalah amat ditakuti akan terbentuk dalam hati kita satu iktikad untuk beribadat kerana hikmah dan manfaat, bukan semata-mata untuk mematuhi titah perintah Allah SWT.Kita takut kalau-kalau kita menjadi umat yang bertuhankan sains dan kepentingan diri. Berwuduk kerana mahu segar. Solat kerana mahu cergas. Puasa kerana mahu sihat. Zakat kerana takut harta disita. Haji untuk mendapat gelaran. Segala hikmah dan manfaat yang datang dengan ibadat-ibadat yang diturunkan Allah ialah bonus dan ganjaran buat kita, bukannya matlamat asal kita beribadat. Asal ibadat ialah ta’abbud, iaitu menghambakan diri, tanpa melihat kepada hikmah dan rahsia.

Asal Adat ialah Hikmah & Rahsia

Manakala bagi perkara-perkara selain ibadat khusus pula, kita digalakkan untuk melaksanakannya berdasarkan kelebihan-kelebihannya, rahsia-rahsianya dan hikmah-hikmahnya. Contohnya berubat dengan perubatan alternatif atau perubatan konvensional, memakan makanan organik atau komersial. Di sini, selagi berada dalam batas syarak, kita diharuskan membuat pilihan, berdasarkan baik buruk sesuatu perkara. Misalnya, jika senaman ar-Ruh al-Jadid terbukti dapat meningkatkan kecergasan kardiovaskular maka, tafaddhal, tiada masalah untuk kita amalkan.

Akhir kata, saya mengajak diri saya dan kalian agar kita sama-sama mentashihkan ibadat kita; lakukannya semata-mata kerana ia arahan Allah, dan yakini bahawa di sebalik setiap arahan Allah itu ada hikmahnya, yang menjadi rahmat bukan asbab untuk kita beribadat. Moga-moga Allah meredai usaha para ulama’ dan usaha kita semua insya-Allah.

Wallahua’lam.

1 ulasan:

  1. berat...kena baca dgn perlahan n berulang utk lebih memahami....penulisan yg berkesan...alhamdulillah.

    BalasPadam