19 Mei 2010

LL4G: Amanat Sebelum ke Gaza

Malam tadi, Akhi Hafizuddin Pirus (Pemuda Kahfi) sempat berada di KLIA untuk melihat sahabat-sahabat konvoi Malaysia Lifeline4Gaza sebelum mereka berangkat ke Turki seterusnya ke Gaza untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza. Akhi Hafizuddin sempat mencatat ucapan-ucapan mereka dan mengongsikannya di blog beliau (pos asal). Berikut merupakan amanat mereka yang sempat tercatat:

Wakil Viva Palestina:

Ana menyeru supaya kita beriktikad dan bersatu demi menjayakan misi ini. Berjaya atau gagal is secondary, yang penting segala usaha yang telah kita curahkan untuk Islam ini mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, insya-Allah.

Wakil Muslim Care:

Inilah medan kita, yakni titik permulaan buat kita. Apa yang kami lakukan ini bukan lagi jihad kecil, tetapi ianya adalah jihad besar. Kami tidak mengharapkan apa-apa dari antum dari Malaysia, kami cuma mengharapkan doa yang ikhlas kerana doa adalah senjata utama umat Islam.

Wakil HALUANita:

Kepada isteri-isteri yang ditinggalkan, ini bukanlah perkara yang harus disedihkan, tetapi ianya harus dibanggakan. Suami-suami yang pergi adalah pejuang-pejuang yang dijanjikan Allah syurga-Nya; jika mati mereka adalah mati syahid. Ianya menjadi suatu titik permulaan bagi kita di dalam medan dakwah.

Wakil Yayasan Amal:

Jika kami tidak pulang buat selama-lamanya, wasiat-wasiat telah pun kami serahkan kepada keluarga-keluarga kami. Jika tiada jalan keluar buat kami di Gaza, kami berlapan akan berjuang berhabis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir. Biarlah kami mati dibumi anbiya’; di jalan Allah SWT. Insya-Allah.

Akhi Noorazman (ketua misi):

Kami yang berada di atas kapal, mengharapkan sungguh-sungguh gabungan ukhuwah yang mantap anatara kita (jemaah-jemaah Islam) yang akan menjadi kekuatan buat kami di sana. Serta kami mengharapkan pertolongan dan reda dari Allah supaya misi ini berjalan dengan jayanya. Bukan hanya misi kemanusiaan yang membawa kami ke Gaza, tetapi juga ini adalah suatu misi untuk membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa dari jajahan Zionis Israel. Kami disini mohon dan megharapkan doa-doa dari antum semua.

Alhamdulillah. Mereka sedang melaksanakan jihad yang besar, mendukung agama Allah, berusaha membebaskan al-Quds. Kita pula, apa sumbangan kita untuk Palestin? Teruskan berdoa untuk sahabat-sahabat Malaysia kita yang sedang ke Gaza, dan sahabat-sahabat kita yang sedang berjihad di Palestin. Sumbanglah setakat yang termampu dalam bentuk kesedaran, doa, dan harta. Moga Allah meredai usaha ini dan usaha kita semua, insya-Allah.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan