05 Disember 2009

Penerbitan: Satu Pengenalan

Assalamualaikum WBT.

Jari-jemari ini nampaknya tak sabar menunggu tamatnya SPM. InsyaAllah, dalam pos kali ini kalian akan saya bawa berkenal-kenalan sedikit sebanyak dengan bidang yang telah mendarah daging dalam diri saya—penerbitan!

Setiap kita mempunyai idea masing-masing, dan kita semua mahu berkongsi. Manusia kini hidup serba moden kerana telah berlaku perkongsian idea daripada ramai orang dari dahulu hingga sekarang. Kemajuan sains dan teknologi yang kita kecapi hari ini tidak mungkin dapat dicapai sekiranya orang zaman dulu tak mahu berkongsi ilmu dengan kita, kan?

Untuk membolehkan berlakunya perkongsian idea, maklumat dalam otak manusia harus dimanifestasikan dalam bentuk fizikal dan disampaikan kepada umum. Inilah dia konsep penerbitan: menjadikan idea manusia dapat dicapai dan diketahui oleh manusia lain.

Penerbitan itu, apa?

Ramai yang beranggapan bahawa penerbitan ialah proses menghasilkan buku, majalah, dan bahan tulisan lain. Ini memang benar, tapi tak tepat. Penghasilan buku ialah sebahagian daripada penerbitan. Entri blog, album gambar, album lagu, filem, CD ceramah, rancangan televisyen, dan sebagainya, turut kita sebut diterbitkan. Maka, apakah sebenarnya penerbitan? Teliti terjemahan definisi penerbitan daripada Wikipedia:

Penerbitan ialah proses penghasilan dan penyebaran karya sastera atau maklumat—satu aktiviti yang membolehkan maklumat dicapai umum.

It’s all about making our ideas available to the public. Selain karya sastera dan bahan maklumat, penerbitan juga digunakan untuk menyebarkan penipuan. Allah benci pada penipu, jadi kita tak nak bincang tentang tu!

Ahli Kelab Penerbitan perlu memahami perkara ini betul-betul. Allah mengurniakan setiap seorang daripada kita kelebihan yang tersendiri. Setiap orang ada cara masing-masing untuk menyampaikan maklumat—tak ada orang yang tak boleh menyampaikan maklumat. Bayi pun boleh menyampaikan maklumat bahawa ia lapar kepada ibu bapanya dengan cara menangis—sekarang tangisan bayi pun diterbitkan sebagai nada dering. Ya tak?

Keutamaan Penerbitan

Bagi saya, aktiviti penerbitan merupakan antara aktiviti yang paling utama yang perlu diutamakan oleh manusia. Kenapa saya tulis begini?

Sebelum saya beri sebabnya, mari kita renungi kembali peranan kita sebagai manusia. Allah Taala telah mengurniakan Islam kepada kita. Islam ialah agama komuniti; ia mengajak kita supaya menundukkan diri kepada Allah dan mengajak orang lain bersama. Ajak orang lain. Sampaikan maklumat bahawa tiada Ilah melainkan Allah. Sampaikan. Terbitkan!

Penerbitan merupakan satu aktiviti yang sangat dekat dengan dakwah—dengan tugas para rasul. Penerbitan berdiri sama tinggi dengan bentuk dakwah secara langsung yang lain seperti penuturan awam (public speaking), pendidikan, dan sebagainya. Penerbitan bukan sahaja mendakwah manusia, malah proses inilah yang memberi bekalan kepada da’i. Tanpa penerbitan, kita tidak akan kenal peribadi sebenar Rasulullah SAW!

Siapa Sesuai Menerbitkan?

Keikhlasan dalam dakwah adalah sangat penting. Oleh itu, mereka yang berasa tidak mampu menyampaikan ilmu melalui penerbitan, jangan. Dakwah itu amat luas.

Penerbitan ini sesuai bagi mereka yang berminat untuk menghasilkan maklumat, menyampaikan maklumat, atau kedua-duanya sekali. Dari segi penghasilan maklumat, kita memerlukan barisan wartawan, kolumnis, novelis, penyanyi, penggubah lirik, penulis skrip, pelakon, jurugambar, jurukamera—kalian tambahlah lagi. Dari segi penyampaian maklumat pula, tempat kosong disediakan untuk editor, pereka grafik, pengatur huruf, penyunting filem, jurutera bunyi, pakar pemasaran, dan sebagainya. Semua menarik!

Oleh itu, saya di sini ingin mengajak kalian supaya mempertimbangkan penerbitan sebagai satu aktiviti. Jika kalian merupakan pelajar SMIK, saya sebenarnya sedang mempromosikan Kelab Penerbitan. Berkecimpung dalam bidang penerbitan memang memuaskan, kerana erti hidup adalah pada memberi dan berkongsi.

Jangan lupa melanggan blog ini melalui RSS jika kalian berminat akan penerbitan, ya! Blog ini, dengan izin Allah, akan saya kemas kini setiap satu atau dua minggu—bergantung kepada keadaan. Namun, blog ini bertumpu pada penerbitan bertulis seperti buletin dan blog. Untuk penerbitan bentuk lain, saya boleh membantu dengan memberikan link. Jadi, kepada penggiat dakwah melalui penulisan, jangan lupa menanda blog ana ini!

Wallahua’lam

3 ulasan:

  1. Salam..

    Satu kajian dan huraian yg baik..teruskan menulis dan berdakwah melalui penerbitan...

    BalasPadam
  2. Tahniah!
    Satu penulisan yang cukup kemas dan menyegarkan~

    BalasPadam
  3. Jazakumullah atas komen-komen yang memberangsangkan!

    BalasPadam