09 Januari 2009

Bagaimana Saya Menulis

Dalam pos ini, insya-Allah, saya ingin berkongsi tentang metodologi yang saya gunakan untuk menghasilkan penulisan-penulisan saya. Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk dirujuk dalam hal-hal penulisan. Kekuatan saya dalam penulisan bahasa Melayu hanyalah pada tatabahasa dan dalam penulisan bahasa Inggeris pula pada leksikon. Saya menghadapi kesukaran membina ayat-ayat yang membawa nilai sastera yang tinggi serta memperlihatkan penggunaan bahasa yang indah. Saya cuma sedikit berupaya menulis ayat yang gramatis untuk peperiksaan, terutamanya bagi karangan berbentuk fakta. Untuk karangan berbentuk cereka rujuklah penulis-penulis yang lebih pakar. Dalam pos ini saya hanya ingin berkongsi. Sharing is caring.

Perkara-perkara yang membantu dalam menghasilkan penulisan bermutu:

Pelan/Perancangan

Ini merupakan fasa yang terpenting tetapi sering diabaikan oleh mereka yang hendak menulis karangan. Pepatah Inggeris ada menyebut, if you fail to plan, you plan to fail. Sebelum memulakan satu penulisan, pastikan kita merancang dan membayangkan bagaimana rupa akhir karangan kita nanti. Susun idea satu demi satu. Buat pelan, jika mampu, dalam bentuk peta minda ataupun sekurang-kurangnya senaraikan kata kunci mengikut kronologi penulisan. Mungkin ada yang akan bertanya adakah saya membuat peta minda bagi setiap pos saya. Jawabnya, ya. Lazimnya bagi penulisan blog, saya membuat dan mengembangkan peta minda dalam, er, minda. Namun ketika menjawab soalan peperiksaan, peta minda harus dilakarkan pada kertas soalan supaya idea tidak hilang semasa proses menulis.

Pembacaan

Membaca jambatan ilmu. Betapa benar slogan tersebut. Melalui pembacaan, kita dapat menimba ilmu yang banyak untuk dijadikan modal penulisan kita. Banyakkan membaca bahan bacaan berbentuk fakta terutamanya surat khabar dan buku sekolah. Ya, buku-buku sekolah banyak membantu saya dalam menulis karangan. Fakta daripada buku Geografi, Fizik dan lain-lain boleh digunakan sekiranya sesuai, apatah lagi buku fikrah sekiranya kita hendak menulis artikel tentang Islam.

Selain itu, banyakkan juga membaca bahan bacaan berbentuk sastera seperti novel, buku antologi puisi, dan sebagainya. Cuba tiru struktur ayat yang digunakan dalam novel dalam penulisan kita. Saya kerap juga mengamalkan teknik ni. Perkataan-perkataan yang biasanya digunakan dalam novel-novel kontemporari seperti ‘sukma’ dan ‘terkesima’ boleh kita praktikkan dalam penulisan kita. Ketika menulis artikel untuk Fikruttaqwa dan sebagainya, saya juga menggunakan gaya bahasa yang digunakan dalam terjemahan al-Quran seperti penggunaan kata ‘sesungguhnya’, ‘wahai’ dan sebagainya. Pembacaan membantu kita memilih laras yang paling tepat untuk genre penulisan kita.

Penulisan

Satu hipotesis: makin banyak kita menulis, makin cekap kita menulis. Practice makes perfect. Penulisan yang didahului kajian serta rujukan membantu menambahkan modal buah fikiran. Saya amat bersyukur ke hadrat Allah kerana apa yang pernah saya tulis untuk Fikruttaqwa 2008 keluar sebagai tajuk karangan dalam peperiksaan pertengahan tahun. Untuk Fikruttaqwa Mei 2008, saya ada menulis artikel tentang memilih uslub ulangkaji. Karangan yang saya jawab bagi kertas Bahasa Melayu ialah surat kiriman tak rasmi di mana seorang rakan menghantar surat kepada kita menerangkan masalahnya dalam mengulangkaji pelajaran untuk spm. Untuk Fikruttaqwa Mac 2008, saya menulis artikel bagi tema utama keluaran itu yang bertajuk Bahasa Arab Bahasa Kita. Alhamdulillah, tajuk yang saya jawab bagi karangan Bahasa Arab Tinggi ialah Bahasa Arab dan Kepentingannya (terjemahan kasar). Sudut Kesihatan Fikruttaqwa Mei 2008 menceritakan bahaya makanan ringan. Karangan yang saya tulis bagi kertas Bahasa Inggeris ialah perbincangan tentang adakah pengiklanan makanan ringan patut dihentikan.

Minat

Minat merupakan satu perkara yang subjektif. Minat menulis dan mahir menulis merupakan dua perkara yang berbeza. Ada individu yang minat menulis tetapi tidak mahir. Ada individu yang mahir menulis tetapi tidak minat. Biasanya, mereka yang tidak minat menulis ini skil mereka hanya akan terhenti di situ kerana dia tiada keinginan untuk memajukan penulisannya. Sebaliknya bagi mereka yang minat, penulisan mereka boleh dilihat ada perubahan dari semasa ke semasa kerana mereka sentiasa berusaha memperbaiki kehalusan penulisan mereka.

Untuk mewujudkan minat menulis, sebagai cadangan daripada saya, kita perlu banyak membaca. Baca hasil tulisan orang yang kita hormati. Baca hasil tulisan mereka yang indah bahasanya. Baca bahan bacaan yang penggunaan bahasanya kita rasa sesuai dengan jiwa kita. Dengan ini, akan timbul perasaan untuk menghasilkan penulisan yang indah seperti yang dibaca, insya-Allah.

Tatabahasa

Aspek tatabahasa dan struktur ayat perlu dikuasai jika kita ingin menjadi penulis yang baik. Tatabahasa yang terkini daripada Dewan Bahasa dan Pustaka harus diketahui bagi urusan peperiksaan dan surat-menyurat rasmi. Bagi penulisan sastera, penulis diberi kelonggaran melanggar sebahagian tatabahasa untuk tujuan artistik yang dikenali sebagai lesen sastera ataupun poetic licence. Penulisan yang mengikut tatabahasa yang betul lebih berpeluang diterima editor berbanding penulisan yang mengandungi banyak kesalahan bahasa dalam penulisan professional.

Rujukan

Kamus dan tesaurus merupakan dua rujukan yang perlu bagi penulis yang serius. Kamus bahasa Melayu yang paling berautoriti di Malaysia sudah tentulah Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (dbp). Tesaurus penting bagi mencari perkataan sekonsep yang lebih tepat. Sekonsep tidak semestinya seerti. Contohnya, bagi entri balasan dalam tesaurus, anda akan mendapati perkataan ganjaran, akibat, dosa, pahala, habuan dan sebagainya tersenarai. Tesaurus yang saya gunakan ialah Tesaurus Bahasa Melayu oleh Prof. Abdullah Hassan yang dikeluarkan oleh pts Publications. Untuk penulisan bahasa Inggeris, Kamus Bahasa Inggeris Oxford-Fajar dan Oxford Thesaurus sesuai digunakan bagi pelajar.

Di samping itu, rujukan tatabahasa juga perlu ada. Yang paling berautoriti bagi bahasa Melayu ialah Tatabahasa Melayu Dewan keluaran dbp. Buku tersebut agak tebal dan banyak lagi penerbit yang menerbitkan buku-buku tatabahasa yang lebih nipis dan padat. Bagi mereka yang ingin menjadi editor penulisan bahasa Melayu, khatamkan kitab Tatabahasa Dewan edisi terbaru 2008. Edisi 1994 juga masih boleh dirujuk kerana tidak banyak perbezaan.

Begitulah sedikit sebanyak perkara-perkara yang membantu saya dalam penulisan. Moga-moga artikel ini boleh menjadi rujukan berguna bagi mereka yang ingin menceburi bidang penulisan, terutamanya bagi ahli-ahli Kelab Penerbitan smik. Saya bercadang untuk berkongsi bagaimana modus operandi sidang redaksi Fikruttaqwa semasa menghasilkan satu keluaran, jika Allah mengizinkan. Jika anda mempunyai tambahan untuk dikongsi bersama, dipersilakan mencatatnya di ruangan komen pos ini.

Wallahua’lam.

3 ulasan:

  1. Salam ziarah.

    best2..terima kasih atas perkongsian ini, ya..=)

    BalasPadam
  2. Info yang menarik untuk di kongsikan bersama...

    Tanpa pengetahuan yang yang mendalam ilmu penulisan akan menyebabkan ianya kurang bermutu untuk hayati...

    Teruskan usaha anda...

    BalasPadam
  3. tolong bagi satu slogan kata kerana kita baca surat akhbar (dlm 5 perkataan)

    BalasPadam