Nota-nota tarbiah sepanjang aku mengikuti mukhayyam ‘Pesaka’ tahunan SMIK pada 9-11 November lalu di Sungai Dara, Tanjung Malim, Perak.
Satu
Kondisi pelajar SMIK sekarang sedikit sebanyak merupakan imej kepada tarbiah Umana’ di bawah pimpinan aku sebagai Ketua Umum tahun lepas.
Aku tersilap; aku menerima nasihat senior bulat-bulat tanpa sebarang penghalusan. Umana’ 2009 mengambil pendekatan ‘senior berautoriti’. Apabila melihat junior-junior Tingkatan Empat memimpin adik-adik di mukhayyam ini, baru aku faham: pendekatan yang sepatutnya kami gunakan ialah penerapan ukhuwah merentas tingkatan—tidak, merentas generasi dan status sosial.
Nasihat senior supaya kami mengambil pendekatan ‘senior berautoriti’ sepatutnya disyurakan kembali: 2005 dan 2009 bukan tahun yang sama. Pendekatan yang tampak berjaya pada suatu masa dahulu mungkin tidak sesuai dengan realiti hari ini.
Namun, mukhayyam kali ini hanya memberi aku peluang mengenal pasti dan menyesali silapnya langkah dahulu, bukan medan untuk menebusnya kembali.
Dua
Perwatakan diri perlu diperbaiki. Terlalu garang. Aku sayang budak-budak tetapi mereka tidak sayang aku. Tidak, bukan penampilan. Bukan jambang. Is it?
Tiga
“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah.” Alhamdulillah, dapat sedikit pengisian tarbiah jasadiyyah semasa perjalanan datang, trekking, dan perjalanan pulang. Perlu konsisten dengan bentuk tarbiah ini: bersediakah aku berjalan berbatu-batu sambil memikul AK-47 jika ditakdirkan mempertahankan Islam secara silahi (bersenjata)?
Empat
Penyampaian Siddiq Osman tentang ukhuwah banyak mengetuk hati aku. Ukhuwah aku masih lemah. Apabila sahabat memesan makanan daripada kita, masalah ‘makanan apa’ sepatutnya sudah selesai. Jika makanan kegemaran sahabat pun kita tidak tahu, bagaimana pula kita akan mengagak gerak fikirnya di tengah medan jihad? Selagi masalah ukhuwah belum selesai, kemenangan yang dicita itu menjadi sukar dan lambat.
Quote yang menarik daripada seorang penulis: “Apabila wujudnya kasih sayang, keadilan tidak berguna sedikit pun.”
Lima
Pengisian ukhuwah yang aku dapat bukan berbentuk penyampaian sahaja; yang lebih berkesan ialah pengisian dalam bentuk amali. Beramal jama’i bersama ustaz-ustaz, sahabat-sahabat dan kouhai Tingkatan Empat; sesungguhnya bertemu sahabat-sahabat yang soleh itu menghidupkan hati. Berbincang bersama asatizah yang alim dapat menjana ilmu dan melajukan amal.
Jiwa tenang melihat hubungan yang baik antara asatizah veteran dengan asatizah muda, ILIK dengan asatizah, fasilitator dan peserta, juga antara asatizah dengan pelajar: Tingkatan Empat boleh bergurau dengan Cikgu Latif—terbaik!
Enam
Malam di bandar: aku terpenjara di sebalik dinding-dinding konkrit. Sepi. Malam di hutan: ketika fasilitator dan urusetia yang sedang berhirasah dan berkatibah bangun beribadah, mereka ditemani oleh suara-suara alam yang lebih istiqamah dalam bertasbih mensucikan Pencipta mereka. Malu aku dengan alam; mereka tidak pernah lalai daripada mengingati Allah!
Tujuh
Ustaz Adni menyentuh tajuk Al-Quran. Aku rasa bersalah; tak tahu di mana aku letakkan al-Quran dalam senarai prioriti aku. Ta’amul (interaksi) aku dengan al-Quran jauh berbeza daripada cara para sahabat berta’amul dengannya. Mereka hidup dengan al-Quran. Sebagai da’i, al-Quran dan solat merupakan dua perkara yang sangat perlu kita ambil berat dalam kehidupan seharian. Al-Quranlah sumber kekuatan jiwa untuk kita terus kuat di atas jalan ini. Al-Quranlah bukti komitmen dan keyakinan kita dalam memikul amanah Allah ini.
Lapan
Apa yang aku dapat daripada penyampaian serta diskusi bersama Ustaz Azizan: cintailah ilmu diniah. Apa gunanya kita mengaji dalam bidang profesional sekiranya kita tiada ilmu diniah. Jika begitu, apa beza antara kita dengan mereka yang tiada kesedaran agama? Apa gunanya mengaji di sekolah agama? Entahlah; dengan subjek TUH di USIM pun ada yang merungut, walhal masih ada kaitan dengan sains. Kalau dibuatnya mengaji Fiqh Manhaji dengan empat jam kredit… berapa ramai agaknya pelajar Tamhidi yang sanggup tinggal? Ingat kalau tidak perlu belajar diniah hidup jadi lagi mudah kut. Hidup di dunialah.
Sembilan
Apa yang aku dapat daripada penyampaian Siddiq Osman dan Rajawali Biru: pelajari sejarah Islam. Kita selalu mendengar perihal kegemilangan kerajaan-kerajaan Islam Umawiyyah, Abasiyyah, Uthmaniyyah… maka kita perlu hayatinya. Kita perlu merasai bahawa jika kita berjaya, kejayaan kita diletakkan pada permukaan yang sama dengan mereka: kejayaan-kejayaan umat Islam dari zaman Rasulullah hingga sekarang. Kejayaan kita bukan kejayaan Melayu, tetapi kejayaan ISLAM. Jika kita merupakan seorang doktor, maka jadilah doktor Muslim, bukan doktor Melayu.
Sepuluh
Kami senior ILIK, ustaz-ustaz dan urusetia cuma memantau perjalanan mukhayyam. Perjalanan program hampir keseluruhannya diuruskan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Empat. Mereka yang sedikit pengalaman berprogram mampu menguruskan lebih kurang 300 orang pelajar. Rahsianya?
“Sekiranya kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu.”
***************
Lebih daripada peserta dan fasilitator, aku rasa akulah yang paling banyak mendapat tarbiah dan tazkirah dalam mukhayyam ini. Mungkin setelah melalui fasa-fasa ‘kegersangan hati’ Allah memberikan peluang untuk membasahinya kembali. Segala Puji bagi Allah yang masih mengizinkan aku untuk terus mencari, memberi dan menerima.
Alhamdulillah.
tarbiyah itu takkan pernah berhenti tetapi penyerahan hati kita yang selalu membuat persinggahan.
BalasPadam