10 Julai 2010

Dagang di Negeri Sendiri

Selama ini sekadar mendengar, hanya sebagai aset tazkirah. Rasa macam faham, rupa-rupanya tak faham pun. Betullah apa yang selalu diperingatkan; medan teori tidak sama dengan medan amal. Baru aku tahu peritnya menjaga Islam dalam keadaan dagang.

Dagang Kali Kedua

قال الرسول صلى الله عليه وسلم : بدأ الاسلام غريبا و سيعود كما بدأ غريبا فطوبى للغرباء

Sabda Rasulullah SAW: “Islam telah bermula dengan dagang (asing, pelik) dan ia akan kembali dagang sebagaimana ia bermula, maka berbahagialah orang yang dagang (yang bersama Islam pada waktu ianya dagang).” — HR Muslim

Kita sekarang hidup dalam satu zaman yang digelar sebagai zaman ‘Ghurbah Thaniah’, iaitu dagang kali kedua.

Rasulullah SAW menyebarkan Islam kepada masyarakatnya dalam keadaan Islam itu asing. Masyarakat majoritinya menentang Islam. Orang-orang yang mengamalkan Islam dihina, diseksa & diperlekehkan. Namun, berkat perjuangan Rasulullah dan para sahabat r.a., dengan izin Allah SWT, Islam akhirnya mentadbir dunia dan diiktiraf sebagai mahaguru kepada alam.

Kemudian, akibat umat Islam sendiri tidak intima’ atau berpegang dengan sebenarnya kepada Dinullah yang suci ini, sejarah menyaksikan keruntuhan satu demi satu Khilafah Islamiah, sehinggalah keruntuhan Khilafah Islamiah Uthmaniah Turki secara rasminya pada tahun 1924. Dan secara rasminya juga, sistem-sistem taghut & jahiliah kembali bermaharajalela di atas muka bumi ini. Islam kembali dagang.

Kini, keadaan orang yang benar-benar beriltizam dengan ajaran Islam sama saja seperti zaman awal penurunan Islam. Mereka dihina dan diperlekehkan oleh masyarakat jahiliah. Mereka dipenjarakan, diseksa, dan dibunuh oleh penguasa jahiliah. Sistem syura, tudung labuh dan cinta hanya selepas kahwin dipandang kuno dan pelik. Islam kembali dagang.

Orang-orang yang pada mulanya berpegang dengan Islam, akhirnya, satu demi satu hanyut dibuai arus jahiliah. Gerakan-gerakan menyebarluaskan fahaman sekular dan liberal berkerja keras mendoktrinkan orang-orang Islam supaya tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam telah menjadi lemah, sepertimana disifatkan oleh Rasulullah SAW:

“Akan datang satu zaman bila mana umat-umat yang akan berkerumunan (untuk merebutkan) kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-wahn di dalam hati-hati kamu.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-wahn?” Baginda menjawab : “Cinta dunia dan takut mati.” — HR Abu Dawud

Kita bermohon kepada Allah supaya Dia memelihara keimanan kita dan menetapkan kita dalam agama-Nya.

Pengasingan Jiwa

Melihat suasana pseudo-Islamik yang menguasai kampus, aku menyelak-nyelak catatan-catatan Islam yang aku kumpulkan sewaktu di bangku sekolah dahulu, dengan harapan dapat bertemu sebuah jawapan. Alhamdulillah, Allah mempertemukan aku dengan catatan ringkas yang, pada aku, mampu menjadi panduan dalam menghadapi suasana ini: uzlah syu’uriyyah.

Uzlah syu’uriah atau pengasingan perasaan ialah mengasingkan (menguzlahkan) jiwa dan perasaan daripada bersekongkol dengan pemikiran dan budaya jahiliah. Kita memelihara jiwa dan perasaan daripada dinodai oleh kotoran-kotoran jahiliah, memisahkan jiwa daripada mereka dengan merasai ketinggian iman dan Islam yang sebenarnya. Namun, pengasingan jiwa tidaklah bermaksud pengasingan jasad secara fizikal, kerana sekiranya berlaku pengasingan fizikal nescaya dakwah tidak akan berjalan.

Mengenai perkara ini, al-Syahid Sayyid Qutb pernah berkata:

… mara terus dalam menghancurkan jahiliah yang bermaharajalela di seluruh pelusuk bumi, mara terus dalam usaha mengasingkan jiwa di suatu sudut di samping mengadakan hubungan jasadiah dengan jahiliah di sudut yang lain.

Kita tidak mengasingkan diri kita daripada masyarakat yang rata-ratanya kini telah rosak, tetapi kita mengasingkan pemikiran dan perasaan kita daripada berpemikiran seperti mereka, pemahaman kita daripada berpemahaman seperti mereka, dan pendirian kita daripada berpendirian seperti mereka. Sabda Rasulullah SAW:

Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian dengan berkata: ‘Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan aku pun turut melakukan kejahatan.’ Tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka berbuat jahat maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka.

Membezakan Diri

Orang yang benar-benar mengasingkan jiwanya daripada jahiliah akan membezakan dirinya daripada jahiliah yang dibencinya itu. Apakah mungkin individu yang memiliki jiwa yang membenci jahiliah akan menampilkan diri dengan penampilan jahiliah, bertutur dengan pertuturan jahiliah, dan berakhlak dengan akhlak jahiliah? Di sini jelas terbukti bahawa orang Islam tidak akan boleh sama dengan jahiliah. Di situ wujudnya pembezaan.

Firman Allah SWT:

Katakanlah: Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukanlah penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah dinmu dan untukkulah Dinku. — Surah al-Kafirun: 1-6

Terdapat jurang yang besar antara cara hidup Muslim dengan cara hidup Kafir. Wujudnya keperluan ke atas kita untuk bertamayyuz, yakni membezakan diri daripada jahiliah. Dan ke atas kita juga tugas membawa manusia mengenali apakah cara hidup kita yang sebenarnya, dan menyedarkan mereka daripada dipukau oleh cara hidup jahiliah.

Moga-moga Allah memberikan taufiq-Nya kepada kita, agar jiwa kita sentiasa teguh dengan Islam dalam zaman dagang yang amat getir ini ketika kita terjun ke dalam masyarakat untuk membawa manusia kembali kepada hakikat perhambaan yang termaktub dalam Surah al-Zariyat ayat 56:

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka memperhambakan diri kepada-Ku.

Sebelum ini, aku hanya mengetahui secara ilmiah apa yang aku tulis di atas. Bolehlah, sebagai Ketua Umum Pelajar, berceloteh di atas pentas di SMIK. Namun sekarang, segala-galanya yang aku dapat di sekolah dahulu diterjemahkan menjadi realiti. Kini baru aku faham, tarbiah itu bukan untuk dihafal, tetapi untuk dihadamkan dan seterusnya diamalkan. Aku sangat berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guruku yang telah memberikan aku bekalan ini. Dan aku bersyukur pada-Mu ya Allah, kerana menunjuki aku jalan ini, tetapkanlah kami di atasnya. Amin.

Wallahua’lam.

1 ulasan:

  1. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    BalasPadam