09 Februari 2010

Kesukarela... ah, apa-apa ajalah!

Alhamdulillah, selesai sudah Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (jatidiri) 2009/2010 yang bertempat di Kolej Teknologi Darulnaim dan Sri Pantai Resort, Kelantan. Kursus ini memang yang terbaik yang pernah saya hadiri. Berbagai-bagai perasaan menerjah dalam jiwa sepanjang 47 hari perjalanan program ini. Sebelum Markazul Fikr dibanjiri oleh luahan rasa hati dan puisi-puisi tentang kem penuh makna ini, izinkan saya menulis sebuah pos ringan—meluahkan sesuatu yang tak dapat saya pendam lama-lama dalam sanubari: nama program ini.

Maafkan saya; bekerja sebagai editor di sekolah selama tiga tahun menyebabkan agak sukar untuk saya meninggalkan tabiat menyenaraikan kesalahan bahasa dalam tulisan.

1. Kursus atau Kem?

Sekejap dipanggil kursus, sekejap dipanggil kem. Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam diri ramai peserta. Program ini kursus atau kem? Secara rasminya saya tidak tahu, kerana kalimah kursus/kem turut bertukar ganti dalam beberapa dokumen rasmi. Saya cuma boleh memberi pandangan berdasarkan hemat pemerhatian saya, berdasarkan kekerapan kalimah kursus/kem digunakan. Pada pendapat saya, nama rasmi bagi program ini ialah Kursus Jatidiri. Namun, selepas program dipindahkan ke Sri Pantai Resort, secara tidak rasminya ia turut dinamakan Kem Jatidiri. Diingatkan—ini pandangan saya, berdasarkan banyaknya ceramah di ktd dan banyaknya aktiviti luar di Sri Pantai.

2. Jati Diri atau Jatidiri?

Menurut Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan terbitan DBP, kalimah jati diri bukanlah kata majmuk yang mantap, maka ia perlu dieja dengan dijarakkan. Penggunaan yang betul ialah jati diri, bukannya jatidiri. Dalam banner dan kad nama peserta, kalimah ini dieja betul dengan dijarakkan. Namun, pada baju rasmi program ia dieja salah dengan dirapatkan.

Singkatan jatidiri pula tak mengapa dirapatkan, kerana ia merupakan akronim, bukan perkataan bahasa Melayu. Sama seperti MATRI dan PESAKA. Menurut New Hart’s Rules dan Elements of Typographic Style, akronim boleh dieja u&lc (uppercase & lowercase seperti kata nama khas) begini: Jatidiri. Begitu juga Matri dan Pesaka. Saya lebih menggemari u&lc berbanding small caps yang panjang seperti jatidiri.

3. Kesukarela—an/wan/wanan?

Kursus kesukarelaan melatih individu memiliki sikap sukarela. Suka dan rela membuat apa saja. Sukarela menolong orang. Sukarela membunuh orang.

Kursus kesukarelawan ialah kursus menggagalkan pelajar dalam bahasa Melayu, kerana imbuhan ke-…-wan tidak wujud dalam bahasa Melayu.

Kursus kesukarelawanan melatih individu menjadi sukarelawan. Sukarelawan ialah individu yang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, membantu masyarakat tanpa menerima apa-apa bayaran.

Contoh lain: kepimpinan ialah sifat boleh memimpin, kepemimpinan ialah sifat seorang pemimpin. Begitu juga sifat seorang usahawan ialah keusahawanan, bukan keusahaan, apatah lagi keusahawan.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, saya rasa istilah yang paling sesuai untuk kem ini ialah kesukarelawanan. Namun, sekali lagi, pada baju rasmi JATIDIRI tertera kalimah kesukarelawan.

4. Remaja

Sebenarnya tiada apa pun yang salah pada perkataan ini. Cuma ramai yang lebih selesa digelar pemuda/pemudi berbanding remaja. Terutamanya peserta lelaki. Pemuda/pemudi nampak lebih cenderung ke arah kedewasaan; manakala, perkataan remaja pula lebih tampak keanak-anakan. Bergantung kepada tahap mentaliti individu, seorang pelajar lepasan SPM boleh dipanggil remaja atau pemuda/pemudi. Saya rasa Saidina Ali (RA) layak digelar pemuda semasa umur beliau baru lapan tahun.Namun, dalam konteks nama kem ini, perkataan remaja lebih enak didengar.

5. ’09/’10

Bahagian ini bukannya penting sangat, cuma sebagai maklumat tambahan kepada mereka yang memang sangat terperinci (aka cerewet) dalam penerbitan. Untuk singkatan tahun, apostrophe harus digunakan, bukannya pembuka kata. ‘09/‘10 adalah salah. Yang betulnya ’09/’10. (Perhatikan arah pembuka/penutup kata.) Rasionalnya ialah, jika kita ingin menggugurkan aksara, tanda apostrophe mesti digunakan. Dalam kes ini, yang digugurkan ialah 20-. Tak penting pun. Namun, jika penerbit seperti Oxford Publications dan Penerbit Universiti Malaya berbuat salah dalam hal ini, 'thiqah' mereka akan turun.

Nama program ini turut berubah mengikut setiap penceramah. Ada penceramah memanggil Kursus JATIRELA, ada yang memanggilnya Kem Jati Insan. Dalam Modul Rekreasi, program ini dipanggil Kursus JATIDIRI RELAWAN Haluan. Macam-macam. Ha ha.

Saya saja menulis pos ini sebagai mukadimah kepada pos-pos JATIDIRI saya yang lain. Bukanlah tujuan saya untuk mengkritik, cuma penambahbaikan. Bak kata IHAB, pandangan manusia boleh diterima dan boleh ditolak melainkan kata-kata Nabi SAW. Blog ini blog bahasa, maka saya rasa sesuai saya menulis pos ini di sini. Penggunaan bahasa Melayu tinggi yang betul akan meningkatkan profesionalisme, bertepatan dengan moto KTD, berketerampilan, profesional, beretika. Saya pun masih belum dalam mood menulis pos luahan yang berat-berat (bagi saya, ilmiah lebih ringan daripada luahan).

Apa-apa hal pun, Program JATIDIRI merupakan program yang paling bagus yang pernah saya sertai. Moga-moga Allah memperkenankan hajat saya untuk menjadi fasilitator bagi Kursus JATIDIRI ’10/’11. Anggaplah pos ini sebagai luahan seorang editor yang cerewet. :)

Wallahua’lam.

5 ulasan:

  1. Now you are really resemble prefectionalism.
    Sekarang, kamu sangat menampakkan prefectionalisme

    BalasPadam
  2. I spot the pun. :)
    Nah, just to get my writing flow start kicking.
    Semasa di kem, topik inilah yang selalu dibincangkan dengan peminat-peminat bahasa dalam sembang santai ana bersama sahabat-sahabat. Not to be a perfectionist nor a prefectionist; but consistency is profesionalisme, and profesionalisme is one of the ways to attain thiqah. Blog ini lebih berfokus pada aspek persembahan bahan, bukan fikrah sesuatu bahan. Sahabat2 ramai yang lebih qawiy dan hebat fikrah daripada ana, ana pula Allah kurniakan sedikit ilmu tentang persembahan bahan, maka ana kongsikan. Jika fikrah dakwah itu sahaja yang penting, tak perlulah kita kepada fiqih dakwah. Kedua-duanya perlu wujud seiring dalam menyampaikan fikrah kepada ummah. Cuba kita bayangkan sebuah buku yang penuh dengan kesilapan ejaan - bukankah sakit hati kita membacanya? Ana tahu nama kem bukanlah buku, tapi ilmu tentang bahasa yang sedikit ana kongsikan harap2 dapat dimanfaatkan oleh blogger yang ingin berbahasa Melayu baku, sebagaimana Rasulullah berbahasa Arab Fusha.
    Wallahua'lam.

    BalasPadam
  3. La.... ni blog bahasa ker?...ingt tadi nak baca tentang Kursus / Kem Jatidiri. Nak tau apa pandangan peserta tentang kursus/kem ini..

    BalasPadam
  4. SAYA BERMADAH...

    bahasa itu indah...
    bahasa adalah anugerah..
    terjalin ukhwah...
    memapah resah...
    membina daulah..
    2 golongan antara hijrah....

    soalan: pendapat enta la apakah bahasa islam..?

    BalasPadam
  5. @Abang Fasi:
    Ana dalam proses menulis ttg pandangan ana terhadap JATIDIRI, dalam bahasa Inggeris di blog ana satu lagi, insya-Allah.

    @Tanpa Nama:
    Pada pendapat ana, bahasa Islam ialah bahasa Arab. Rasulullah SAW bertutur dlm bahasa Arab, Imam Syafi'i mewajibkan pembelajaran bahasa Arab, dan Imam Hasan al-Banna berwasiat supaya kita menguasai bahasa Arab Fusha. Namun, bagi ana juga, semua bahasa yang baik ialah bahasa Islam. Rasulullah orang Arab bertutur dalam bahasa Arab yang baik, kita orang Melayu pula bertutur dalam bahasa Melayu yang baik. Kita ambil sunnah secara ma'nawi di samping sunnah secara zahiri. Penggunaan bahasa yang baik meninggikan thiqah seseorang dalam pandangan masyarakat dan menjadikan peribadi seseorang lebih teratur, menurut Ibn Taimiyah.
    Wallahua'lam.

    BalasPadam