19 April 2010

Tarbiah, Tarbiyah, atau Tarbiyyah?

Banyak ‘khilaf’ timbul apabila bahasa Arab ditransliterasikan kepada bahasa Melayu. Perbezaan-perbezaan dalam ejaan ini timbul akibat ketidaktekalan (konsisten) dalam mengamalkan sumber rujukan yang boleh dipercayai ataupun tidak benar-benar mengetahui ejaan asal kalimah bahasa Arab yang ditrans­literasikan. Insya-Allah jika Allah mengizinkan saya akan menulis satu pos khas tentang panduan transliterasi bahasa Arab yang saya amalkan. Dalam pos ini, mari kita sama-sama bersembang tentang sebuah kalimah core dalam Islam yang, malangnya, sering menjadi mangsa salah eja: tarbiah.

Satu, Dua, atau Tiada ‘Y’?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kamus ekabahasa Melayu yang mempunyai autoriti tertinggi di negara kita, ejaan yang betul ialah tarbiah. (Rujuk sini) Memandangkan Dewan telah menetapkan ejaan yang betul adalah tanpa ‘y’, kita sebagai pengguna bahasa Melayu harus mematuhi resam ini. Adakah saya mengorbankan bahasa Arab demi mematuhi Dewan? Tidak, dan tidak sama sekali.

Masalah Orang Kita

Orang kita amat gemar menjadikan sesuatu perkataan ‘berbunyi Arab’; tak tahulah saya mengapa. Berkat, atau barakah, dieja *baraqah. Begitu juga *qasih, *thoqwa, *fiqr, dan sebagainya. Huruf kaf digantikan dengan huruf qaf, huruf ta dengan huruf tho. Lebih kearaban, gitu. Orang kita tidak melihat bagaimanakah bunyi asal kalimah Arab yang kita gunakan, dan tidak memikirkan perubahan makna yang mungkin berlaku jika salah satu hurufnya diubah.

Tarbiah Memang Tarbiah

Kalimah ‘tarbiah’ berasal daripada kata dasar rabba yang bermaksud telah mendidik. Jika ditasrifkan, ia akan berbunyi: rabba—yurabbi—tarbiatan. Masdar untuk fiil rabba memang tarbiah. Ta berbaris atas. Ra berbaris mati. Ba berbaris bawah. Ya berbaris atas tanpa sabdu. Dan ta marbutah. Huruf ya dalam kalimah ‘tarbiah’ ialah ya yang asal, bukannya ya yang mendatang.

Kebanyakan kita keliru dengan isim nisbah, iaitu satu bentuk kalimah Arab yang menjadikan kalimah tersebut sebagai sifat. Contohnya, IslamIslamiyyah (bersifat keislaman). DunyaDunyawiyyah (bersifat keduniaan/duniawi). Namun, tarbiah memang kalimah asal, dan isim nisbah untuk tarbiah ialah tarbiahtarbawiyyah (bersifat mendidik).

Bukan Pak Turut DBP

Dengan menulis pos ini bukanlah saya mahu menunjukkan bahawa saya ini menurut sahaja apa-apa yang dikeluarkan oleh DBP. Banyak juga yang saya tidak bersetuju dengan DBP. Cuma, bahagian yang patut diikut demi menjaga kelestarian dan keindahan bahasa kita, kita ikut sajalah. Bahagian yang tak masuk akal, contohnya ejaan wallahuaklam (dan Allah jua yang lebih mengetahui), saya tidak bersetuju dan saya tidak mengikutinya. (Allah itu pen? Nauzubillah).

Walaupun demikian, dalam konteks ejaan tarbiah, kalimah asalnya dalam bahasa Arab menuntut kita mengeja tanpa y. Namun, saya secara peribadi masih menerima ejaan *tarbiyah (satu y) kerana ia masih disebut tanpa sabdu. Apabila dieja dengan dua y’, ia akan mengundang pembaca untuk mensabdukan huruf ya tersebut. Ramai orang sudah ditanya, dan kesemuanya menjawab bahawa *tarbiyyah tidak mempunyai maksud. Sesiapa yang mengetahui jika kalimah tersebut betul-betul wujud dan bermakna, dipersilakan meninggalkan komen. Maklum balas amat saya hargai.

Tuntasnya…

Bahasa Arab bahasa kita. Dalamilah ia. Memanglah kertas tidak koyak, mad’u tidak lari, dunia tidak berkecai jika kita mengeja tarbiah, *tarbiyah, atau *tarbiyyah. Cuma, dengan mengetahui huruf ya dalam sesuatu kalimah Islamiah itu bersabdu atau tidak, menunjukkan kita sekurang-kurangnya mengambil berat akan bahasa kita.

Wallahua’lam.

2 ulasan:

  1. Masya Allah, pengupasan yang menarik. Selalu juga saya tidak perasan ada masalah ejaan. Jika kita melihat pada ejaan Arabnya baru la tahu sama ada ejaan ruminya salah atau betul.

    BalasPadam
  2. Huraian terbaik. Saya bukan orang bahasa tetapi berjuang menegakkan bahasa Melayu selain bahasa Inggeris

    BalasPadam