15 April 2010

Hidup Kita Aset Penulisan

Kadang-kadang kita rasa sukar untuk menulis. Tiada idea. Ketandusan bahan. Mulalah kita mencari-cari alasan mengapa kita tidak menulis. Writer’s block, seperti yang biasa dialasankan oleh orang, termasuk saya. Namun, kita lupa bahawa kita memiliki bahan penulisan yang hanya kita seorang ada: sejarah hidup diri kita sendiri.

Sejarah hidup atau pengalaman merupakan aset yang paling berharga bagi seorang penulis. Sejarah kita merupakan kisah yang paling dekat dengan diri kita, dan juga satu-satunya bahan yang kita ketahui dengan lebih mendalam berbanding orang lain.

Keunikan Manusia

Lembaran-lembaran lama dalam sejarah hidup kita merupakan sesuatu yang sangat istimewa kerana kebitaraannya (keunikannya). Tiada dua orang insan yang berkongsi perjalanan hidup yang sama seratus peratus semenjak tangisan pertama sehingga detik nyawa berpisah daripada badan. Mungkin ada yang mengatakan bahawa ada orang lain yang perjalanan hidupnya lebih kurang sama dengannya. Ya, secara kasarnya ramai orang, seperti pekerja pejabat dan lain-lain, yang melalui hari-hari rutin yang membuatkan hari-hari mereka seolah-olah fotokopi sesama mereka.

Namun, untuk menjadi seorang penulis yang baik, kita perlu meneliti secara terperinci; kita akan mendapati sebenarnya terdapat banyak perbezaan yang ketara antara setiap individu.Sebagai contoh, makanan pagi saya mungkin berbeza dengan anda. Mungkin butiran ini tampak tidak penting, tetapi dalam dunia penulisan, detail-lah yang memainkan peranan penting dalam menentukan baik buruk sesebuah karya.

Pengalaman menjadi karya yang berharga sekiranya kita mengolah pengalaman tersebut, bukan sekadar copy & paste saja. Kedalaman penceritaan dan gaya bahasa memainkan peranan penting.

Walaupun penulis meletakkan mesej dan tema sebagai perkara utama sebelum menulis, pembaca menilai gaya bahasa, diksi, dan keenakan jalan cerita mendahului wacana yang hendak disampaikan dalam penulisan. Mungkin hidup anda seorang anak kampung yang telah berusaha bersungguh-sungguh, berkorban masa dan tenaga untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, dan kini merupakan seorang pegawai bergaji besar di ibu negara. Cerita yang sudah klisĂ©, mungkin. Namun, jika kena gayanya, cerita yang tampak membosankan boleh menjadi karya yang menarik. Daripada 25 tahun anda berjuang memajukan diri, cuba ambil satu hari yang anda rasakan menarik dan ceritakan kembali sedalam mungkin. Jangan hanya menulis secara ringkas seperti “pada pagi itu saya mandi kemudian bersiap ke sekolah.” Tulis dengan lebih terperinci:

Aku perlahan-lahan membuka mata. Cahaya mentari berlari-lari menerobos anak mataku yang sejak lapan jam lalu tertutup. Sudah pagi rupanya. Perlahan-lahan aku turun dari katil, mendahulukan kaki aku yang sedikit kebas, bergerak menuju ke bilik air. Bilik air itu masih bilik air yang sama seperti hari-hari yang sebelumnya, cuma entah mengapa pada hari itu bilik air itu kurasakan lain. Pencahayaankah atau suhukah, aku rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Seperti ada sesuatu akan berlaku. Perlahan-lahan aku mencapai berus gigi, membubuh ubat gigi Safi berperisa sugi yang agak pahit di atasnya, lalu mula menggosok gigi. Bau hanyir menusuk hidung, berus gigiku bertukar merah. Gusiku berdarah. Aneh, tak pernah pun berdarah sebelum ni.

Lihat, sesuatu yang mudah seperti bangun pagi dan bersiap telah ditransformasikan menjadi sebuah prosa yang amat detailed. Masalah yang timbul apabila menulis daripada pengalaman sendiri ialah kita cuba menulis setepat yang mungkin. Melainkan jika penulisan yang anda tafsirkan ialah laporan, tiada salahnya kita menokok tambah sedikit sebanyak dalam penulisan yang bersumberkan pengalaman untuk menutup kelopongan-kelopongan fakta dan butiran dalam penulisan. Bahan-bahan untuk menutup kelopongan itu boleh juga diambil daripada kisah lain dalam sejarah hidup kita juga, atau pengalaman orang lain, atau rekaan minda seratus peratus.

Bukan Bulat-bulat

Setiap hari, pasti ada perkara yang berlaku dalam hidup kita. Menarik atau tidak bagi kita, ia bergantung kepada persepsi kita sendiri. Menarik atau tidak bagi pembaca bergantung kepada persepsi pembaca dan, seperti yang telah disebutkan, gaya persembahan. Seorang penulis yang baik mampu membuat cerita yang bosan menjadi menarik. Maka apabila berlaku sesuatu ke atas diri kita sama ada ianya memberi pengajaran, mengubah paradigma, atau membuat kita berfikir, adaptasikan pengalaman tersebut menjadi karya, mungkin pembaca kita juga akan tersentak, beranjak paradigma, atau berfikir tentang apa yang kita tulis. Seelok-eloknya kita mengadaptasi pengalaman menjadi penulisan, bukannya menulis pengalaman bulat-bulat. Pengalaman yang kita ada harus diolah dan disesuaikan lalu diselitkan pengajaran dan buah fikiran, barulah karya yang diinspirasikan daripada pengalaman tadi menjadi sesuatu yang bernilai untuk dibaca.

Memperkaya Hidup

Jika kita telah menyedari bahawa pengalaman sendiri adalah sangat berharga untuk penulisan, kita juga perlu menyedari bahawa sudah sampai masanya untuk kita memperkayakan kehidupan kita, meluaskan pemandangan, dan menghiasi sejarah hidup kita dengan perkara-perkara yang menarik dan memberi iktibar. Caranya? Banyakkan bermusafir, kerana dengan bermusafir pemandangan kita akan meluas, baik secara zahiri mahupun maknawi. Kita dapat banyak mengenal tempat dan banyak mengenal perangai manusia. Selain itu, kita perlu banyak bersahabat dengan ulama’, orang-orang alim, ustaz-ustaz, sahabat-sahabat yang baik—kerana daripada lisan mereka senantiasa terbit perkataan yang baik, dan daripada gerak geri mereka sentiasa terpamer akhlak yang mulia. Bergaullah dengan masyarakat dan perhatikan mereka, kerana di situ kita dapat melihat keragaman perwatakan manusia yang telah diciptakan Allah, moga-moga bermanfaat untuk kita adaptasikan dalam penulisan kita. Allah Taala berfirman:

Al-Quran, Surah al-Hujurat,
49 : 13

Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal…”

Bentuk-bentuk Adaptasi

Penulisan berasaskan pengalaman ini boleh berbentuk fiksyen mahupun bukan fiksyen. Kita boleh memilih fiksyen andaikata kita mahu menyampaikan mesej tetapi tidak mahu mengaitkan perkara yang berlaku dalam penulisan tersebut dengan diri kita sebagai penulis. Penulisan fiksyen yang berasaskan pengalaman sendiri ada banyak, majoriti karya sulung merupakan bingkisan pengalaman sendiri. Contohnya ialah novel VT karya saudara Hilal Asyraf dan sebuah novel Islami baru yang bagus dan bermanfaat pada pandangan saya, Denyut Kasih Medik oleh Dr Farhan Hadi. Kelebihan fiksyen ialah ia lebih bebas untuk ditokok tambah dan diselitkan bahan daripada sumber lain, kerana pembaca sudah tahu bahawa di dalam fiksyen sudah pasti ada cerita rekaan.

Bingkisan pengalaman sendiri yang berbentuk bukan fiksyen juga sangat masyhur. Penulisan begini lebih dekat dengan realiti, kerana ia berlaku kepada diri penulis itu sendiri. Pembaca boleh bersikap empati dan mungkin tercetus dalam hatinya, “Oh, begini rupanya kehidupan orang, berbeza daripada kehidupan aku.” Penulisan pengalaman berbentuk bukan fiksyen boleh dibuat dalam bentuk penceritaan menggunakan dialog dan sebagainya, atau lebih berbentuk luahan, kisah di sebalik kisah, sebab musabab sesuatu peristiwa, dan yang sepertinya. Penulisan bingkisan pengalaman sangat popular dan berharga, terutamanya yang memberi banyak pengajaran. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi meletakkan membaca buku “pengalaman hidup orang lain yang memberi ibrah” di tempat kelima senarai prioriti bahan bacaan dalam tulisan beliau Kamu Adalah Apa Yang Kamu Baca yang diterbitkan dalam majalah Solusi #18. Contoh penulisan bentuk ala-ala travelog/jurnalisme begini yang masyhur ada banyak: Growing Up in Terengganu oleh Awang Goneng, As I Was Passing oleh Adibah Amin, Detik-detik Hidupku oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna, Hari-hari dalam Hidupku oleh Zainab al-Ghazali, Amrika Allati Ra’aytu oleh al-Syahid Sayyid Qutb.

Kalimah Akhirah

Apa-apa pun, hendaklah kita meluruskan niat kita untuk menulis semata-mata kerana Allah. Jika karya kita tidak mendekatkan diri pembaca dengan Allah, lebih baik kita tidak menulis. Hiasilah karya kita dengan pengajaran-pengajaran yang memberi petunjuk kepada pembaca akan selok-belok kehidupan. Jika sesuatu, yang baik atau yang buruk, berlaku pada diri kita, adaptasikanlah menjadi penulisan yang memberi ibrah, kerana Allah tidak menjadikan perjalanan hidup setiap manusia berbeza antara satu sama lain dengan sia-sia. Perbezaan kita ada hikmahnya. Perbezaan adalah untuk manusia saling berkongsi pengalaman; ingat memperingati antara satu sama lain akan tinggi rendah hidup di dunia – sehingga kita menjadi satu umat yang lengkap melengkapi, matang fikiran, dan jauh wawasan – hanya untuk menggapai keredaan-Nya di dunia dan di akhirat kelak.

Wallahua’lam.

1 ulasan:

  1. Salute at you young man... something very valuable can be learnt here by the writers to be, and writers alike

    BalasPadam