09 Februari 2009

Haiku #8

Nikmat Ilahi—
Sering insan terlupa—
Sihat dan lapang.

Ahmad Ilman
13 Safar 1430
Sri Mewah

*Ana tak ke sekolah hari ni. Allah nak ampunkan dosa-dosa, insyaAllah.

07 Februari 2009

Haiku #7

Belalang rehat—
Cepat-cepat melompat—
Tangan tak dapat.

Ahmad Ilman
5 Safar 1430
Shah Alam

30 Januari 2009

Haiku #6

Rerama mati—
Di bingkai kayu dinding—
Cantik abadi.

Ahmad Ilman
30 Januari 2009
Klang

Haiku: Ukhuwah

Tangisan itu—
Token perpisahan—
Mengalir hangat.

Satu ukhuwah—
'Kan selamanya akrab—
Kerana Allah!

Ahmad Ilman
3 Safar 1430
Taman Tarbiyah

Didedikasikan buat teman seperjuanganku Abdul Azim yang meneruskan jihadnya di bumi Perlis...
Moga Allah sentiasa bersama anta!

25 Januari 2009

Antara Jannah dan Hadharah

Assalamualaikum WBT.

Pada satu hari, satu atau dua minggu yang lalu, ana terbaca sepotong ayat yang dikuotkan dalam akhbar Utusan Malaysia. Ayat tersebut merupakan ucapan salah seorang ahli tertinggi Parti Kebangsaan Melayu Bersatu berhubung kekalahan calon parti tersebut dalam PRK Kuala Terengganu baru-baru ini. Ayat tersebut berbunyi begini:

Saya amat hairan mengapa rakyat memilih PAS yang menjanjikan syurga tetapi menolak BN yang banyak membuat pembangunan di sana.

Dalam kes yang lain, seorang MP kedengaran mengujarkan kata-kata berikut sebagai pembukaan ucapan beliau:

Alhamdulillah, hari ini kita telah menganut Islam Hadhari... (au kama qaal)

Amatilah hadis Rasulullah SAW yang berikut:

"Sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan ilmu pengetahuan daripada hamba begitu sahaja, tetapi Allah akan menghilangkan ilmu dengan cara mematikan ulama' sehingga tiada lagi seorang alim, orang ramai akan melantik ketua yang jahil, maka apabila ditanya, mereka berfatwa tidak berdasarkan ilmu pengetahuan, maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (HR Bukhari)

Al-'Ilm dalam hadis lebih merupakan ilmu tentang ad-Din dan kefahaman Islam yang sebenarnya.

Fikir-fikirkanlah, wahai kalian yang mendukung perjuangan Islam dan fikrah Islamiah yang suci!

Wallahua'lam.

Aspirasi Gersang

Gemersik geseran pasir
Dia lihat keluarganya
Oh, seronoknya mereka!
Boleh kusertai?

Masa bak terhenti
Musuh kecil bertenaga
Mencari ruh pasrah
Membenami otot denyutan.

Dalam kengiluan
Dia nampak keluarga di taman
Tersenyumlah ia kegembiraan
Tatkala dunia dia tinggalkan.

Ahmad Ilman
28 Muharram 1430
Selimut Fajar

Haiku #5

Hai rama-rama—
Bukankah kau beluncas—
Metamorfosis.

Ahmad Ilman
27 Muharram 1430
Pupa Tarbiyah

23 Januari 2009

Lagi Mengenai Teks Sejarah

Assalamualaikum WBT.

Sekarang ana berada di Tingkatan Lima. Tahun terakhir persekolahan. Seperti mana hari terakhir suatu program merupakan hari pada mana para da'i bersungguh-sungguh ingin merebut hati mad'u bagi membina thiqah dan mendekatkan diri mad'u (juga dirinya) kepada Allah SWT, macam tulah juga sukatan mata pelajaran Sejarah. Memang sesungguhnya pada pendapat ana, buku teks KBSM Sejarah Tingkatan Lima merupakan "Kitab Suci" bagi nasionalisme Malaysia. Agaknya berapa ramai anak muda "dipesongkan" dek teks ini? Ana sedih melihat rakan-rakan sebaya dengan ana yang ana kenal melalui Internet yang begitu kuat beribadat tetapi pada masa yang sama kuat juga nasionalismenya. Kewujudan media propaganda nasionalis yang paling efektif dalam meracuni minda generasi muda supaya mengidolakan Malaysia, nauzubillah. Anak-anak Islam lebih bangga menjadi bangsa Malaysia berbanding Muslim/ah. Ditanamkan semangat assabiah yang begitu kuat berakar sehingga hilang rasa ukhuwah mereka terhadap saudara-saudara mereka di Palestin. Merelakan kezaliman berlaku di negara ini selagi mana ia merupakan perbuatan nasionalis. Para da'i tidak bebas untuk berdakwah atas alasan menjaga keamanan negara. Hakikat Perang Salib disembunyikan. Remaja kini dimanipulasikan minda mereka sehingga dapat menerima alasan lemah "masyarakat majmuk". Kononnya, kita perlu menjaga perkara-perkara sensitif seperti soal agama demi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ya Allah. Bukankah negara Islam Madinah bermasyarakat berbilang kaum juga? Bukan itu saja, YAHUDI mendiami Madinah. Sekurang-kurangnya di Malaysia ini tiadalah Yahudi yang menetap. Apa pun jua, nasionalisme dan patriotisme, mengikut definisi hari ini, adalah salah di sisi Islam. Mahu tak mahu, kita terpaksa menghabiskan buku teks Sejarah. Ibuku berkata, pelajarilah ilmu ini untuk menumbangkan mereka. Hmm. Memang betul. Pelajari kemudian perangi. Perangi mereka hatta yakuunu ad-Deenu LILLAH!

*Nasionalisme dan patriotisme pada asalnya tidak salah, dengan syarat:

  1. Allah, Rasul dan Jihad lebih diutamakan (berbanding masakin tardhaunaha);
  2. Kita merasakan bahawa identiti kita sebenar ialah Muslim/ah, bukan berasaskan bangsa dan negara;
  3. Kita merasai bahawa umat Islam di seluruh dunia merupakan saudara-saudara kita;
  4. Kita menolak pendapat/gerakan nasionalis yang bertentangan dengan Islam dan;
  5. Kita tidak fanatik dengan nasionalisme tetapi fanatik dan taajub dengan Islam.

Wallahua'lam.

Haiku #4

Terbang rerama—
Dari bunga ke bunga—
Harum nan indah.

Ahmad Ilman
27 Muharram 1430
Klang

Haiku #3

Bagai beluncas—
Kupakaikan kepompong—
Menunggu kepak.

Ahmad Ilman
26 Muharram 1430
Klang