16 Ogos 2009

Jangan Tempelak Mereka

Dipetik dari http://streetdaie.blogspot.com.

Salamun ‘ala man ittaba’ al-Huda.

Puji-pujian hanyalah untuk Allah, selawat dan salam untuk Rasul-Nya.

Allah-lah Ilah sekalian alam yang membenarkan apa yang benar dalam warkah ini, dan saya hamba-Nya yang fakir memohon ampun daripada-Nya atas kesilapan dan kecuaian yang terkandung dalam warkah ini. Sesungguhnya manusia itu tidak pernah lekang daripada kesilapan, namun ketahuilah bahawa sebaik-baik orang yang tersilap itu ialah orang yang memohon keampunan. Marilah kita sama-sama memohon maghfirah daripada-Nya dalam bulan Syaaban yang mulia ini; moga-moga kita digolongkan sebagai sebaik-baik orang yang tersilap. Amin.

Warkah pertama ini ialah warkah perkongsian rasa yang tidak pernah bebas daripada kesilapan. Namun, saya memohon kepada Allah agar terkandung dalam warkah ini kebenaran yang boleh diambil manfaatnya oleh mereka yang diizinkan Allah untuk membaca tulisan ini. Secara umumnya, warkah ini saya tujukan bagi semua umat Islam yang mampu memahami bahasa ini, dan secara khususnya kepada saf UMANA’; moga kita sama-sama istiqamah di atas tariqudda’wah dan al-Sirat al-Mustaqim, insyaAllah.

Kebanyakan daripada kita yang tahu membezakan antara yang baik dengan yang buruk akan memandang jijik kepada perbuatan buruk. Orang-orang yang melakukan perbuatan buruk akan dianggap hina. Ringan saja mulut kita atau hati kita menghina pelaku-pelaku maksiat. Ringan saja kita melaknat orang-orang kafir. Saya cadangkan agar kita bermuhasabah kembali: apakah tindakan kita itu betul? Apakah semua itu selari dengan perbuatan para sahabat terdahulu? Selari dengan amalan para ulama terdahulu?

Satu hakikat yang perlu kita sedari ialah, kita semua dai. Dai tugasnya mengajak manusia ke jalan Allah dengan cara yang berhikmah dan menggunakan pengajaran yang baik. Izinkan saya memetik tajuk buku karangan Ustaz Hasan Hudaibi; Nahnu Du’ah, La Qudhah. Maksudnya: kita ialah pendakwah, bukan penghukum. Ustaz Hasan Hudaibi beserta beberapa lagi pejuang-pejuang Islam, sewaktu mereka masih hidup, diseksa dengan hebat oleh pemerintah Mesir pada waktu itu. Seksaan mereka terhadap pejuang-pejuang kalimat Allah ini amat hebat sehingga ada yang melaungkan bahawa pemerintah Mesir itu dan kuncu-kuncunya telah kafir kerana telah menyeksa umat Islam dengan begitu teruk. Ustaz Hasan Hudaibi bertanya kepada orang-orang yang mengatakan mereka ini kafir, “Adakah pemerintah itu dan kuncu-kuncunya masih mengucap syahadah?” Orang-orang itu menjawab, “Ya, mereka masih mengucap syahadah.” Ustaz pun berkata, “Jika begitu, mereka masih lagi Muslim.” Lalu terbitlah tulisannya Nahnu Du’ah, La Qudhah.

Sesungguhnya kita tidak boleh sesuka hati kita menghukum manusia “dia ini akan masuk neraka, dia ini akan masuk syurga.” Mungkin kita lihat kawan-kawan kita ada yang melakukan maksiat kepada Allah dengan maksiat yang begitu teruk sekali. Mereka bagai lupa terus kepada akhirat dan lalai dengan dunia. Tetapi hati mereka siapa yang tahu? Boleh jadi seseorang yang melakukan maksiat pada siang hari, meratap pada malamnya kepada Rabbnya, “Ya Allah, mengapa aku sentiasa berterusan dalam maksiat?” Di sini ternyata perbuatannya yang buruk itu menjadi pendorong baginya untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dengan kehendak Allah, maksiatnya menjadi suatu sebab taubat dan pemberi syafaat baginya di sisi Allah SWT. Pada waktu yang lain, dia cuba menghapuskan dosanya dengan menginfakkan hartanya semata-mata mengharapkan keampunan Allah. Kita tidak tahu hal yang tersembunyi ini. Kita tidak tahu hubungan rahsia antara hamba dengan Rabbnya. Kita hanya nampak perbuatan buruknya sahaja. Tatkala Allah menerima taubatnya di penghujung kehidupannya; Allah pun menerima segala amalnya yang soleh. Nah, orang yang pada zahirnya melakukan maksiat tadi, Allah memuliakannya dengan penghujung yang indah! Ingatlah hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.”

Wahai saudaraku yang membaca warkah ini,

Ketahuilah bahawa menurut Imam al-Ghazali, kita tidak boleh mengatakan laknat kepada seorang kafir yang masih hidup, apatah lagi seorang yang masih Muslim cuma fasik. Mungkin saja pada hujung hidupnya dia mendapat hidayah Allah lalu Allah menghapuskan segala dosanya semenjak dia baligh hingga waktu dia memeluk Islam, dan dia pun kembali ke hadrat Allah sesuci bayi yang baru lahir. Kita tidak dapat memberikan hidayah kepada seorang pun yang kita sukai, sedangkan Allah memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Apakah layak untuk kita mengatakan laknat ke atasnya sedangkan boleh saja tempat kita tertukar dengannya? Yang dibolehkan ialah, “Moga Allah mengutuknya jika ia mati dalam keadaan kafir dan moga Allah merahmatinya jika ia mati dalam keadaan Islam.” Ditegaskan sekali lagi bahawa kita adalah para duat; tugas kita ialah mengajak manusia ke jalan Allah. Untuk orang-orang yang ingkar, kita perlu mengharap kepada Allah supaya Dia memberikan hidayah kepada mereka. Kita memerangi mereka yang memerangi kita, tetapi kita perlu ingat pesanan Allah dalam Surah at-Taubah ayat 5:

Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu di mana saja kamu jumpai mereka dan intailah mereka di tempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan untuk mereka berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Wahai saudaraku,

Kita bukan manusia maksum. Kita tidak pernah terlepas dari kesilapan. Saya yakin, setiap daripada kita ada sejarah hitam masing-masing. Semasa kita sibuk dalam maksiat sebelum diberi taufik oleh Allah, kita merasa enak dengan maksiat yang kita buat. Kita berdebat dengan mereka yang cuba menyampaikan kebenaran kepada kita. Pada waktu itu, memang terasa sungguh nikmat perbuatan maksiat yang kita lakukan sehingga kita tak sanggup melepaskannya. Setelah Allah memberikan petunjuk-Nya kepada kita, kita mula meninggalkan maksiat yang kita lakukan—pujian bagi Allah. Kini kita berdiri teguh sebagai dai. Malangnya, dai yang mengherdik, menghina dan merendahkan pelaku-pelaku maksiat yang sepatutnya menjadi mad’u kita. Sebagai contoh, katalah ada dalam kalangan kita yang pernah ber-couple kemudian bertaubat. Dia kini memandang rendah dan hina kepada kawan-kawannya yang merokok. Tidak sedarkah dia bahawa keterikatan kawannya dengan rokok sama saja dengan keterikatannya dengan couple dahulu? Tugas kita sepatutnya mengajak mereka yang masih melakukan maksiat ini untuk bersama-sama dengan kita mengkoreksi diri. Bukannya menjauhi mereka sehingga dakwah tidak sampai kepada mereka. Mungkin sahaja kawan kita akan bertaubat dan akhirnya diredai Allah, sedangkan kita dimurkai Allah kerana menganggap diri kita kononnya lebih mulia daripada kawan kita kerana “kita sudah bertaubat” dan “dia belum”.

Oleh itu, wahai saudaraku, saya menyeru kepada diri saya khususnya dan diri kalian semua agar kita memperbetul niat kita dalam berdakwah. Pandanglah masyarakat dengan kaca mata dakwah. Jangan pandang masyarakat dengan kaca mata menghukum. Biarlah hukuman itu kita serahkan kepada Allah, Rasul-Nya dan ulil amri minna. Ingat, tugas kita dakwah: mengajak seluruh manusia menghambakan diri kepada Allah dan Allah sahaja. Bebaskan dunia ini daripada perhambaan Jahiliah!

Wallahua’lam.

Ahmad Ashraf Ilman al-Andalusiy
Al-Khalduniy al-Ijtihadiy
16 Syaaban 1430H.