26 Ogos 2010

Harga Diploma Keikhlasan

PIC_0094

Hitam putih. Protokol. Profesionalisme. Kadangkala perkara-perkara ini merobotkan pemikiran manusia dan menyempitkannya. Mengikat insan dengan keputusan-keputusan yang pada akhirnya merugikan dirinya sendiri; yang tidak bermanfaat selain memberikan perasaan ‘terlepas’ kerana telah mematuhi peraturan manusiawi. Sedangkan akal itu diciptakan dan diberikan Allah untuk digunakan.

Apa yang saya tulis ini mungkin benar bagi kes ini dan mungkin tidak. Tetapi saya yakin ia benar secara umumnya dalam kehidupan masyarakat pada hari ini. Apa yang tersurat di sini cuma sebuah refleksi dan persepsi peribadi terhadap keadaan kemanusiaan itu sendiri.

Bagaikan kacang lupakan kulit. Itulah yang berlaku kepada dua orang guru favourite saya di pusat Tamhidi ini. Favourite saya bukan saja kerana mereka sememangnya pakar dalam subjek mereka (Matematik dan Fizik), tetapi juga kerana kesungguhan dan keikhlasan mereka mengajar kami. Habis madu, sepah dibuang. Inilah akibatnya jika diikat dengan sistem berjantung robot, yang tidak mampu memandang out of the box, selain apa yang diprogramkan.

Teringat saya akan kata-kata guru Matematik saya ketika beliau menerangkan masalah ketaksamaan,

Untuk menyelesaikan masalah ini *tiada teknik yang khusus*. Kamu perlu memahami konsepnya, definisinya; kamu perlu faham apa maksud nilai-nilai yang memuaskan satu-satu persamaan.

Soalan-soalan matematik di peringkat menengah semuanya ada teknik menjawab yang khusus. Hafal formula, pasti skor. Tetapi matematik di peringkat matrikulasi lebih sukar dan mencabar. Ia bukan lagi hanya teknik dan formula, tetapi sudah lebih kepada konsep dan pemahaman.

Nampaknya masih ramai orang yang bermentaliti pelajar sekolah menengah. Semuanya dilakukan seperti telah dipogramkan — seperti robot. Mereka bukan ahli akademik apatah lagi pedagogi, lantaran itu tidak mengerti apakah sebenarnya konsep pengajaran dan pendidikan. Buta akan definisi sumbangan dan pengorbanan. Tidak memahami apakah nilai-nilai yang membuatkan satu-satu sesi pembelajaran itu menarik dan berkesan.

Di sini definisi ‘baik’ dan ‘skema’ tampak jelas perbezaannya. Sang ‘skema’ menurut peraturan manusia huruf demi huruf. Baik buruk peraturan, redah semua. Jika mati manusia kerana peraturan pun, tidak diambil kisah. Hatta syarak pun sanggup dilanggarnya. Peraturan manusia menjadi timbangan. Protokol memintanya bersalaman dengan pembesar walaupun bukan mahram? Jalan saja. Kod pakaian syarikat tidak membenarkan pemakaian tudung? Tanggal belaka. Baik bagi sang skema ialah apa yang mengikut peraturan, dan buruk baginya ialah apa yang melanggar peraturan.

Orang ‘baik’ lain pula kisahnya. Dia lebih bijak dalam berperaturan. Apa yang baik daripada peraturan manusia dia ambil, apa yang buruk ditinggalkan. Undang-undang Allah menjadi neraca tertinggi. Hati dan emosi manusia dimasukkan dalam perkiraan.  Mematuhi peraturan dengan ilmu dan akal. Mengaplikasikan peraturan mengikut keadaan dan kesesuaian. Peraturan yang tidak ada cacat cela baginya hanyalah peraturan Allah. Bagi orang yang baik, nilai baik itu ialah apa yang baik pada nilaian syarak, dan nilai buruk itu apa yang buruk pada nilaian syarak.

Kata-kata guru Fizik:

Cikgu seronok mengajar sini. Yalah, kamu semua pelajar sekolah agama. Sahsiah kamu baik, seronok sangat. Cikgu cuma nak bantu kamu mana yang boleh supaya kamu dapat masuk fakulti perubatan. Kamu perlu ... kamu perlu.

Keluhan guru Matematik:

Saya bimbang sangat bila saya dah tak mengajar di sini lagi, macam manalah kamu semua nanti. Risau saya.

Keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam mengajar itu tampak jelas dalam sesi-sesi kuliah dan tutorial, dan lebih jelas lagi di luar waktu perkuliahan. Curahan ilmu dari hati ke hati memberikan kesan yang sangat besar berbanding maklumat kering untuk riadah minda. Keikhlasan seorang guru boleh dirasai oleh pelajar. Mengajar untuk bakti berbeza dengan mengajar untuk gaji. Mereka bukan tidak diberi peluang untuk mendapat jawatan dan penghidupan yang lebih baik di tempat lain – permintaan terhadap kepakaran mereka sangat-sangat tinggi – tetapi mereka membuat keputusan untuk terus mengajar di sini kerana kami: pelajar diniah yang berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang sains.

Namun, sedih sekali; diploma keikhlasan dan kesungguhan itu tidak dikira sesen pun sebagai syarat kelayakan untuk terus mengajar. Pengalaman puluhan tahun dan sekeping kertas diploma pendidikan ditimbang oleh dacing sistem. Pengalaman yang bersifat ‘manusia’ tiada nilai bagi sistem. Yang mampu dibaca sistem hanyalah hitam putih kertas diploma yang boleh dikoyak begitu saja. Experience has lost its value.

Kalaulah diploma pendidikan itu merupakan prasyarat bagi guru untuk mengajar dengan cemerlang, aku tidak akan berdiri setinggi aku sekarang ini.

Keikhlasan dan kesungguhan;
hanya dapat dipancarkan oleh hati manusia—
—dan dirasai oleh hati manusia jua.

Walaubagaimanapun, apa yang aku tulis di sini mungkin hanya akibat kesalahan manusia yang tidak pernah terlepas daripada kesilapan. Setiap anak Adam itu membuat kesalahan, dan sebaik-baik orang yang membuat kesalahan ialah orang yang bertaubat. Mungkin dalam masa terdekat ini, mereka menyedari mereka telah tersilap dalam membuat percaturan, dan pada masa akan datang kita sama-sama ketawa mengenangkan unsur suspens sebentar dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Sama-sama kita doakan.

Ya Allah, selamatkanlah guru-guru kami daripada kezaliman sistem,
dan manusia yang mendukung sistem itu.

Ya Allah, kurniakanlah kami guru-guru yang ikhlas dalam mendidik,
dan jadikanlah kami pelajar-pelajar yang ikhlas dalam menuntut.

Ya Allah, ampunkanlah semua guru yang mengajari umat Islam ilmu-Mu,
selawat dan salam ke atas guru dan nabi kami Muhammad SAW.

اللهم اغفر للمعلمين، وبارك في أبدانهم وآطل في أعمارهم

Amin, ya Rabb al-‘Alamin.

1 ulasan: